Monday, August 29, 2011

Cinta ‘Ukasyah Membawa ke Syurga

Masjid penuh sesak dengan kaum Muhajirin dan Ansar. Semua berkumpul setelah Bilal memanggil mereka dengan suara azan. Ada tarikan cinta di sana, kekasih yang baru saja sembuh, yang membuat semua sahabat tidak mahu melepaskan kesempatan ini untuk bertemu dengan kekasih Allah swt.
Setelah mengimami solat, nabi berdiri dengan segak di atas mimbar. Suaranya basah, menyampaikankan kata-kata puji dan kesyukuran kepada Allah yang Maha Pengasih. Suasana menjadi sunyi sepi, mulut para sahabat tertutup rapat, semua menajamkan pendengaran menuntaskan kerinduan pada suara Nabi. Semua menyiapkan hati, untuk disentuh serangkai hikmah. Selanjutnya Nabi bertanya.
“Duhai sahabat, kalian tahu umurku tidak akan lagi panjang, Siapakah di antara kalian yang pernah merasa teraniaya oleh si lemah ini, bangkitlah sekarang untuk mengambil kisas, jangan kau tunggu hingga kiamat menjelang, kerana sekarang itu lebih baik”.
Semua yang hadir terdiam, semua mata menatap penuh pada Nabi yang terlihat lemah. Tidak akan pernah ada dalam benak mereka perilaku Nabi yang terlihat janggal. Apapun yang dilakukan Nabi, selalu saja indah. Segala hal yang diperintahkannya, selalu membuihkan bening sari pati cinta. Tidak akan rela sampai bilapun, ada yang menyentuhnya meski hanya secuil jari kaki. Apapun akan digadaikan untuk membela Al-Musthafa.
Melihat semua yang terdiam, nabi mengulangi lagi ucapannya, kali ini suaranya terdengar lebih keras. Kelihatan para sahabat masih duduk dengan tenang. Hingga ucapan yang ketiga kali, seorang lelaki berdiri menuju Nabi. Dialah ‘Ukasyah Ibnu Muhsin.
“Ya Rasul Allah, Dulu aku pernah bersamamu di perang Badar. Untaku dan untamu berdampingan, dan aku pun menghampirimu agar dapat menciummu, duhai kekasih Allah, Saat itu engkau menghambatkan cambuk kepada untamu agar dapat berjalan lebih cepat, namun sesungguhnya engkau pukulanmu mengenai lambung samping ku” ucap ‘Ukasyah.
Mendengar ini Nabi pun menyuruh Bilal mengambil cambuk di rumah puteri kesayangannya, Fatimah. Kelihatan rasa keengganan menyelubungi Bilal, langkahnya terayun begitu berat, ingin sekali ia menolak perintah tersebut. Ia tidak ingin, cambuk yang dibawanya melecut tubuh kekasih yang baru saja sembuh. Namun ia juga tidak mahu mengecewakan Rasulullah. Sekembalinya Bilal, cambuk diserahkannya kepada Rasul mulia. Dengan cepat cambuk berpindah ke tangan ‘Ukasyah. Masjid seketika mendengung seperti sarang lebah.
Lantas melompatlah dua tokoh mulia dari barisan hadapan. Yang pertama berwajah sendu, janggutnya basah oleh air mata yang menderas sejak dari tadi, dia lah Abu Bakar. Dan yang kedua, tokoh pemberani, yang ditakuti para musuhnya di medan pertempuran, Nabi menyapanya sebagai Umar Ibn Khattab. Gementar mereka berkata:
“Hai ‘Ukasyah, pukullah kami berdua, sesuka yang engkau mahu. Pilihlah bahagian manapun yang paling kau ingin, kisaslah kami, jangan sekali-kali engkau pukul Rasul”
“Duduklah kalian sahabatku, Allah telah mengetahui kedudukan kalian”, Nabi memberi perintah secara tegas. Ke dua sahabat itu lemah longlai, langkahnya surut menuju tempat mereka semula. Mereka pandangi ‘Ukasyah dengan pandangan memohon. ‘Ukasyah tidak berganjak sedikitpun.
Melihat Umar dan Abu Bakar duduk kembali, Ali bin Abi Thalib tidak tinggal diam. Berdirilah ia di depan ‘Ukasyah dengan berani.
“Hai hamba Allah, inilah aku yang masih hidup siap menggantikan kisas Rasul, inilah punggungku, ayunkan tanganmu sebanyak apapun, deralah aku”
“Allah Swt sesungguhnya tahu kedudukan dan niat mu duhai Ali, duduklah kembali” ungkap Nabi.
“Hai ‘Ukasyah, engkau tahu, kami adalah cucu Rasulullah, kami darah dagingnya, bukankah ketika engkau mencambuk kami, itu ertinya mengkisas Rasul juga”, kini yang tampil di depan U’kasyah adalah Hasan dan Husain. Tetapi sama seperti sebelumnya Nabi menegur mereka. “Duhai penyejuk mata, aku tahu kecintaan kalian kepadaku. Duduklah”.
Masjid kembali ditelan senyap. Ramai jantung yang berdegup kian cepat. Tidak terhitung yang menahan nafas. ‘Ukasyah tetap dengan pendirian menghadap Nabi. Kini tidak ada lagi yang berdiri ingin menghalangi ‘Ukasyah mengambil kisas. “Wahai ‘Ukasyah, jika kau tetap berhasrat mengambil kisas, inilah Ragaku,” Nabi selangkah maju mendekatinya.
“Ya Rasul Allah, saat Engkau mencambukku, tidak ada sehelai kainpun yang menghalangi pukulan cambuk itu”. Tanpa berbicara, Nabi langsung melepaskan ghamisnya yang telah memudar. Dan tersingkaplah tubuh suci Rasulullah. Seketika pekik takbir menggema, semua yang hadir menangis pedih.
Melihat tegap badan manusia yang di maksum itu, ‘Ukasyah langsung menanggalkan cambuk dan berhambur ke tubuh Nabi. Sepenuh cinta direngkuhnya Nabi, sepuas keinginannya ia ciumi punggung Nabi begitu mesra. Gumpalan kerinduan yang mengkristal kepada beliau, dia tumpahkan saat itu. ‘Ukasyah menangis gembira, ‘Ukasyah bertasbih memuji Allah, ‘Ukasyah berteriak haru, gementar bibirnya berucap sendu, “Tebusanmu, jiwaku ya Rasul Allah, siapakah yang sampai hati mengkisas manusia indah sepertimu. Aku hanya berharap tubuhku melekat dengan tubuhmu hingga Allah dengan keistimewaan ini menjagaku dari sentuhan api neraka”.
Dengan tersenyum, Nabi berkata: “Ketahuilah duhai manusia, sesiapa yang ingin melihat penduduk syurga, maka lihatlah lelaki ini”. ‘Ukasyah langsung tersungkur dan bersujud memuji Allah. Sedangkan yang lain berebut mencium ‘Ukasyah. Pekikan takbir menggema kembali. “Duhai, ‘Ukasyah berbahagialah engkau telah dijamin Nabi sedemikian pasti, bergembiralah engkau, kerana kelak engkau menjadi salah seorang yang menemani Rasul di syurga”.
Beruntunglah Engkau Ukasyah, Pencinta Kekasih Allah….
Ya Rasulullah Kami juga ingin mencium tangan dan pipimu dengan penuh kerinduan..

Aidilfitri: Antara ibadat dan adat

DALAM tempoh beberapa hari lagi umat Islam seluruh dunia akan meraikan hari kemenangan iaitu Aidilfitri. Sudah pasti juga ketika ini ramai yang tidak sabar mahu pulang ke kampung bagi merayakan hari kemenangan ini.

Selepas sebulan berpuasa umat Islam merayakan Aidilfitri sebagai tanda kemenangan. Ibadat puasa sepanjang Ramadan diibaratkan suatu 'madrasah' atau sekolah yang mendidik jiwa umat Islam sepanjang sebulan berpuasa.

Bukan saja menahan lapar dahaga, malah juga mengekang hawa nafsu daripada merajai jiwa. Disiplin yang dipupuk oleh madrasah Ramadan ini amat kental kerana umat Islam bukan hanya berpuasa di hadapan orang, malah juga apabila bersendirian.

Inilah kejayaan Islam mendidik peribadi mulia dan amanah. Manifestasi kemuliaan Ramadan dapat dilihat daripada sudut amalan umat Islam seperti bersolat terawih, bersedekah, bertadarus al-Quran dan banyak lagi.

Hampir sebulan mengikuti institusi Ramadan, kini tiba pula masa untuk meraikan Aidilfitri. Amat rugilah orang yang langsung tidak mengambil pengajaran daripada falsafah Ramadan itu sendiri.

Jelas kegirangan dan kegembiraan tersemat dalam hati Muslimin dan Muslimat sekalian kerana kemenangan di hari yang mulia ini. Pelbagai persiapan diadakan bagi menyambut hari kemenangan itu. Pada kebiasaannya kanak-kanak yang paling gembira ketika hari raya.

Bagi yang merayakan Aidilfitri tanpa orang tersayang, perayaan ini masih tetap diteruskan memandangkan ia adalah tuntutan hukum syarak. Namun, sudah tentulah hiba di jiwa tidak dapat dielakkan ketika menyambutnya.

Mengunjungi pusara ibunda khususnya menjadi kemestian di hari lebaran ini. Walaupun yang pergi tidak akan kembali sebagai tanda ingatan sekalung doa dan bacaan ayat-ayat suci dititipkan kepada mereka. Saya sendiri akan berhari raya buat pertama kalinya tanpa bonda di sisi.

Dalam segi bahasanya, Aidilfitri bermakna kembali kepada fitrah. Kita sebenarnya kembali kepada fitrah iaitu suci dan bebas daripada dosa. Tatkala Aidilfitri, umat Islam suci daripada dosa kerana madrasah Ramadan membersih segala dosa kita.

Namun, tidak kurang juga kita yang kecundang dan gagal menjadi graduan madrasah Ramadan ini apabila mereka kembali kepada fitrah sebelum Ramadan iaitu sikap negatif terlalu obses dengan hawa nafsu dan meminggirkan ibadah kepada Yang Maha Esa.

Mereka kembali kepada kehidupan penuh dosa dan menindas golongan lemah, makan makanan yang tidak tentu halal haramnya dan daripada sumber yang diragukan.

