Sunday, March 28, 2010

Ilmu munakahat atasi zina


DARI Maimunah Binti Harith r.a, Nabi Muhammad SAW bersabda: Umatku sentiasa berkeadaan baik selama tidak ada orang yang berzina. Namun sekali zina telah meluas di kalangan mereka, maka azab Allah akan turun kepada mereka semua. (Riwayat Ahmad)

Mutakhir ini, media mendedahkan berita pembuangan bayi yang saya percaya cukup menyedihkan kita semua. Sama ada bayi itu Islam atau bukan Islam, Melayu atau bukan Melayu,bayi itu tidak berhak diperlakukan sedemikian rupa. Saya merenung permasalahan ini dan bertanya, apakah erti pembangunan yang telah kita bangunkan pada hari ini, jika dalam masa yang sama akhlak manusiawi kita runtuh roboh.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara ( JPN) telah memaklumkan statistik pendaftaran anak luar nikah yang menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun. Pada tahun 2007, 16,100 anak luar nikah didaftarkan, tahun 2008 seramai 16,541 dan tahun 2009 seramai 17,303. Malah yang lebih memeranjatkan saya dalam 5 tahun terakhir ini, JPN telah mencatatkan seramai 74,723 anak luar nikah dari orang Melayu Islam telah didaftarkan.

Fakta yang dibentangkan pada kita di atas, sememangnya cukup serius dan merisaukan. Saya tidak faham jika ada pihak-pihak yang boleh rasa selesa dengan angka-angka tersebut. Ia cukup bagi kita mengandaikan indeks kebejatan akhlak di kalangan masyarakat kita cukup merosot, iman yang semakin rapuh, perintah Allah dilanggar, larangan Allah juga yang dibuat.

Dari Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad SAW bersabda: Tidak berzina seorang penzina itu dalam keadaan beriman. (Riwayat Bukhari & Muslim)

Dalam hal ini kita sepatutnya menggandakan usaha bagi membanteras punca masalah ini tanpa hanya menuding jari kepada pihak-pihak tertentu sahaja. Masalah pembuangan bayi seumpama buah busuk di sebatang pokok. Biasanya kita tidak peduli tentang penjagaan pokok hinggalah sampai musim buah. Namun segala sudah terlambat bila buah yang disangka ranum rupanya busuk dimakan ulat.

Saya berpendapat isu pembuangan bayi berpunca daripada perlakuan zina atau sumbang mahram. Saya sukar untuk mempercayai anak-anak ini dibuang kerana tekanan kemiskinan. Namun dua punca masalah yang telah disebutkan iaitu zina dan sumbang mahram yang saya percaya cukup relevan dengan isu ini.

Pendekatan

Oleh itu satu pendekatan menyeluruh dan bersepadu perlu kita lipat-gandakan melibatkan semua aspek. Contohnya di peringkat sekolah, pentarbiyahan agama dan moral perlu ditekankan dengan sungguh-sungguh. Perlu ada suasana yang konstruktif dalam penerapan agama dan moral di sekolah. Pendidikan agama bukan seperti pendidikan sains, lukisan mahupun matematik. Pendidikan agama satu pendidikan yang bermula daripada penyampaian ilmu, kemudian perlu diamalkan dan akhirnya dihayati hingga berkesan ke dalam lubuk hati.

Saya sejak dulu lagi telah menyarankan ilmu munakahat ini diajarkan dengan lebih serius di sekolah. Ada orang sarankan untuk diajar pendidikan seks di sekolah. Namun saya rasa pendidikan munakahat lebih sesuai. Istilah pendidikan seks itu sendiri dalam masyarakat kita belum dapat kita terima. Tetapi ia istilah dan pendekatan ilmu munakahat lebih sesuai. Dalam munakahat kita bukan saja diajar perhubungan suami isteri, pergaulan lelaki dan perempuan, malah lebih dari itu hubungan dosa dan pahala, hubungan kita dengan Allah. Tiada masalah untuk kita serapkan pendidikan tentang biologi manusia sesuai dengan peringkat umur.

Begitu juga dengan susun atur reka bentuk rumah. Nabi Muhammad SAW mengajar kita untuk mengasingkan bilik anak-anak dari ibu bapa. Bila sampai umur 10 tahun kita perlu pisahkan pula anak-anak lelaki dan perempuan. Hari ini setiap rumah kita perlu ada tiga bilik iaitu bilik ibu bapa, anak lelaki dan anak perempuan. Ini supaya pergaulan anak-anak lelaki dan perempuan begitu juga ibu bapa punya privacy. Dalam perancangan perumahan hari ini juga saya lihat ada kawasan perumahan yang tidak ada surau. Surau sebenarnya berperanan untuk menjadi pusat pendidikan agama mahupun masyarakat. Dalam kuliah-kuliah ilmu, solat jemaah, ceramah-ceramah, aktiviti qiamullail dan pelbagai lagi aktiviti lain, boleh memberikan kekuatan pada individu dan masyarakat membendung masalah ini.

Biarpun begitu, saya ingin menyarankan bahawa kesepaduan yang dibina dalam solat di mana-mana surau atau masjid itu perlu dijelmakan di luar, di mana masyarakat juga mesti bersatu dan berpadu menjaga batasan halal dan haram dan membina sensetiviti terhadap perlakuan sumbang dalam masyarakat.

Pertembungan antara al-amru bil ma‘ruf dan al-amru bil munkar, juga menjadi virus dalam masyarakat kita. Tilawah al-Quran kita anjurkan, namun kita juga dihidangkan program hiburan yang terang-terang melanggar syarak mahupun budaya. Masjid kita bina, namun disekelilingnya juga pusat-pusat hiburan pelbagai peringkat umur dibiarkan beroperasi tanpa kawalan. Remaja dengan pusat siber kafe dan permainan video, orang tua pula dengan disko dan pusat perjudian. Tambahan pula program-program agama dijalankan pada hari ini lebih berupa acara rasmi dan kosmetik. Dengan kekangan, kawalan dan batas-batas yang kadang-kadang tidak munasabah dan tidak profesional, ia sudah tiada ruh dan sentuhan magik seperti satu masa dulu. Jika satu stesen televisyen menyiarkan rancangan forum, satu lagi menyiarkan acara anugerah muzik, saya yakin tanpa perlu kita susah- susah untuk kaji, jawapannya sudah pasti rating acara anugerah muzik yang lebih tinggi. Inilah cabaran buat kita hari ini.

Kerana itulah saya mahu menyeru seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia untuk sama memikul bebanan ini. Ini bukan masanya untuk kita menuding jari, namun masa yang terbaik untuk kita mula bekerja bagi memperkembangkan dakwah ini. Jika semua individu mula bekerja memperbaiki masalah-masalah yang telah kita sebutkan, saya percaya dengan izin Allah SWT kita akan mampu menjadi umat yang terbaik.
Utusan Malaysia di sini

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin