Guru di pulau terpencil
TERASING di bumi sendiri mungkin menterjemahkan luahan rasa hati paling sesuai bagi mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke pulau ini.Bagaikan dua dunia berbeza, Pulau Danawan (juga disebut sebagai Denawan) di Semporna, Sabah hanya berkeluasan 0.63 kilometer persegi tidak mempunyai magnet yang mampu menarik kunjungan orang ramai ke sini.
Tanyalah siapa pun mereka pasti tidak sanggup pergi ke pulau di mana sebahagian besarnya dihuni oleh masyarakat tanpa negara - tiada taraf kerakyatan.Pemikiran skeptikal melenyapkan keberanian dan keyakinan mereka untuk menjadi tetamu Pulau Danawan berikutan kedudukannya berhampiran dengan Pulau Sipadan yang mengimbau kembali ancaman kumpulan militan Abu Sayaf pada tahun 2000.
Mereka fikir biarlah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di Markas Pertahanan Hadapan ATM mengawal keselamatan di pulau ini.Hendak menaiki bot dari tanah besar di Semporna yang paling dekat pun mengambil masa tiga jam apatah lagi tinggal di sini walaupun sekadar untuk beberapa hari.
Pulau Danawan mempunyai kira-kira 1,400 penduduk tetapi tidak banyak kemudahan yang terdapat di sini. Cuma ada hanya balai raya, sekolah dan surau.Jangan harap untuk membayangkan pasar raya besar, pawagam atau pusat beli-belah. Pusat karaoke dan kelab malam jauh sekali. Ironinya, tiada sumber hiburan di sini.
Tiada kemudahan elektrik dan air yang dirawat. Mereka hidup bercahayakan lilin dan pelita. Hanya dua tiga keluarga yang bernasib baik menggunakan enjin generator.
Kemudahan internet juga tidak ada. Lupakan saja hasrat untuk menghabiskan masa dengan menonton video di YouTube atau melayari laman sosial Facebook. Semuanya serba kekurangan. Tiada istilah lima bintang - setengah bintang pun tidak dapat menggambarkan kehidupan seharian masyarakat Pulau Danawan.
Bayangkan saat anda berkobar-kobar memulakan kerjaya yang diidamkan sejak sekian lama bagaimanapun menerima arahan untuk ditugaskan di pulau ini.
Bukan untuk sehari dua tetapi sekurang-kurangnya sehingga empat tahun. Keputusan itu memaksa diri untuk meninggalkan kehidupan moden dan insan tersayang.
Hidup di perantauan bukannya mudah. Ini bukan kota metropolitan London atau New York yang barangkali mampu melupakan seketika kegusaran dalam hati.
Tetapi ini Pulau Danawan yang tidak mempunyai apa-apa melainkan rumah-rumah kampung, lalang-lalang, pokok-pokok kelapa dan persisiran pantai.
Begitulah realiti yang dilalui tiga guru apabila ditugaskan untuk mendidik anak-anak penduduk setempat di Sekolah Kebangsaan Denawan (SK Denawan).
Tanda tanya
Umurnya masih muda baru 22 tahun pada 2008 sewaktu membuat keputusan amat berat itu tambahan pula dia merupakan anak sulung daripada sembilan adik-beradik.
Mohd Hafiz Yusof, 25, berasal dari Kampung Gong Pasir, Dungun, Terengganu bagaimanapun terpaksa menggagahkan diri apabila memikirkan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga selepas ayah dan ibunya.
“Jujurnya, saya begitu terkejut apabila dimaklumkan untuk ditugaskan mengajar di SK Denawan. Saya tertanya-tanya di mana Pulau Danawan,” katanya ketika ditemui Mingguan mStar yang berkesempatan berada di situ sempena lawatan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan editor-editor kanan di Pangkalan Hadapan Operasi (Op) Pasir anjuran Kementerian Pertahanan, baru-baru ini.
Mengetahui kedudukan Pulau Danawan berhampiran dengan Pulau Sipadan sudah cukup membuatkannya rasa tidak keruan memikirkan risiko yang bakal dihadapi.
“Pada mulanya saya bimbang tentang keselamatan saya rentetan daripada insiden ancaman pengganas itu tetapi akhirnya sedar semuanya sudah lama kembali pulih.
“Apa yang menjadi tanda tanya bagaimana persekitaran dan kehidupan di situ (Pulau Danawan). Saya tahu budayanya cukup berbeza,” katanya.
Hafiz yang merupakan guru Pendidikan Islam dan Pendidikan Seni Visual berkata, selain kekurangan dari segi kemudahan, dia turut berhadapan dengan masalah komunikasi dengan masyarakat setempat terutama para pelajarnya.
“Sebahagian besar masyarakat Pulau Danawan bertutur dalam bahasa Bajau dan tidak ramai yang boleh berbahasa Melayu. Bagaikan ayam bercakap dengan itik.
“Saya berusaha belajar bahasa Bajau kerana begitulah adat bila merantau ke tempat orang menyesuaikan diri dengan kehidupan mereka,” katanya.
Menurut Hafiz, dia hanya pulang ke kampung halaman apabila tiba cuti pertengahan tahun, cuti akhir tahun dan cuti Hari Raya Aidilfitri.
“Perjalanan saya dari Pulau Danawan ke Dungun tidak semudah yang disangka tetapi kepulangan itu amat bermakna buat keluarga di kampung,” katanya yang terpaksa menggunakan perkhidmatan bot selama tiga jam dari Pulau Danawan ke Semporna, menaiki bas satu setengah jam (Semporna-Tawau), kapal terbang kira-kira tiga jam (Tawau-Kuala Lumpur) dan 45 minit (Kuala Lumpur-Kuala Terengganu) dan bas selama satu jam (Kuala Terengganu-Dungun).
Pertama kali
Bagi Mohd Salehudin Rosdi, 28, pula tidak menyangka pengalaman pertama kalinya menjejakkan kaki di bumi Sabah adalah Pulau Danawan yang begitu asing.
Mungkin pengalaman pertama segelintir orang adalah sesuatu yang mengujakan namun tidak bagi anak kelahiran Felda Redung, Segamat, Johor ini.
“Pada awalnya, saya berasa amat bosan di sini. Mana ada kawan-kawan yang boleh berjumpa. Jika dahulu, bolehlah juga menghabiskan masa dengan bermain boling.
“Saya hanya bersiar-siar di tepi pantai, berenang dan memancing. Namun lama-kelamaan saya sudah biasa dengan persekitaran di sini,” katanya.
Salehudin yang merupakan guru Matematik dan Bahasa Melayu berkata, dia mula mengajar di SK Denawan pada Januari 2010 dan ketika itu masih belum ada penggunaan genarator bagi mendapatkan tenaga elektrik.
“Di sekolah pun tidak ada kemudahan elektrik. Sudah menjadi lumrah apabila berada dalam keadaan panas. Tingkap dibiarkan terbuka untuk memudahkan angin masuk.
“Bagaimanapun saya kagum dengan masyarakat di sini. Mereka masih boleh hidup tanpa elektrik maka kenapa tidak saya membiasakan dengan keadaan itu,” katanya yang sering tidur dalam keadaan berlengeng atau tidak berbaju kerana cuaca panas.
Tambahnya lagi, Pulau Danawan yang serba kekurangan menyebabkan dia dan rakan-rakan sejawatnya ke Semporna pada setiap hujung minggu.
“Menaiki bot mengambil masa kira-kira tiga jam sudah menjadi perkara biasa kerana itu saja cara untuk mendapatkan barangan keperluan dan peluang bersiar-siar.
“Di sini mana ada restoran. Jika tidak, beli saja ikan-ikan yang ditangkap oleh penduduk kampung,” kata Salehudin yang turut meluangkan masa bergaul dengan anggota ATM dari Markas Pertahanan Hadapan ATM yang sering beramah mesra dengan masyarakat setempat di Pulau Danawan.
Amat berbeza
Sementara itu, Zurizan Zakaria, 28, berasal dari Kampung Usaha Jaya, Kinabatangan, Sabah berkata, tugasan pertama sebagai guru turut dilaluinya di Pulau Danawan.
Walaupun dia sendiri merupakan anak kelahiran Negeri di Bawah Bayu namun berpendapat bahawa masyarakat di kepulauan itu jelas berbeza.
“Sebahagian besar mereka adalah Bajau Laut. Cara hidup mereka tidak sama seperti masyarakat di darat,” katanya yang merupakan guru Sains dan Bahasa Inggeris.
Zurizan yang mula mengajar di SK Denawan pada Januari 2009 berkata, ketika itu merupakan tahun pertamanya dia berumahtangga dengan Norsyahida Abdul Sani yang juga merupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan Bandar Sibu, Sarawak.
Jelasnya, pada tahun pertama itu sememangnya agak sukar berikutan masing-masing berjauhan namun demi tanggungjawab sebagai pendidik, ianya ditangani dengan baik.
“Saya hanya berjumpa isteri pada musim cuti sekolah yang panjang. Selain itu, kami mengubat rasa rindu dengan menelefon antara satu sama lain,” katanya.
Menceritakan keadaan di Pulau Danawan, Zurizan berkata, kebanyakan masyarakat setempat lebih gemar membuat hal sendiri daripada bergaul dengan orang luar.
“Ini terutama mereka di kalangan suku Bajau Laut namun masih ramah. Mereka hanya jeling-jeling dan senyum apabila kami berselisih.
“Pulau Danawan begitu asing tetapi penduduk di sini hidup aman damai meskipun perbezaan budaya, latar belakang dan komunikasi,” katanya.
Begitulah kisah kehidupan tiga guru yang pertama kali diarahkan bertugas di SK Denawan, satu pengalaman yang sukar dicari ganti.
Difahamkan sekolah ini sudah lama ditubuhkan sejak lebih separuh abad dan pada masa ini mempunyai seramai lapan guru dan 31 pelajar. Ia mempunyai tiga kelas, pejabat, pusat sumber dan kuaters guru.
SK Denawan hanya menempatkan pelajar tahun satu, dua dan tiga manakala pelajar tahun empat, lima dan enam bersekolah di Sekolah Kebangsaan Berpusat Bumbum, Semporna.
Ketiga-tiga guru ini akur berada asing di bumi sendiri demi tanggungjawab mendidik anak-anak masyarakat Pulau Danawan agar menjadi insan berguna dan berilmu.
Kehidupan di perantauan nyata mencabar dan memerlukan pengorbanan besar dan pastinya jasa mereka sebagai pendidik tidak ternilai dan penuh bermakna.
Rujuk di sini
No comments:
Post a Comment