Malah fitnah memfitnah, mengadu domba dan menuduh orang lain tanpa bukti dan siasatan juga telah menjadi norma dalam kehidupan mereka. Golongan ini adalah golongan yang sangat rugi kerana tidak mengambil iktibar daripada ajaran Allah.

Pada hari kemenangan ini, jangan dilupa golongan yang tidak bernasib baik. Semangat persaudaraan Islam mesti diutamakan di samping mengeratkan silaturahim sesama ummah. Golongan kurang bernasib baik ini juga berhak merayakan Aidilfitri seadanya.

Bagi yang pulang ke kampung, berhati-hatilah di jalan raya. Patuhi peraturan lalu lintas dan utamakan keselamatan. Moga-moga selepas berhari raya kita dapat kembali ke tempat kerja masing-masing dengan selamat.

Agama Allah memerlukan kita meneruskan perjuangan menegakkan kalimah-Nya di muka bumi ini sesuai dengan peranan sebagai khalifah.

Aidilfitri bukanlah semata-mata suatu adat, tetapi lebih kepada ibadat berasaskan sumber hukum yang jelas. Oleh kerana ia adalah suatu ibadat, hari besar ini wajar dipenuhi dengan ibadat yang dituntut Allah.

Ia tidak hanya ziarah menziarahi, tetapi mengeratkan silaturahim. Ia tidak hanya berborak-borak, tetapi menegakkan syiar dan dakwah Islamiah. Ia bukan juga hanya menyanyi kegembiraan, tetapi menambah zikir dan takbir kepada Yang Maha Esa.

Pemborosan dan pembaziran semata-mata bagi menyambut Aidilfitri sebenarnya adalah tergelincir daripada apa dianjurkan Islam. Islam menggalakkan umatnya merayakan hari kemenangan ini, tetapi dalam sukatan dan kadar tidak menjurus kepada pembaziran.

Alangkah baiknya jika wang lebihan itu digunakan bagi manfaat perjuangan Islam dan membantu golongan memerlukan.

Rujukan di sini.

Sunday, August 28, 2011

Memahami isi Quran bukan hak ustaz sahaja


KITA sedang berada di hujung Ramadan, bulan turunnya al Quran, kitab suci dari Allah SWT yang menjadi asas kepada pembentukan dan pengukuhan iman. Di dalamnya juga terkandung segala perintah dari Yang Maha Berkuasa supaya ditaati oleh mereka yang bertakwa.

Ia juga membawa rahmat, keberkatan dan menjadi penawar kepada orang-orang yang beriman. Di dalamnya terkandung petunjuk kepada jalan lurus yang akan menjadi kompas kepada manusia untuk bertemu dengan Yang Maha Suci pada hari kebangkitan dengan hati yang paling gembira dan tiada tolok bandingannya dengan sebarang rasa gembira yang manusia boleh kecapi di dunia ini.

Wajar Quran dibaca dan difahami sehingga rohnya meresap ke dalam jiwa sebagaimana yang dilalui oleh Rasulullah SAW.

Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) akan Al Quran sebagai roh dengan perintah Kami. Sebelumnya kamu tidaklah mengetahui apakah Al Kitab (Al Quran) dan tidak pula mengetahui apakah iman itu, tetapi Kami menjadikan Al Quran itu cahaya, yang Kami tunjuki dengannya sesiapa yang kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya kamu (wahai Muhammad) benar- benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus. - As Syuraa 42: 52

Berapa ramaikah umat Islam yang benar-benar menjiwai al-Quran? Sesungguhnya Quran itu diwahyukan kepada Rasulullah dalam bentuk roh yang meresap ke dalam jiwa baginda. Ia hanya diterbitkan dalam bentuk buku pada zaman Saidina Othman bin Affan, khalifah keempat. Kita umat Muhammad juga wajar menyemadikan roh Quran dalam jiwa kita, bukan sekadar menatap teks fizikalnya.

Quran bukannya karangan manusia, sebagaimana tuduhan sebilangan besar kaum Quraisy terhadap Nabi Muhammad SAW apabila baginda menyebarkan dakwah dengan membacakan ayat-ayat Quran. Ia diturunkan dalam bahasa Arab kerana baginda adalah orang Arab dan kelompok awal yang didakwah adalah bangsa Arab.

Demi Kitab (Al Quran) yang menyatakan kebenaran. Sesungguhnya Kami menjadikan Al Quran dalam bahasa Arab supaya kamu memahami(nya). - Al Zukhruf 43: 1, 2

Maka sesungguhnya telah Kami mudahkan Al Quran itu dengan bahasamu (wahai Muhammad), agar kamu dapat memberi khabar gembira dengannya kepada orang-orang yang bertakwa, dan agar kamu memberi amaran dengannya kepada kaum yang degil dalam kekufuran. - Mariam 19: 97

Maka apabila Islam dikembangkan kepada orang Melayu di Nusantara, Quran tetap dibaca dalam bahasa Arab sehingga ke hari ini. Disebabkan kebanyakan kita tidak memahami bahasa Arab, maka kita sangat bergantung kepada ustaz-ustaz yang belajar agama dalam bahasa Arab untuk memberikan penerangan.

Bagaimanapun kemudian timbul kesedaran di kalangan sebilangan ulama Melayu di Nusantara dan pihak berkuasa agama untuk menterjemah dan menafsir Quran ke dalam bahasa Melayu. Di Malaysia, diterbitkan secara rasmi kitab ''Tafsir Pimpinan Ar Rahman Kepada Pengertian Al Quran'' yang lebih dikenali sebagai Tafsir Ar-Rahman.

Tafsir Ar-Rahman diterjemahkan oleh Allahyarham Syeikh Abdullah bin Muhammad Basmih dan disemak oleh Allahyarham Haji Muhamad bin Haji Ibrahim, Mufti Kelantan. Kitab terjemahan Quran ini mula diterbitkan pada 1968 dan diulang cetak banyak kali. Ia diperakui oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai terjemahan Bahasa Melayu yang autoritatif.

Pada hari ini, selain Tafsir Ar-Rahman terdapat banyak lagi kitab terjemahan al-Quran termasuk terjemahan dari Indonesia yang boleh dibeli dari mana-mana kedai yang menjual buku agama.

Bagaimanapun harga kitab-kitab terjemahan ini agak mahal. Paling murah yang bersaiz poket berharga RM30. Bersaiz sederhana adalah RM60 ke atas. Tentulah ia memberatkan mereka yang kurang mampu. Kerajaan dan pihak berkuasa agama wajar menerbitkan kitab-kitab terjemahan dengan harga subsidi yang mampu dibeli oleh mereka yang kurang berkemampuan. Duit zakat asnaf fisabilillah boleh digunakan untuk tujuan ini.

Jika kita mengambil iktibar bahawa turunnya Quran dalam bahasa Arab supaya difahami oleh Rasulullah dan bangsa Arab, tentulah membacanya dengan tujuan memahami menjadi soal yang amat pokok. Memanglah membacanya dalam bahasa Arab tetap memberikan pahala kepada si pembaca, tetapi adakah itu sahaja tujuan al-Quran diturunkan kepada manusia.

Memahami

Bagaimanapun membaca dan memahami belum menjadi amalan orang-orang Melayu. Dari kecil kita hanya diajar membaca dalam bahasa Arab dengan penekanan kepada tajwid. Hanya apabila meningkat separuh umur, sebilangan kita berasa perlu memahaminya. Disebabkan kebanyakan kita tidak mengerti bahasa Arab, alternatifnya ialah membeli kitab terjemahan yang agak membebankan bagi mereka yang kurang mampu.

Entah kenapa, di masjid-masjid juga hanya terdapat naskah terjemahan yang amat terhad bilangannya. Malah di Masjid Negara sendiri, hamba tidak jumpa naskah terjemahan ketika singgah bersolat Zohor di awal Ramadan. Barangkali yang ada sedang dibaca oleh orang lain atau tersorok dalam almari berkunci.

Hamba tidak faham kenapa kebanyakan masjid hanya menyimpan tiga atau empat naskah terjemahan dalam almari berbanding naskah berbahasa Arab yang berkepuk-kepuk banyaknya. Barangkali jawatankuasa masjid berpendapat jemaah hanya perlu mencari pahala dengan membaca naskah bahasa Arab. Soal kefahaman biarkan ustaz dan imam sahaja yang menerangkan dalam ceramah selepas solat yang lazimnya boleh dibilang jumlah hadirin. Kebanyakan yang hadir, pula sudah beruban.

Barangkali, disebabkan kurang faham atau langsung tidak faham, maka kadar zina dan anak luar nikah semakin meningkat di negara kita ini. Berapa ramaikah remaja kita yang pernah membaca dan memahami ayat-ayat yang melarang perbuatan zina?

Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka sebatlah tiap-tiap seorang daripada keduanya seratus kali, dan janganlah rasa belas kasihan kepada mereka mencegah kamu daripada (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat; dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang yang beriman. - An Nuur 24: 2

Begitu beratnya kesalahan berzina di sisi Allah sehinggakan pesalah wajib dihukum sebat 100 kali. Disebabkan kita tidak melaksanakan hukum hudud, tidak ramai yang berasa terlarang daripada melakukan perbuatan keji ini. Andainya mereka membaca dan memahami ayat larangan berzina ini, mudah-mudahan timbul juga rasa takut di hati. Begitu jugalah maksiat yang lain.

Alangkah baiknya juga seluruh umat Islam memahami dan menjiwai isi kandungan al-Quran. Bacalah ayat dalam bahasa Arab dengan tertib dan hayati terjemahannya dengan khusyuk setiap hari sekurang-kurangnya 10 ayat. Dahulukan dengan bersedekah Fatihah kepada Rasulullah, Saidina Uthman yang telah membukukan Quran dan para penterjemah. Dan jangan lupa memohon supaya Allah memberikan taufik dan hidayat-Nya kepada kita melalui kitab agung ini .

Dan didiklah anak-anak kita supaya membaca al-Quran bukan sekadar untuk mencari pahala. Yang lebih penting ialah memahami, menjiwai dan mentaati segala perintah yang terkandung di dalamnya. Memahami Quran bukan hak ustaz sahaja, tetapi kewajipan semua orang. Adakah sistem dan kurikulum pendidikan agama kita benar-benar ke arah matlamat ini?

Rujukan di sini.

