Guru agama yang dikenali sebagai pemimpin spiritual untuk para militan Indonesia yang telah menjangkau usia 72 tahun itu ternyata tidak dapat menerima hukuman yang disabitkan ke atas dirinya.
Hakikatnya, Abu Bakar sejak awal-awal lagi tidak pernah mahu menerima pertuduhan yang dikenakan ke atasnya. Malahan dia menganggap perbicaraannya atas tuduhan keganasan 'didalangi tuhan-tuhan palsu'.
Sememangnya perbicaraan selama empat bulan ke atas Abu Bakar itu diwarnai dengan pelbagai ragam dan perkara. Tumpuan utamanya sudah tentu dihala kepada Abu Bakar sendiri.
Warga emas yang berkaca mata dan berjanggut putih itu sentiasa hadir ke mahkamah dengan memakai kopiah dan jubah serba putih. Kata-katanya sentiasa dinantikan.
Daripada menyatakan bahawa Presiden Susilo Bambang Yudhoyono boleh dianggap kafir kerana tidak menjalankan syariat Islam yang sebenarnya, sehinggalah kepada dakwaan semua pemimpin Indonesia adalah 'thogut' kerana tidak melaksanakan hukum Islam yang benar.
Sebelum hari pengadilan, pendakwa raya semasa menutup kesnya telah memohon Abu Bakar dikenakan hukuman penjara seumur hidup setelah mereka menggugurkan tuduhan utama iaitu mengedar senjata api untuk tujuan keganasan, yang boleh membawa hukuman mati.
Namun, akhirnya Abu Bakar pada 16 Jun lalu dijatuhi hukuman penjara oleh sebuah mahkamah daerah di Jakarta Selatan setelah didapati bersalah memberi bantuan ke atas sebuah kem latihan militan di Aceh pada tahun lalu.
Dakwaan tersebut membabitkan penyaluran wang sebanyak AS$62,000 (RM186,000) kepada sekumpulan militan di Aceh sebagai sebahagian kempen untuk menyerang kepentingan asing dan kerajaan di Indonesia. Kem militan itu dikesan oleh pihak berkuasa pada tahun lalu.
"Abu Bakar dibuktikan bersalah kerana merancang dan memperdayakan orang lain untuk memberi sumbangan ke atas aktiviti pengganas. Dia dihukum penjara 15 tahun," kata hakim Herri Swantoro.
Sejurus prosiding usai pada hari itu, Abu Bakar berjanji akan membuat rayuan berhubung keputusan tersebut.
Sebenarnya telah dua kali percubaan dilakukan untuk membawa Abu Bakar ke muka pengadilan tetapi menemui jalan buntu. Ini termasuklah mengaitkannya dengan aktiviti keganasan dan serangan di Bali yang menyebabkan 202 orang terbunuh pada 2002.
Sebagai seorang individu yang mendapat sokongan padu pengikut-pengikutnya, pengaruh Abu Bakar dapat dilihat pada tarikh hukuman tersebut dijatuhkan.
Pada hari berkenaan, kawalan keselamatan pihak berkuasa cukup luar biasa. Ia melibatkan kehadiran 3,200 anggota polis dan tentera di mahkamah selepas terdapat ancaman bom menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman sosial, Twitter.
Sepanjang perbicaraan pula , sejumlah 2,900 anggota keselamatan telah ditempatkan di mahkamah. Talian telefon juga bercampur-aduk sementara penembak hendap yang memakai balaclava (topeng muka) ditempatkan di sekitar bangunan mahkamah.
Begitulah nasib Abu Bakar yang ditangkap pada Ogos tahun lalu berikutan beberapa serbuan polis terhadap anggota sebuah kumpulan militan baharu, Tandzim al-Qaeda Indonesia yang didakwa mendirikan kem latihan di Aceh.
Sekalipun usia ketua kumpulan berhaluan Islam, Jama'ah Ansharut Tauhid itu telah lanjut dan kini terkurung di sebalik tirai besi, masih banyak pihak bimbang dengan pengaruh Abu Bakar yang masih mencengkam.
Ini dapat dilihat daripada laporan AFP, yang memetik kata-kata analisis Kumpulan Krisis Antarabangsa, Sidney Jones bahawa hukuman tersebut bukanlah penghujung cerita Abu Bakar.
Menurut Jones, cabaran sebenar adalah untuk menjauhkan Abu Bakar daripada banduan-banduan lain yang mungkin boleh dipengaruhi melalui syarahannya.
Sementara Andi Widjajanto dari sebuah universiti di Indonesia menyatakan sekiranya peranan Abu Bakar sudah menjadi tidak begitu berkesan setelah mengisi ruang penjara, akan lahir pula pemimpin spiritual baharu yang akan mengambil alih tempatnya.
Katanya, pemimpin baharu itu akan cuba membuktikan bahawa dia akan disanjung dengan melancarkan serangan yang lebih besar atau seumpamanya.
No comments:
Post a Comment