Tuesday, August 23, 2011

Terasing di bumi sendiri


Guru di pulau terpencil

TERASING di bumi sendiri mungkin menterjemahkan luahan rasa hati paling sesuai bagi mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke pulau ini.Bagaikan dua dunia berbeza, Pulau Danawan (juga disebut sebagai Denawan) di Semporna, Sabah hanya berkeluasan 0.63 kilometer persegi tidak mempunyai magnet yang mampu menarik kunjungan orang ramai ke sini.

Tanyalah siapa pun mereka pasti tidak sanggup pergi ke pulau di mana sebahagian besarnya dihuni oleh masyarakat tanpa negara - tiada taraf kerakyatan.Pemikiran skeptikal melenyapkan keberanian dan keyakinan mereka untuk menjadi tetamu Pulau Danawan berikutan kedudukannya berhampiran dengan Pulau Sipadan yang mengimbau kembali ancaman kumpulan militan Abu Sayaf pada tahun 2000.

Mereka fikir biarlah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di Markas Pertahanan Hadapan ATM mengawal keselamatan di pulau ini.Hendak menaiki bot dari tanah besar di Semporna yang paling dekat pun mengambil masa tiga jam apatah lagi tinggal di sini walaupun sekadar untuk beberapa hari.

Pulau Danawan mempunyai kira-kira 1,400 penduduk tetapi tidak banyak kemudahan yang terdapat di sini. Cuma ada hanya balai raya, sekolah dan surau.Jangan harap untuk membayangkan pasar raya besar, pawagam atau pusat beli-belah. Pusat karaoke dan kelab malam jauh sekali. Ironinya, tiada sumber hiburan di sini.

Sekolah Kebangsaan Denawan pada masa ini mempunyai seramai lapan guru dan 31 pelajar.

Tiada kemudahan elektrik dan air yang dirawat. Mereka hidup bercahayakan lilin dan pelita. Hanya dua tiga keluarga yang bernasib baik menggunakan enjin generator.

Kemudahan internet juga tidak ada. Lupakan saja hasrat untuk menghabiskan masa dengan menonton video di YouTube atau melayari laman sosial Facebook. Semuanya serba kekurangan. Tiada istilah lima bintang - setengah bintang pun tidak dapat menggambarkan kehidupan seharian masyarakat Pulau Danawan.

Bayangkan saat anda berkobar-kobar memulakan kerjaya yang diidamkan sejak sekian lama bagaimanapun menerima arahan untuk ditugaskan di pulau ini.

Sebagai guru pendidikan Islam, Hafiz (kiri) membantu para pelajarnya mendalami ilmu itu meskipun di luar waktu sekolah.

Bukan untuk sehari dua tetapi sekurang-kurangnya sehingga empat tahun. Keputusan itu memaksa diri untuk meninggalkan kehidupan moden dan insan tersayang.

Hidup di perantauan bukannya mudah. Ini bukan kota metropolitan London atau New York yang barangkali mampu melupakan seketika kegusaran dalam hati.

Tetapi ini Pulau Danawan yang tidak mempunyai apa-apa melainkan rumah-rumah kampung, lalang-lalang, pokok-pokok kelapa dan persisiran pantai.

Begitulah realiti yang dilalui tiga guru apabila ditugaskan untuk mendidik anak-anak penduduk setempat di Sekolah Kebangsaan Denawan (SK Denawan).

Tanda tanya

Umurnya masih muda baru 22 tahun pada 2008 sewaktu membuat keputusan amat berat itu tambahan pula dia merupakan anak sulung daripada sembilan adik-beradik.

Mohd Hafiz Yusof, 25, berasal dari Kampung Gong Pasir, Dungun, Terengganu bagaimanapun terpaksa menggagahkan diri apabila memikirkan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga selepas ayah dan ibunya.

“Jujurnya, saya begitu terkejut apabila dimaklumkan untuk ditugaskan mengajar di SK Denawan. Saya tertanya-tanya di mana Pulau Danawan,” katanya ketika ditemui Mingguan mStar yang berkesempatan berada di situ sempena lawatan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan editor-editor kanan di Pangkalan Hadapan Operasi (Op) Pasir anjuran Kementerian Pertahanan, baru-baru ini.

Mengetahui kedudukan Pulau Danawan berhampiran dengan Pulau Sipadan sudah cukup membuatkannya rasa tidak keruan memikirkan risiko yang bakal dihadapi.

Wajah kanak-kanak di Pulau Danawan yang mahu diberikan peluang pendidikan untuk menjadi insan berguna dan berilmu suatu hari nanti.

“Pada mulanya saya bimbang tentang keselamatan saya rentetan daripada insiden ancaman pengganas itu tetapi akhirnya sedar semuanya sudah lama kembali pulih.

“Apa yang menjadi tanda tanya bagaimana persekitaran dan kehidupan di situ (Pulau Danawan). Saya tahu budayanya cukup berbeza,” katanya.

Hafiz yang merupakan guru Pendidikan Islam dan Pendidikan Seni Visual berkata, selain kekurangan dari segi kemudahan, dia turut berhadapan dengan masalah komunikasi dengan masyarakat setempat terutama para pelajarnya.

“Sebahagian besar masyarakat Pulau Danawan bertutur dalam bahasa Bajau dan tidak ramai yang boleh berbahasa Melayu. Bagaikan ayam bercakap dengan itik.

“Saya berusaha belajar bahasa Bajau kerana begitulah adat bila merantau ke tempat orang menyesuaikan diri dengan kehidupan mereka,” katanya.

Menurut Hafiz, dia hanya pulang ke kampung halaman apabila tiba cuti pertengahan tahun, cuti akhir tahun dan cuti Hari Raya Aidilfitri.

“Perjalanan saya dari Pulau Danawan ke Dungun tidak semudah yang disangka tetapi kepulangan itu amat bermakna buat keluarga di kampung,” katanya yang terpaksa menggunakan perkhidmatan bot selama tiga jam dari Pulau Danawan ke Semporna, menaiki bas satu setengah jam (Semporna-Tawau), kapal terbang kira-kira tiga jam (Tawau-Kuala Lumpur) dan 45 minit (Kuala Lumpur-Kuala Terengganu) dan bas selama satu jam (Kuala Terengganu-Dungun).

Hafiz sedang merangka modul pembelajaran untuk para pelajarnya.

Pertama kali

Bagi Mohd Salehudin Rosdi, 28, pula tidak menyangka pengalaman pertama kalinya menjejakkan kaki di bumi Sabah adalah Pulau Danawan yang begitu asing.

Mungkin pengalaman pertama segelintir orang adalah sesuatu yang mengujakan namun tidak bagi anak kelahiran Felda Redung, Segamat, Johor ini.

“Pada awalnya, saya berasa amat bosan di sini. Mana ada kawan-kawan yang boleh berjumpa. Jika dahulu, bolehlah juga menghabiskan masa dengan bermain boling.

“Saya hanya bersiar-siar di tepi pantai, berenang dan memancing. Namun lama-kelamaan saya sudah biasa dengan persekitaran di sini,” katanya.

Salehudin yang merupakan guru Matematik dan Bahasa Melayu berkata, dia mula mengajar di SK Denawan pada Januari 2010 dan ketika itu masih belum ada penggunaan genarator bagi mendapatkan tenaga elektrik.

“Di sekolah pun tidak ada kemudahan elektrik. Sudah menjadi lumrah apabila berada dalam keadaan panas. Tingkap dibiarkan terbuka untuk memudahkan angin masuk.

“Bagaimanapun saya kagum dengan masyarakat di sini. Mereka masih boleh hidup tanpa elektrik maka kenapa tidak saya membiasakan dengan keadaan itu,” katanya yang sering tidur dalam keadaan berlengeng atau tidak berbaju kerana cuaca panas.

Tambahnya lagi, Pulau Danawan yang serba kekurangan menyebabkan dia dan rakan-rakan sejawatnya ke Semporna pada setiap hujung minggu.

“Menaiki bot mengambil masa kira-kira tiga jam sudah menjadi perkara biasa kerana itu saja cara untuk mendapatkan barangan keperluan dan peluang bersiar-siar.

“Di sini mana ada restoran. Jika tidak, beli saja ikan-ikan yang ditangkap oleh penduduk kampung,” kata Salehudin yang turut meluangkan masa bergaul dengan anggota ATM dari Markas Pertahanan Hadapan ATM yang sering beramah mesra dengan masyarakat setempat di Pulau Danawan.

Pertama kali menjejakkan kaki di bumi Sabah tidak melunturkan semangat Salehudin (kiri) untuk mendidik kanak-kanak di Pulau Danawan.

Amat berbeza

Sementara itu, Zurizan Zakaria, 28, berasal dari Kampung Usaha Jaya, Kinabatangan, Sabah berkata, tugasan pertama sebagai guru turut dilaluinya di Pulau Danawan.

Walaupun dia sendiri merupakan anak kelahiran Negeri di Bawah Bayu namun berpendapat bahawa masyarakat di kepulauan itu jelas berbeza.

“Sebahagian besar mereka adalah Bajau Laut. Cara hidup mereka tidak sama seperti masyarakat di darat,” katanya yang merupakan guru Sains dan Bahasa Inggeris.

Zurizan yang mula mengajar di SK Denawan pada Januari 2009 berkata, ketika itu merupakan tahun pertamanya dia berumahtangga dengan Norsyahida Abdul Sani yang juga merupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan Bandar Sibu, Sarawak.

Jelasnya, pada tahun pertama itu sememangnya agak sukar berikutan masing-masing berjauhan namun demi tanggungjawab sebagai pendidik, ianya ditangani dengan baik.

“Saya hanya berjumpa isteri pada musim cuti sekolah yang panjang. Selain itu, kami mengubat rasa rindu dengan menelefon antara satu sama lain,” katanya.

Menceritakan keadaan di Pulau Danawan, Zurizan berkata, kebanyakan masyarakat setempat lebih gemar membuat hal sendiri daripada bergaul dengan orang luar.

“Ini terutama mereka di kalangan suku Bajau Laut namun masih ramah. Mereka hanya jeling-jeling dan senyum apabila kami berselisih.

Pembelajaran secara visual merupakan antara pendekatan yang dilakukan oleh guru-guru di Sekolah Kebangsaan Denawan.

“Pulau Danawan begitu asing tetapi penduduk di sini hidup aman damai meskipun perbezaan budaya, latar belakang dan komunikasi,” katanya.

Begitulah kisah kehidupan tiga guru yang pertama kali diarahkan bertugas di SK Denawan, satu pengalaman yang sukar dicari ganti.

Difahamkan sekolah ini sudah lama ditubuhkan sejak lebih separuh abad dan pada masa ini mempunyai seramai lapan guru dan 31 pelajar. Ia mempunyai tiga kelas, pejabat, pusat sumber dan kuaters guru.

SK Denawan hanya menempatkan pelajar tahun satu, dua dan tiga manakala pelajar tahun empat, lima dan enam bersekolah di Sekolah Kebangsaan Berpusat Bumbum, Semporna.

Ketiga-tiga guru ini akur berada asing di bumi sendiri demi tanggungjawab mendidik anak-anak masyarakat Pulau Danawan agar menjadi insan berguna dan berilmu.

Kehidupan di perantauan nyata mencabar dan memerlukan pengorbanan besar dan pastinya jasa mereka sebagai pendidik tidak ternilai dan penuh bermakna.

Rujuk di sini

Sunday, August 21, 2011

Buku-bukuku : Jun, Julai, Ogos 2011

Seperti biasa....Pak Latip sentiasa menawan hati saya dengan tulisannya. Ini buah tangan terbaru daripada beliau..Perang Khaibar satu perang yang kompleks, namun penceritaannya yang secara santai, membuatkan saya selesa untuk mengetahui apa yang berlaku seterusnya..
Secara umumnya mungkin kita semua sudah tahu apa yang berlaku dalam kejadian Isra dan Mikhraj...Namun saya INGIN TAHU LEBIH DARI ITU.. Dan saya rasa buku ini boleh menjawabnya dengan maklumat baru...
Beli buku sebagai persediaan untuk diri sahaja...
Buku setebal 300 muka surat ini bukan mudah untuk di habiskan..masih berusaha...Gambar, grafik dan peta minda amat membantu untuk menambah kefahaman saya...Terima Kasih buat Panitia Pendidikan Islam SKSI yang menghadiahkan pada saya takala usai berceramah di sana..
Ingin mencuba penulisan baru sejarah Islam...Ustaz Syaari mantan SU GAMIS..Ingin menjadi sehebat al-Fateh..Maka perlu kenal al-Fateh terlebih dahulu..Seorang pemuda dan pemimpin Islam yang amat bersinergi...
Karya Ustaz Riduan...Perbandingan ilmiah dengan karya yang di tulis oleh Dr. Mujahid Yusof Rawa..Ntah kenapa...dari segi fakta...Karya Dr Mujahid bolehlah dianggap "menang".
Bacaan penting untuk rakyat yang inginkan perubahan...Ayuh...Bangkit...Kita menolak bukan kerana mengikut...tetapi anak muda menolak dengan kajian bahawa ada yang lebih baik dari yang ada sekarang...
Terbitan terbaru Galeri Ilmu...
Terbitan terbaru Galeri Ilmu...
Banyak pengisian keluaran kali ni...
Bukan nak jadi bomoh...paling kurang untuk pengetahuan diri sendiri sahaja...
Saya bukan penceramah hebat...Kena belajar dan terus belajar..kena bertanya dan terus bertanya...kena mencuba dan terus mencuba...

Ustaz Fadzil Noor (1937-2002) dalam kenangan

Dari Gudang Ilmu Ke Kancah Siasah

Malaysia semenjak zaman disentuh angin sejahtera Islam sejak ratusan tahun dahulu, tidak pernah gagal untuk menampilkan ulama’ dan pemikir Islam sehingga ada yang bermukim di Mekah untuk menyampaikan ilmu di Masjidil Haram. Ulama’ yang dilahirkan di Tanah Melayu ini bukan sahaja mampu mengajar kitab di masjid namun menjulang senjata untuk menentang penjajah kuffar. Antara ulama’ ini ialah Tuan Guru Haji Hassan Bin Munas, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Ustaz Abu Bakar al Bakir dan ratusan ulama’ lain.

Dengan merdekanya Tanah Melayu pada tahun 1957, pentas siasah negara ini menyaksikan pertarungan ideologi yang pelbagai samada kebangsaan Melayu, sosialisme, Islam dan sebagainya. Pelbagai tokoh muncul dalam menyuarakan aspirasi perjuangan yang diperjuangkan, sebahagiannya mampu bertahan di pentas siasah dan ada yang tersungkur ditelan waktu. Salah seorang insan yang telah melakar nama dalam sejarah politik Islam negara ini ialah Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor.
Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor atau dengan gelaran yang sangat melekat dalam jiwa ummat Islam sehingga kini “Ustaz Fadzil’ merupakan seorang pemimpin dan tokoh politik yang dihormati dan disegani oleh semua lapisan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa, ekoran daripada penampilan negarawan yang dimiliki oleh beliau. Dengan sosok yang kurus, berbusana kemas dengan kancingan baju Melayu yang lengkap, dengan sorotan mata yang hening menggambarkan ketajaman berfikir, beliau memang dilahirkan sebagai pemimpin ummah.

Berbekalkan ilmu pengetahuan yang tinggi terutamanya ilmu-ilmu agama yang diperolehi ketika bertamu di bumi Mesir, beliau dipakejkan dengan pelbagai ilmu lain seperti sosial sains, ditambah dengan kuat membaca dan menelaah. Ilmu-ilmu yang dikutip di universiti kehidupan ini meluaskan ufuk ilmu tokoh ulama’ ini. Perwatakan yang sederhana serta sentiasa berdamping dengan masyarakat, beliau adalah sebutir mutiara yang sangat berharga yang pernah dilahirkan oleh PAS dalam sejarahnya di pentas politik dakwah negara ini. Musuh politik PAS sendiri meletakkan almarhum dengan markah yang tinggi bahkan masyarakat bukan Melayu turut mengkagumi sosok tubuh dengan postur yang sederhana ini. Almarhum menyeruak kehidupan masyarakat tanpa mengira penat lelah dan suka ‘mendengar’ masalah rakyat menyebabkan Ustaz Fadzil sentiasa dikenang dalam sisi putih.

Pakej kepimpinan yang ada pada beliau ini ditempa dalam proses pergulatan hidup yang panjang selain daripada anugerah ilahi kepada umat Islam negara ini, almarhum membesar dengan semangat cinta kepada ilmu, seterusnya meminati bidang dakwah dan politik semasa belajar di bangku menengah lagi.


Latar belakang keluarga

Dato’ Haji Fadzil @ Ali bin Mohd Noor atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Fadzil dilahirkan hasil perkongsian hidup antara Mohd Noor Abdul Hamid dan Hindun Haji Abdul Rahman. Beliau dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, kira-kira tiga kilometer dari bandar Alor Star, Kedah, beliau merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik.

Takdir ilahi telah mencatatkan bahawa insan ini diuji dengan kehilangan ibubapa tercinta, kedua-dua ibu bapa meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil lagi. Latar belakang keluarga sebelah ibu bapanya adalah dari kalangan keluarga yang berpegang teguh kepada ajaran Islam. Moyang beliau iaitu Tuan Guru Haji Idris Al-Jarumi merupakan salah seorang ulama’ yang disegani berasal dari Wilayah Patani, Thailand dan seorang yang terkenal di Kedah. Wilayah yang sarat dengan pemukiman ilmu ini telah memunculkan ratusan pondok yang subur merendang dengan ilmu Islam.

Darah ulama’ pejuang telah mengalir dalam urat sendi darah Ustaz Fadzil, sehingga menjadikan beliau pemimpin yang tidak gentar dengan ugutan dan ancaman musuh dalam menyampaikan agama Allah.

Pendidikan

Memimpin masyarakat bukan sekadar menjadi insan yang mesra rakyat yang sekadar memenuhi jemputan kenduri kahwin tetapi mestilah dipakejkan dengan ilmu formal dan tidak formal. Almarhum merupakan seorang tokoh yang konsisten dalam menuntut ilmu, sentiasa menimba ilmu bagi menjadi pemimpin yang kredibel.

Sejarah awal pendidikan Ustaz Fadzil bermula sekitar tahun 1946. Waktu itu beliau mengikuti pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga, Alor Star sehingga tahun 1949. Kemudian menyambung pelajaran peringkat menengah di sebuah sekolah yang berpengaruh di Kedah yang telah melahirkan ribuan alim ulama’ iaitu Maktab Mahmud sehingga tahun 1958 sebelum meneruskan pengajian tinggi di tempat yang sama sehingga tahun 1962. Anak muda ini berjiwa besar dan sentiasa kehausan ilmu, beliau bercita-cita besar untuk belajar jauh dari tanahair iaitu di Timur Tengah. Pada tahun 1963 beliau menyambung pelajaran ke seberang laut dengan mengikuti pengajian di Universiti Al-Azhar di Mesir (sebuah institusi pendidikan yang paling berpotensi dan berprestij dalam dunia Islam) dengan mendapat biasiswa dari kerajaan negeri Kedah. Di Universiti Al-Azhar, beliau mengambil jurusan Perundangan Islam (Syariah) dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1967 dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam lapangan tersebut. Beliau bukan sahaja mendapatkan ilmu daripada dewan kuliah di Al-Azhar tetapi juga menggali mutiara ilmu daripada ulama’-ulama’ Mesir untuk memantapkan ilmu beliau sebagai bekalan dakwah untuk pulang menabur bakti di tanahair.


Perkahwinan

Ustaz Fadzil mendirikan rumah tangga dengan sepupunya Siti Khadijah Ibrahim pada tahun 1963. Isteri beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Farbish Bakar, Alor Star, Kedah. Setelah berkahwin, isterinya menemani almarhum belajar di Al-Azhar. Perkahwinan mereka yang sangat bahagia dalam kesibukan belajar dan berjuang telah membuahkan kurniaan lapan orang anak iaitu Huda, Ammar, Aiman, Muna ’Izzah, Muhammad Faiz, Salwa, Ahmad Fauwaz dan Ahmad Anas. Beliau bukan sahaja berjaya sebagai ahli politik malah merupakan ketua keluarga yang mithali dalam mendidik anak-anaknya dengan penuh kasih sayang dan bertanggungjawab. Sebahagian anak-anaknya juga terlibat dalam perjuangan Islam seperti Muna’izzah dan menantu beliau Sabki Yusuf.


Bakat Kepimpinan

Potret kehidupan yang digores selama kehidupan telah menyaksikan bakat kepimpinan yang tinggi teradun dalam diri almarhum. Bakat kepimpinan beliau mulai terserlah sejak di bangku sekolah terutamanya di Maktab Mahmud, di mana beliau memiliki kebolehan berpidato dan mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan dan bahas. Keistimewaan yang ada pada beliau boleh berhujah secara spontan dan berkemahiran tinggi dalam ilmu mantiq. Pada tahun 1967, sewaktu di Al-Azhar, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha dan Timbalan Presiden dalam Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).
Perkhidmatan

Tahun 1967 beliau pulang ke tanah air dan ditawarkan berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Maktab Mahmud, ‘alma mater’ beliau sebelum ke Mesir. Pada 1973 ditawarkan berkhidmat sebagai pensyarah Bahagian Pendidikan Islam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sehingga tahun 1978. Semasa berkhidmat di UTM, beliau telah dipecat oleh pihak pentadbir UTM ekoran tindakan beliau bertanding dalam pilihanraya pada tahun 1977 di Kawasan Dewan Undangan (DUN) Alor Merah dan Parlimen Kuala Kedah. Beliau dilihat tokoh yang berpotensi oleh Perhubungan PAS Kedah sebagai pemimpin masa depan.

Sebagai orang yang celik undang-undang, Ustaz Fadzil menfailkan saman ke mahkamah atas tindakan angkuh pihak pentadbiran UTM tanpa mengikut prosedur dan ternyata beliau di pihak yang benar. Pemecatan beliau oleh pihak pentadbiran UTM tidak sah di sisi undang-undang dan mahkamah telah mengarahkan pihak pentadbir UTM membayar ganti rugi. Setelah isu tersebut selesai, beliau kembali sebagai pensyarah dan beberapa bulan kemudian beliau meletakkan jawatan kerana menceburkan diri sepenuh masa dalam perjuangan PAS.

PAS di penghujung dekad 70an dilihat tidak bermaya selepas kekalahan dalam pilihanraya tahun 1978. Terlepas negeri yang menjadi pangkalan politiknya semenjak 1959 iaitu Kelantan. Seorang tokoh besar dakwah dari Indonesia, Dr Mohd Natsir pernah menasihatkan tokoh-tokoh dalam belia Islam di Malaysia supaya segera menguatkan PAS, kerana PAS adalah wadah untuk perjuangan Islam di Malaysia.


Aktiviti Kemasyarakatan

Selain aktif dalam politik Islam dan kerja dakwah, beliau juga pemimpin masyarakat yang bergiat cergas dalam kerja-kerja sosial. Beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Negeri Kedah. Beliau juga pernah menganggotai Angkatan Beliau Islam Malaysia (ABIM), sebuah wadah belia dan pemuda Islam di negara ini yang ditubuhkan pada tahun 1971. ABIM telah mengisi ruang kepada tuntutan Islam yang tegas akibat daripada penyertaan PAS ke dalam kerajaan campuran akibat tragedi 13 Mei 1969. ABIM seumpama simbiosis kepada Dewan Pemuda PAS dimana 8000 ahli PAS ialah ahli ABIM dalam dekad 70an, gerakan belia Islam ini sangat diminati kerana berusaha memurnikan perjuangan Islam terutama pendekatan yang dibawa oleh Ikhwanul Muslimin. Penerbitan ABIM juga aktif menyebarkan pemikiran tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin dan Jamiat Islami.

Fadzil Nor telah memegang jawatan setiausaha penerangan pertubuhan itu dari tahun 1973 hingga 1974. Beliau pernah memangku jawatan Presiden ABIM apabila Presidennya ketika itu, Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA (Anwar ditahan di bawah ISA akibat demonstrasi Baling yang menjadi mercu tanda kepada kebangkitan pelajar di negara ini. Beliau telah dibebaskan pada tahun 1976). ABIM yang ditubuhkan pada tahun 1971 telah mengisi kelompangan dunia ‘anti establishment’ akibat PAS yang menyertai kerajaan campuran. Almarhum ialah orang penting ABIM selain daripada Ustaz Wahab Zakaria, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin dan Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman, beliau disifatkan oleh Anwar Ibrahim sebagai orang rujukan dalam menggerakkan ABIM sebagai gerakan sosio dakwah yang penting dalam dekad 70an. Jaringan kader ABIM di seluruh negara ini juga akhirnya telah ramai menyertai PAS pada awal tahun 80an terutama selepas Anwar menyertai UMNO.

Sepanjang penglibatan dalam ABIM sebagai sosok utama perjuangan, beliau turut terlibat dalam demontrasi menentang isu kemiskinan di Baling, Kedah tahun 1974. Beliau juga terkenal sebagai penggiat tarbiah dalaman ABIM. Beliau banyak bergerak mengisi program usrah, tamrin dan seminar perkaderan di pelbagai tempat. Gerakan belia Islam ini juga banyak menerbitkan buku-buku fikrah dan harakah yang dituang oleh tokoh-tokoh seperti Hasan Al Banna, Sayyid Qutb, Maududi, apatah lagi ABIM menjadi gerakan fenomenal di kampus pada dekad 70an. Ustaz Fadzil juga merupakan Setiausaha Agung Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) tahun 1974, sebuah NGO yang penting di negara ini yang telah mewadahkan ulama’-ulama’ untuk mengerakkan kesedaran Islam kepada masyarakat dan kerap kali juga dilihat bertelagah dengan kerajaan BN dalam banyak isu yang bersangkutan dengan syariat dan akidah. Beberapa tokoh PUM juga kini menjadi tonggak penting kepada PAS seperti Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin.

Beliau sangat rapat hubungannya dengan masyarakat dengan menghadiri majlis-majlis keraian, kenduri kendara, menziarahi orang sakit dan kematian. Jika tidak hadir beliau akan memaklumkan atau hadir ke majlis lebih awal daripada masa yang dijadualkan, pendek kata almarhum tidak akan mengecewakan undangan yang diterima. Beliau bergegas pulang dari sidang Parlimen semata-mata untuk meraikan sesuatu majlis yang diadakan oleh penduduk, sikap cakna dan mengambil berat kepada undangan masyarakat menyebabkan beliau sangat disayangi masyarakat.
Penglibatan dalam Politik

Beliau melibatkan diri dalam politik khususnya dengan perjuangan PAS sejak tahun 1959 sewaktu menuntut di Maktab Mahmud. Kecenderungan politik beliau telah dikesan oleh guru-guru dan juga ahli keluarganya. Kedah ialah pangkalan politik Ustaz Fadzil walaupun pernah ditawarkan untuk bertanding di negeri lain yang lebih selamat seperti di negeri Kelantan (Kelantan semenjak pilihanraya 1959 sentiasa membuka pintu untuk calon PAS dari luar Kelantan). Jelapang padi ini kaya dengan sekolah-sekolah agama dan penyokongnya yang setia sehingga telah mencetuskan beberapa insiden berdarah seperti peristiwa Memali dan peristiwa Lubuk Merbau (1985).

Beliau telah dilantik menjadi Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Kedah dan Ahli Perhubungan PAS Negeri Kedah. Kemudian beliau menganggotai jawatankuasa PAS Kedah. Penonjolan daya kepimpinannya semakin cemerlang telah menyakinkan anggota parti untuk melantik beliau sebagai Naib Yang Dipertua PAS Pusat sepenuh masa tahun 1981 hingga 1983. PAS telah menghadapi transformasi kepimpinan pada tahun 1982 apabila Dewan Pemuda Pusat mengusulkan kepimpinan ulama’. Ustaz Fadzil adalah barisan ulama’ muda yang diberikan ruang untuk memimpin pergerakan Islam kontemporari paling tua di Malaysia.

Bintang beliau seumpama kejora di dada langit malam, pada tahun 1983 beliau telah dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertua PAS sebelum diberikan kepercayaan penuh oleh seluruh ahli PAS untuk menjadi Yang Dipertua PAS pada tahun 1989. Pembabitan awal Ustaz Fadzil di dalam kancah politik pilihan raya bermula tahun 1978, di mana PAS telah memberi mandat kepada beliau untuk bertanding di negeri Kedah dalam pilihan raya umum iaitu di kawasan Parlimen Kuala Kedah dan DUN Alor Merah. Bakat dan potensi beliau sejak awal telah dihidu oleh pimpinan PAS Kedah seperti Dato’ Abu Bakar Umar yang mempelawa Ustaz Fadzil untuk membantu PAS di Kedah. Beliau dilihat anak muda yang akan mengisi barisan hadapan parti itu di Kedah apatah lagi dengan pengalamannya yang memimpin ABIM dan organisasi mahasiswa semasa menuntut di Mesir. Dalam pilihanraya tahun 1978 beliau kalah kepada Senu Abdul Rahman, namun pilihanraya itu telah memperkenalkan almarhum kepada pengundi kawasan itu.

Pada tahun 1980, beliau sekali lagi bertanding dalam pilihan raya kecil di kawasan DUN Bukit Raya berikutan kematian ahli DUN tersebut. Tahun 1982 beliau sekali lagi bertanding di kawasan DUN Bukit Raya dan seterusnya berjaya mempertahankan kerusi di kawasan itu selama empat penggal berturut-turut sehingga Pilihan Raya Umum 1995.

Pada 1982 beliau menang dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Haji Safirol Haji Hasim dan calon bebas Mohd Mokhtar Abdullah dengan Majoriti 346 undi, 1986 menang dengan majoriti 2,215 undi mengalahkan calon BN Ahmad Zakuan Haji Ahmad, 1990 mengalahkan calon BN Dato’ Syed Mansor Barakbah dengan majoriti 1,829 dan pada Pilihan Raya Umum 1995 mengalahkan calon BN juga iaitu Fadzil Hanafi dengan majoriti 2,414. Pada Pada Pilihan Raya Umum 1999, Ustaz Fadzil mencatat dua kejayaan. Dalam Pilihan Raya Parlimen, beliau menewaskan bekas Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Othman Abdul (calon BN) di Pendang. Allahyarham mendapat 22,413 undi berbanding 19,474 undi oleh Othman. Kejayaan ini sangat manis kepada PAS kerana inilah sejarah PAS menang paling besar dalam merebut kerusi parlimen (menang 27 kerusi parlimen).

Di DUN Anak Bukit, Allahyarham mendapat 8,480 undi menewaskan calon BN, Dato’ Abdullah Hasnan Kamaruddin yang mendapat 6,640 undi. Kemenangan ini cukup manis kerana DUN ini adalah berada di pinggir bandar yang menandakan golongan kelas menengah menyokong perjuangan Islam termasuk orang bukan Islam. DUN anak Bukit adalah DUN baru yang dipecahkan melalui persempadanan semula kawasan pilihanraya dan tuah telah menyebelahi Ustaz Fadzil manakala Mohamad Sabu telah memenangi Parlimen Kuala Kedah. (Perlu diingat bahawa Mohd Sabu hanya menang kurang daripada seribu undi) maknanya Ustaz Fadzil telah mendapat banyak undi peribadi daripada luar kelompok PAS. Allahyarham juga berusaha keras agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang zalim dimansuhkan , akta tanpa bicara itu telah memberangus lebih 4000 orang mangsa sejak diperkenalkan pada tahun 1960, al marhum cukup dekat dengan kesengsaraan mangsa-mangsa tahanan ISA tanpa mengira latarbelakang mereka, samada daripada kalangan ahli PAS atau pun tidak. Beliau sangat konsisten dalam menentang akta ini kerana akta ini telah menjaring ramai ahli-ahli PAS dan juga aktivis ABIM sebelumnya.

Pada kira-kira jam 10.30 pagi 23 Jun 2002, Ustaz Fadzil menghembuskan nafas terakhir untuk menghadap Maha Pencipta, Allah SWT. Berbondong-bondong manusia menyerbu Hospital HUKM Kuala Lumpur, menyolati jenazahnya di Madrasah Mustaqimah bandar Tun Razak malah ratusan ribu yang lain telah berhimpun di Kedah untuk menghantar mujahid ulung ini, pemimpin yang akan terus tersemat ingatan tentangnya dihati setiap manusia yang berada dipelantar zamannya. Beliau mewasiatkan untuk disemadikan di tanah Muasassah Darul Ulum yang telah dibangunkan oleh al marhum untuk merealisasikan kompleks pendidikan PAS Kedah. Manusia telah bertali arus mendatangi Muasasah Darul Ulum untuk menziarahi makam beliau yang sangat sederhana, tanpa binaan megah melainkan sentiasa didatangi pengunjung untuk menitip doa kepada mujahid yang telah mewakafkan kehidupannya untuk perjuangan Islam. Semasa saat-saat akhir untuk urusan pengebumian, langit tenang seolah turut berduka, ribuan mata merah berair kesedihan dengan tazkirah ringkas daripada Tuan Guru Mursyidul Am yang sarat dengan makna mendalam seumpama tazkirah Saidina Abu Bakar di hari kewafatan Rasulullah. Kematian adalah kepastian kepada sebuah perjalanan hidup, tinggal lagi bagaimana kita akan memberi makna kepada kehidupan itu.

Oleh: Riduan Mohamad Nor
(Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat)

Rujuk di sini

Runtuhnya Ramadan dilanda tsunami Aidilfitri

HARI ini 21 Ramadan 1432 Hijrah. Sudah masuk 10 hari terakhir umat Islam di Malaysia berpuasa. Jika diibaratkan berlumba lari, kita kena memecut lebih laju untuk sampai dulu ke garisan penamat dan muncul juara.

Laju yang dimaksudkan ialah meningkatkan amal ibadat tambahan sama ada memperbanyakkan membaca dan menghafal al- Quran, bersedekah, solat sunat malam (tarawih, tahajud, tasbih). Rasulullah SAW beriktikaf di masjid pada 10 hari terakhir Ramadan dan menjauhkan diri daripada menggauli isteri-isteri baginda.

Di Malaysia, adakah kita umat Islam meningkatkan ibadat pada 10 akhir berpuasa sebagaimana Rasulullah? Atau sudah masuk ke gear rendah dan memperlahankan amal pengabdian kepada Allah SWT?

Semua orang tahu jawapannya. Inilah masanya persiapan untuk menyambut Aidilfitri bertambah ligat. Gedung membeli-belah semakin penuh sendat. Jalan-jalan raya di pusat bandar besar semakin sesak. Bunyi mercun dan bunga api semakin gempita. Kerap kali ledakan mercun bola berhampiran surau memusnahkan kekhusyukkan jemaah yang sedang bersolat tarawih.

Sesungguhnya keghairahan mengimarahkan Ramadan yang amat ketara pada dua minggu pertama mulai lesu apabila Syawal semakin hampir. Lagu-lagu Aidilfitri yang berkumandang di radio dan di pusat-pusat beli-belah turut melonjakkan nafsu untuk beraya dan mengendurkan semangat beribadat yang begitu kental pada awal Ramadan.

Tambahan pula gaji awal dan bonus baru diperoleh. Makin ligatlah otak dan nafsu mencongak jumlah barang yang hendak dibeli. Bukan sekadar kuih-muih, pakaian dan gajet baru, malah ramai juga yang mengintai iklan-iklan kereta untuk pulang ke kampung dengan mobil baru yang mempamerkan peningkatan karier dan kejayaan hidup di kota.

Masing-masing juga telah lama meneliti kalendar, menghitung hari cuti yang layak dipohon. Kerani-kerani yang menjaga rekod cuti juga semakin sibuk melayani permohonan yang bertambah. Bos-bos yang tidak mengatur jadual cuti raya kakitangan mengikut giliran akan pening berhadapan dengan kerenah orang-orang bawah berebut cuti. Yang rambut beruban pun boleh bertukar perangai bagaikan kanak-kanak, sanggup bergaduh kerana berebut cuti.

Berapa orangkah yang memohon cuti untuk memberikan lebih tumpuan kepada ibadat pada 10 hari terakhir Ramadan?

Tahap kesabaran juga mulai menurun bersama kehampiran Syawal. Bukan sahaja di jalan raya dan gedung beli-belah, malah di masjid juga terserlah perangai sebenar kebanyakan anak Adam.

Barisan saf jemaah solat tarawih mulai menipis. Imam-imam yang memimpin solat juga semakin kerap terlupa ayat al-Quran yang dibaca. Ramai juga yang mempercepatkan bacaan dan pergerakan solat tanpa mengambil kira kecergasan orang-orang tua yang menjadi jemaah setia.

Bersahutan

Makcik-makcik yang bertadarus juga mulai menggesa rakan-rakan mempercepatkan bacaan al-Quran supaya lebih lekas khatam. Ada juga yang mengingatkan rakan-rakan tadarus tentang kumpulan-kumpulan lain yang telah jauh meninggalkan mereka dengan menghabiskan lebih banyak juz. Ketergesaan mengambil tempat kesabaran.

Suasana syahdu menjelang subuh dengan suara-suara merdu bacaan Quran dan tahmid saling bersahutan melalui pembesar suara juga turut lesu bersama tsunami menjelang Aidilfitri. Ada kalanya kita terpaksa menengok jam untuk mendapatkan kepastian tentang waktu subuh kerana mikrofon di masjid dan surau masih membisu walaupun waktu imsak semakin hampir.

Aneh sungguh perangai manusia. Hendak dikatakan pengaruh syaitan, Rasulullah telah menegaskan bahawa syaitan-syaitan dirantai pada bulan Ramadan.

Bukan sahaja syaitan-syaitan di rantai, malah Allah SWT telah menyediakan insentif paling istimewa pada 10 akhir Ramadan, iaitu Lailatul Qadar atau malam penuh kemuliaan.

Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. - Al Qadr 97: 1,2 dan 3

Diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dari Salman bahawa Rasulullah SAW pada hari terakhir bulan Syaaban berkhutbah di hadapan para sahabat yang bermaksud:

Wahai manusia, sesungguhnya kmu akan dinaungi oleh bulan yang sentiasa besar lagi penuh keberkatan, iaitu bulan yang di dalamnya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan; bulan yang Allah telah menjadikan puasaNya suatu fardu dan qiyam di malam harinya suatu tathauwu'. Barang siapa mendekatkan dirinya kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan di dalamnya, samalah dia dengan orang yang menunaikan suatu fardu di bulan yang lain. Dan barang siapa menunaikan suatu fardu di bulan Ramadan, samalah dia dengan orang yang mengerjakan 70 fardu di bulan yang lain.

Ramadan itu adalah bulan sabar sedangkan sabar itu, pahalanya adalah syurga. Ramadan itu adalah bulan memberikan pertolongan dan bulan Allah menambah rezeki para mukmin. Sesiapa memberi makanan berbuka kepada seseorang yang berpuasa, adalah yang demikian itu merupakan pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dirinya daripada neraka. Orang yang memberikan makanan berbuka puasa, baginya pahala seperti pahala orang yang mengerjakan puasa, tanpa sedikitpun berkurang (pahala yang berpuasa).

Betapa keghairahan persiapan untuk menyambut Aidilfitri telah mengenepikan 'bonus besar' yang sepatutnya diperoleh setiap jiwa yang beriman di bulan Ramadan.

Aidilfitri pertama yang berlangsung pada 1 Syawal tahun 2 Hijrah bergema dengan takbir di seluruh Madinah bagi merayakan kemenangan tentera Islam pimpinan Rasulullah di Perang Badar. Pada hari-hari Aidilfitri seterusnya, takbir dilaungkan tanda kesyukuran atas kemenangan dalam jihad melawan hawa nafsu pada bulan Ramadan.

Malangnya pada hari ini, ramai umat Islam terlebih tumpu kepada persiapan untuk menyambut Aidilfitri. Anehnya peperangan melawan hawa nafsu belum habis, kita lebih sibuk dengan persiapan untuk kononnya merayakan hari kemenangan.

Kemenangan apa jika jihad perjuangan sudah kendur pada hari-hari terakhir Ramadan? Ibarat berlumba lari, kita memperlahankan langkah ketika hendak sampai ke garisan penamat setelah begitu pantas memecut pada awal perlumbaan.

Inilah fenomena umat Islam di Malaysia pada hari ini. Puasa sebulan, beraya pun sebulan. Hadiah kemenangan yang hakiki berupa rahmat dan keampunan daripada Allah belum tentu dapat, tetapi yang bertambah subur ialah nafsu yang dibajai untuk menyambut Aidilfitri.

Dan turut memeriahkan sambutan ialah budaya yang tidak kena mengena dengan syariat agama. Lagu-lagu raya berkumandang lebih lantang daripada bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Bunyi mercun menjelang Aidilfitri lebih hebat daripada gema takbir. Pemberian 'angpau' seolah-olah jadi suatu perkara yang wajib.

Astaghfirullah! Marilah kita kembali kepada landasan yang betul. Berlari kencanglah dari awal hingga ke garisan penamat Ramadan. Pasti kita akan merasai betapa syahdunya takbir di ambang Aidilfitri. Hancur luluh jiwa dan perasaan melaungkan takbir mengagungkan nama Allah Yang Maha Agung. Itulah tanda kemenangan sejati.

Rujukan di sini.

Friday, August 19, 2011

Jelajah 2011 : Kem Bina Insan @ MTK, Jun 2011




Program yang disusun sekitar bulan Jun 2011 yang lalu, bertempat di Madrasah at-Taklimiah al-Khairiah...

Thursday, August 18, 2011

Dokumentasi kisah Anbiya




BUMI Palestin sudah lama diancam dan diceroboh dengan hebatnya oleh kaum Kuffar dan Yahudi. Kekejaman mereka itu sudah berlarutan sejak tahun 1948 lagi.

Malahan, perebutan bumi Palestin telah lama berlaku sejak zaman Saidina Umar al-Khattab iaitu Khalifah Kedua antara tiga penganut agama samawi iaitu Islam, Kristian dan Yahudi apabila Kota Jerusalem ditakluk oleh Nabi Daud AS bermula pada tahun 636 Masehi.

Menyaksikan peperangan yang telah berlaku hampir beratus-ratus tahun itu, SNR Multitech Production bersama CIMB Islamic Bank Berhad telah mengambil inisiatif bagi menyingkap fakta atau penceritaan di sebalik negara yang telah dijajah Zionis sejak sekian lama itu untuk diungkap menerusi dokumentari 30 episod yang diberi judul, Palestin-Bumi Para Anbiya.

Ini kerana di sebalik kekejaman tersebut, wujud kisah-kisah para anbiya yang mungkin tidak diketahui masyarakat. Penerokaan bumi Palestin yang mengambil masa selama tiga tahun ini telah dimanfaatkan dengan mengambil al-Quran menjadi sumber utama.

Mungkin pengalaman tiga tahun tidak cukup untuk didokumentasikan untuk 30 episod namun, kru produksi telah mengerah keringat masing-masing selama dua bulan menjalani penggambaran bagi memberikan yang terbaik kepada masyarakat di luar sana.


SUASANA di Sanli Urfa, Turki, lokasi Nabi Ibrahim AS dizalimi Raja Namrud iaitu pemerintah Mesopotamia purba yang kini dikenali sebagai negara Iraq.


Menceritakan pengalaman berada di bumi Palestin itu, pengarah bersama program itu, Abdul Razak Kassim atau lebih mesra disapa sebagai Pak Yeop mengakui banyak masalah yang timbul di negara yang sememangnya sedang bergolak itu.

"Sebaik menjejakkan kaki ke sana, pasti ada pihak berkuasa akan mengikuti kami. Dua buah kamera kami ditahan, termasuk beberapa peralatan lain yang tidak lepas semasa membuat pemeriksaan kastam di sana.

"Walau bagaimanapun, terdapat kamera video yang saiznya sedikit kecil yang dapat dibawa masuk. Jadi, sepanjang penggambaran, kami hanya gunakan kamera tersebut," cerita Pak Yeop yang bersyukur kerana akhirnya penggambaran siap dan semuanya berjalan dengan lancar.

Ujar Pak Yeop lagi, situasi tersebut berlaku kerana mereka beranggapan kru produksi yang hadir adalah untuk membuat publisiti keadaan rusuhan yang berlaku di sana namun pada hakikatnya bukan seperti yang difikirkan mereka.

Berbicara melalui pengalaman yang ditempuh sepanjang berada di negara timur tengah itu, akuinya, masalah akan menjadi peneman setia walau ke mana jua pelosok bumi Palestin diterokai.

Diambil sebagai contoh, ke mana sahaja mereka pergi, pasti ada pihak berkuasa yang menemani kerana katanya, mereka risau akan kehadiran warga luar yang hadir kerana khuatir akan membawa provokasi.

Selain itu, mereka juga turut ditahan di beberapa balai polis sepanjang melakukan penggambaran di sana. Sewaktu kehadiran mereka di sana, pihak berkuasa turut menghantar unit gerakan khas polis untuk memantau gerak geri mereka seharian.

"Bukan hanya pada siang hari, malah kami diiringi sehingga ke larut malam selain krew produksi sering disoal sepanjang penggambaran kerana ingin ketahui apa yang kami lakukan," kata Pak Yeop yang bersyukur dengan izin Tuhan mereka berjaya mengharungi rintangan tersebut.


PAK YEOP (kiri) dan Shahool di hadapan Masjid Khalid Al-Walid di Syria.


Namun, demi ingin merakamkan aset berharga di bumi Palestin itu, semua kru program ini sanggup menempuh rintangan sepanjang penggambaran berlangsung.

"Mengapa kami mahu menerbitkan cerita ini dalam bentuk dokumentari adalah kerana saya sendiri pernah berada di Gaza, saya lihat betapa daifnya mereka dan apabila mereka ketahui kami dari Malaysia, mereka terus memeluk kami kerana menghargai kita yang ingin membantu," jelas Pak Yeop lagi.

Namun, masalah peperangan Palestin bukanlah maklumat baru yang diketahui umum. Ia telah terjadi di bumi itu sejak beratus tahun yang lalu seperti tanpa ada jalan penyelesaian.

Bagaimanapun, siri dokumentari ini bukan semata-mata menceritakan tentang kezaliman zionis ke atas bumi Palestin ini, ia juga menceritakan mengenai kedudukannya yang sangat istimewa di sisi agama Islam yang jelas dinyatakan di dalam al-Quran.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SNR Multitech, Shahool Hameed Mohd Meerah, sebelum dokumentari itu berjaya direalisasikan, penyelidikan telah dilakukan bagi mengkaji semua aspek yang berkaitan dengan misi program ini untuk membuat dokumentasi kisah anbiya di bumi Palestin itu.

Ini kerana pengisian program itu bukan sahaja dari sudut agama Islam, tetapi juga meliputi dari sudut Kristian dan Yahudi juga turut mengatakan fakta yang diberi mereka benar.

Al-Quran sumber utama


MAKAM Khalifah Umar Abdul Aziz di Syria.


Istimewanya, penceritaan serta maklumat dalam dokumentari ini merupakan kajian yang telah dibuat selama tiga tahun yang mana kajian mendalam tersebut telah dijalankan dengan menjadikan al-Quran sebagai sumber yang utama dan sebagai penyokong fakta, kitab Injil dan kajian pakar-pakar sejarah juga turut diambil.

"Walau bagaimanapun, jika sesuatu fakta itu bertentangan dengan al-Quran, maka kami akan tolak kerana kami yakin bahawa al-Quran adalah sumber paling benar dan tepat.

"Namun, jika dilihat, kebanyakan fakta daripada pakar sejarah menyatakan sememangnya mereka menyokong apa yang telah tertulis di dalam kitab suci, al-Quran," ujar Shahool.

Tambahnya, seringkali kaum Yahudi mengakui bahawa kaum mereka merupakan pewaris kepada kaum Bani Israel yang mana dahulunya pernah mengasas sebuah kerajaan di sana pada 3,000 tahun yang lalu.

Namun, setelah kajian menyeluruh dibuat sehingga ke zaman Nabi Adam AS yang mana kru program ini juga telah menuju ke perkampungan pertama Nabi Adam AS serta melawat kesan-kesan sejarah di situ termasuk makam dan sebagainya, akhirnya telah menemukan mereka satu jawapan yang pasti iaitu kaum Bani Israel sebenarnya diasaskan oleh kerajaan Islam ketika itu.


PERKAMPUNGAN Nabi Isa AS di Mau'lala di Jordan.


Di penghuung dokumentari ini, mungkin akan menimbulkan persoalan kelak kepada umat manusia yang mana ia akan menjurus kepada apakah tindakan seterusnya sebagai umat Islam dan manusia yang cintakan keamanan dalam menegakkan hak asasi manusia di atas muka bumi ini.

Ini kerana apa yang pasti, kesengsaraan yang berlaku di bumi Palestin itu bukanlah hanya berlaku terhadap umat Islam, namun ada juga umat bukan Islam yang turut merasai kepedihan yang tidak pernah selesai itu.

Memang tidak dinafikan apabila kru produksi berhijrah ke Gaza, jelas kelihatan masyarakat di sana yang sentiasa berada dalam keadaan susah termasuk tiada pekerjaan dan keperluan harian juga terganggu.

"Namun, apa yang membuat kami insaf iaitu apabila melihat kanak-kanak yang baru ingin mengenal dunia kerana menyaksikan trauma mereka terhadap peperangan. Akibat daripada peperangan tersebut, ada yang mengalami kecacatan tidak kiralah dari segi mental mahupun fizikal.

"Mereka juga masih mengharapkan bantuan untuk belajar dan sebagainya. Namun, ada insiden yang membuatkan kami terdetik rasa hormat kepada anak muda di sana. Mereka menyatakan tidak akan meninggalkan negara kelahiran mereka walau apa pun yang terjadi," bicara Pak Yeop yang kelihatan cukup terharu sepanjang bercerita tentang pengalamannya itu.

KOSMO 18 Ogos 2011

Saturday, August 13, 2011

Haji Mohamad Sabu dan hidupnya

Ketika masih di Tingkatan Lima, beliau pernah mengarang dan menyampaikan pidato yang agak luar biasa bagi seorang pelajar yang sebaya dengannya. Pidatonya mengenai ‘Diplomasi Ping Pong’ (iaitu mengenai pembuka hubungan diplomasi antara Amerika Syarikat dan China) menarik perhatian guru besarnya. “Suatu hari awak akan jadi ahli politik,” kata guru besar itu. Akhirnya, apabila Hj. Mohamad Sabu bertanding dalam Pilihanraya Umum 1982 di mana bekas guru besarnya itu kebetulan menjadi pegawai pilihanraya, beliau memberitahu Mohamad, “Tengok, betul dak apa yang saya kata dulu!”

Dalam politik, pegangan Hj. Mohamad adalah selaras dengan pemikiran pemimpin yang amat disanjunginya, Imam Khomeini. “Kebenaran (truth) lebih penting dari kemenangan (victory),” itulah yang terus dilaungkan dalam ceramah-ceramahnya. “Kalau mereka tuduh kita gila kuasa, kita mengaku: Ya, memang kita gila kuasa. Sebab, dengan kuasa kita boleh merubah keadaan negara kita yang dicengkam kezaliman. Tetapi yang lebih penting dari kuasa (power) ialah kebenaran (truth)”.

Di awal penglibatannya dengan gerakan Islam, pemikiran Hj. Mohamad banyak dibentuk oleh pemimpin-pemimpin dan pembimbing-pembimbing yang terpengaruh dengan Ikhwan Muslimin. Berikutan pengalamannya berinteraksi dengan beberapa tokoh Ikhwan, Hj. Mohamad meneruskan pencarian dalam membentuk pemikiran politiknya. Beliau membaca dan mengkaji hasil tulisan tokoh-tokoh seperti Imam Khomeini, Ayatullah Mutahhari, Ali Shariati, Kalim Siddiqui, Muhammad Al-Asi, Jalaluddin Rachmat dan banyak lagi tokoh yang lain-lain. Di antara kalangan tokoh-tokoh tempatan pula, pemikiran dan pandangan Syed Naquib Al-Attas dan Tan Sri Musa Hitam menarik perhatian beliau.

Kejayaan Revolusi Islam Iran pada tahun 1979 banyak memberi inspirasi kepada pandangan pemikiran politik Hj. Mohamad. Antara pendirian yang semakin teguh di jiwanya hingga sekarang ialah sikap anti Amerika Syarikat, negara yang disifatkan oleh Imam Khomeini sebagai syaitan besar. Beliau menentang sebarang hubungan yang tidak sewajarnya dengan syaitan besar itu dan sanggup melepaskan apa sahaja bagi mempertahankan sikapnya itu. Beliau juga sering merungut apabila ada suara yang seolah-olah memberi kredit kepada syaitan besar itu.

Selain dari Revolusi Islam, perkembangan-perkembangan yang berlaku di Filipina dan Indonesia di hujung kediktatoran Marcos dan Suharto pula mengukuhkan keyakinan Hj.Mohamad bahawa kezaliman hanya boleh ditumpaskan oeleh kuasa rakyat (people’s power). Meskipun beliau menerima pilihanraya sebagai cara menumpaskan kezaliman, tetapi beliau tidak menolak kebangkitan rakyat untuk menghancurkan kezaliman jika semua saluran lain dinafikan.

Bagi Hj. Mohamad Sabu, tahun 1979 adalah tahun yang penuh kenangan baginya. Selain dari kejayaan Imam Khomeini memimpin Revolusi Islam yang kemudiannya merubah politik dunia dan memartabatkan semula kekuatan politik umat Islam, pada tahun yang sama juga beliau berumahtangga. Isterinya, Hajjah Normah Alwi, juga seorang aktivis PAS yang aktif. Beliau pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat dan juga pernah menjadi Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan. Mereka dikurniakan empat orang cahaya mata. Dua orang perempuan dan dua orang lelaki.

Penglibatan awal Hj. Mohamad dalam gerakan Islam ialah dengan menyertai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada tahun 1975 selepas dipecat dari Institut Teknologi Mara (ITM) kerana penglibatannya dalam tunjuk perasaan menentang Akta Universiti. Pada tahun 1978, Hj. Mohamad menyertai Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Pada tahun 1981, beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat.

Pada tahun 1982, ketika baru berumur 28 tahun, beliau meletakkan jawatannya di dalam sebuah syarikat swasta untuk bertanding dalam pilihanraya. Beliau menjadi calon PAS di Kepala Batas menentang Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan juga di DUN Penanti. Pada tahun yang sama juga beliau meninggalkan ABIM sebagai memprotes penyertaan presidennya pada masa itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke dalam Umno.

Pada tahun 1983, Hj. Mohamad dilantik sebagai Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat hinggalah tahun 1985. Dalam pilihanraya 1986 pula, Hj. Mohamad bertanding menentang Anwar Ibrahim di Permatang Pauh, yang dianggap oleh banyak pihak sebagai pertandingan “dua seteru politik yang sukar didamaikan” pada ketika itu.

Pada tahun 1989, beliau dipilih sebagai Naib Ketua Dewan Pemuda PAS pusat hinggalah beliau mengambil keputusan untuk tidak bertanding jawatan itu pada tahun 1997. Beliau mula menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada tahun 1991. Semasa menjadi Naib Ketua Dewan PAS Pusat, beliau dihantar untuk bertanding di Nilam Puri dalam Pilihanraya Umum 1990 yang penuh bersejarah di mana PAS berjaya menerajui semula kerajaan negeri itu. Dalam pilihanraya itu, beliau mengalahkan Datuk Annuar Musa dengan majoriti hampir 8,000 undi, dan menjadi Ahli Parlimen Nilam Puri pada masa itu.

Dalam Pilihanraya Umum 1995, beliau memenangi kerusi Parlimen Kubang Kerian dengan majoriti lebih 10,000 undi, antara majoriti terbesar di Kelantan pada masa itu.

Dalam Pilihanraya Umum 1999 pula, ketika masih menjadi Yang Dipertua PAS Kawasan Kubang Kerian, beliau menerima tawaran PAS Kedah khususnya Presidan PAS, Ustaz Fadzil Noor sendiri, untuk bertanding di Kuala Kedah. Beliau memenangi kerusi Kuala Kedah dengan majoriti 991 undi, dan menjadi Ahli Parlimen Kuala Kedah untuk terus menyumbang baktinya kepada masyarakat di sana pula.

Manakala dalam Pilihanraya Umum ke 11 , pada tahun 2004 setelah beliau menjadi Ahli Parlimen sebanyak 3 penggal, beliau kalah bertanding di kawasan Parlimen Kuala Kedah dengan kekalahan majoriti sebanyak 10,214 undi.

Tahun 2008 pula, di mana gelombang rakyat yang memenangkan Pakatan Rakyat (dalam gabungan PAS, PKR dan DAP) untuk memerintah di lima buah negeri, iaitu melalui Pilihanraya Umum ke 12 pada bulan Mac 2008 , Hj Mohamad telah mengalami kekalahan sekali lagi ketika bertanding di kawasan Parlimen Kuala Terengganu, dengan kekalahan yang tipis sebanyak 628 undi sahaja.

Perjuangan Hj. Mohamad di dalam PAS menghadapi pelbagai cabaran. Antaranya, beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1984 semasa beliau menjadi aktivis Dewan Pemuda PAS Pusat. Selepas ditahan selama 60 hari di Kuala Lumpur, beliau dibuang daerah ke Kuala Pilah pada September 1984 hinggalah September 1986 dengan pergerakan terhad selama dua tahun. Sebelum ditahan di bawah ISA, beliau pernah dikurung di dalam lokap selama dua minggu pada tahun 1975 kerana penglibatannya dalam tunjuk perasaan pelajar ITM menentang Akta Universiti.

Dalam tahun 1987 pula, iaitu dalam Operasi Lalang, Hj. Mohamad sekali lagi ditahan di bawah ISA (penahanan kali kedua). Beliau di kurung di Kamunting sehingga Januari 1990. Beliau ditahan bersama ramai anggota pembangkang dari PAS dan DAP di bawah Operasi Lalang. Semasa dalam tahanan beliau berkenalan dengan YAB Lim Guan Eng kini menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Bagi Mohamad Sabu ketegangan itu berpunca dari memarakkan api perkauman di antara MCA yang melibatkan Tan Sri Lee Kim Sai dan Pemuda UMNO yang melibatkan Datuk Seri Najib Razak kini adalah Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhammad Mohd Taib, Menteri Besar Selangor ketika itu berhubung isu tuntutan Timbalan Perdana Menteri yang dimainkan oleh MCA. Walaupun dibebaskan dari Kamunting, beliau terus dikenakan perintah tahanan daerah di Shah Alam hinggalah April 1990. Beliau selalu mengulas penahanannya di bawah Operasi Lalang itu. “Umno berkelahi dengan MCA, aku yang ditangkap,” kata beliau.

Setelah dilantik sebagai Ketua Lujnah Buruh dan Setinggan PAS, Hj. Mohamad mempertingkatkan lagi usahanya untuk membela nasib kaum buruh dan setinggan yang memang menjadi minat beliau. Antara lain, beliau pernah berusaha untuk mendapatkan pam air dan janakuasa elektrik untuk penduduk setinggan Kampung Chubadak di Kuala Lumpur setelah dikenakan tindakan zalim melalui pemotongan bekalan air dan elektrik untuk menghalau mereka. Dalam membela nasib setinggan, beliau sanggup bergaduh dengan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang mengambil sikap berlepas tangan dan memimpin rombongan setinggan untuk berhadapan dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau juga berusaha membela nasib Orang Asli di Tapah Perak sehingga akhirnya bantuan untuk mereka termasuk pakaian sekolah anak-anak mereka diberikan semula. Pada beliau, kejayaan yang paling manis ialah penglibatannya sebagai salah seorang peneraju utama perhimpunan rakyat untuk menentang pembinaan Jerai International Park yang melibatkan kawasan kira-kira 4,000 hektar termasuk sawah para petani. Perhimpunan itu disertai kira-kira 100,000 rakyat dan akhirnya projek tersebut dibatalkan.

Manakala jawatan tertinggi di dalam di dalam Parti Islam SeMalaysia (PAS) , beliau telah menjadi Naib Presiden selama 2 penggal berturut-turut, iaitu Sessi 2005-2007 dan Sessi 2007-2009.

Sekarang ini juga, beliau memegang jawatan sebagai Pengerusi Badan Penggerak Demokrasi & Mobilisasi (Penggerak Demokrasi) , beliau juga adalah antara salah seorang peneraju utama yang memainkan peranan dalam menggerakkan rakyat dalam himpunan BERSIH pada 10 November 2007 itu, di mana melebihi 100,000 orang hadir di sekitar tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Diperingkat antarabangsa, Hj. Mohamad pernah menyertai rombongan lapan Ahli Parlimen Islam dari seluruh dunia yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri Turki, Necmettin Erbakan, menemui Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ketika itu, Boutros Boutros Ghali. Beliau juga menyertai pelbagai seminar di peringkat antarabangsa termasuk Seminar Buruh di Pakistan, Seminar Mengenai Bosnia Herzegovina di London dan Seminar Gerakan Islam di Afrika Selatan. Beliau juga pernah menjadi tetamu dan bercakap di Radio 786 di Afrika Selatan. Beliau juga aktif memperjuangkan nasib umat Islam Palestin, Acheh, Pattani, Selatan Filipina, Kashmir dan lain-lain.

Hj.Mohamad juga seorang peminat seni yang aktif semasa di ITM. Beliau amat berminat dalam drama dan lakonan serta pernah menjadi Juara Pantun di ITM Jalan Othman pada tahun 1973.

Rujukan di sini

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin