Thursday, December 3, 2009

Pak Cik ni sokong BTN


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEioSVQOl18W6iRR1cnPJcXAlgY6dS30ZxmQErAIIMf2GwRaCsKqEwlIrrEt87w649dIXs_doGdNANrLvR0svARSgOjhtD_ovyxAGTV0h9h-yFIxFCgucgyQuhWea8FU7FsLHzzZq-whPwk/s400/1_140202055l.jpg
Ini salah satu modul kursus BTN: mendaki gunung...perlu bantu membantu untuk sampai ke puncak gunung dan turun balik. Banyak pahala dapat bila suami orang bantu bini orang tarik tangan atau tolak punggung untuk ke destinasi......

Saya sudah lama hendak posting artikel mengenai isu BTN ni, sejak ia dihangatkan oleh Kerajaan Negeri Selangor lagi. Tetapi bila hendak tulis saja, saya teringat adakah pengalaman saya mengikuti kursus BTN lebih 10 tahun dahulu itu masih relevan? Atau modul BTN masakini telah jauh berbeza dari modul zaman dulu-dulu itu? Namun apabila Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut mengharamkannya hari ini, yakinlah saya modul kursus BTN kini tidak jauh berbeza dari modul kursus yang pernah saya hadiri di Kem Bina Semangat Langkawi di zaman 1990an dulu.

Rupanya masih ada lagu dengan lirik anti-1Malaysia bertajuk 'Anak Kecil Main Api' dalam kursus BTN. Rupanya masih ada ceramah anti-demokrasi dengan pendekatan tidak cerdik yang mengutuk pemimpin pembangkang dan mencerca rakyat bukan Melayu. Rupanya masih ada percampuran bebas lelaki perempuan di tengah malam buta walaupun dikatakan tujuan kursus antara lain untuk meningkatkan syiar agama. Rupanya masih ada modul kursus yang mempersendakan peserta dan menjatuhkan maruah mereka yang dibuat kononnya untuk membetulkan kelemahan peribadi peserta.

Ketika menghadiri kursus selama kurang lebih seminggu itu, di hujung kursus peserta diberi peluang untuk memberi ulasan tentang keberkesanan kursus. Apa lagi, ramailah peserta (termasuk saya) yang berlumba-lumba untuk bercakap. Apa lagi, ketika itu segala ketidak puasan hati diluahkan oleh peserta. kepada penyelaras kursus. Saya tidak ingat sama ada terdapat peserta yang memuji bahawa kursus itu berjaya, sebab apa yang saya ingat semua yang bangun bercakap berkata kursus itu gagal mencapai matklamat, tidak berguna, hanya membuang masa, bertentangan dengan kehendak Islam dan akhlak Melayu serta tidak selaras dengan tujuan ia dibuat seperti yang tercatat dalam buku modulnya.

Yang lawaknya, pegawai penyelaras dari BTN (namanya kalau tidak silap sempena nama salah satu bulan dalam Islam) ketika menggulung jawapan berkata dengan selamba bahawa memandangkan hampir semua peserta menilai kursus dari pandangan negatif dan kebanyakannya marah-marah kepada BTN, maka dia menganggap kursus itu telah berjaya, sebab salah satu tujuan kursus ialah untuk menimbulkan kemarahan peserta! Ketika itu saya berbisik kepada rakan di sebelah, "Inilah jawapan paling bangang yang pernah aku dengar dari seorang pegawai tinggi kerajaan!". Memang ia jawapan yang paling bangang, adakah patut kursus dibuat untuk menaikkan kemarahan orang?

Tapi untuk berlaku adil, tidaklah tepat jika saya katakan semua isi kandungan kursus buruk semuanya. Yang baiknya pun ada, contohnya peserta diwajibkan bangun awal (5.00 pagi), riadah wajib setiap hari, solat lima waktu berjemaah, memupuk kerjasama berpasukan dan program qiyamulail di malam terakhir kursus. Tapi memandangkan yang baiknya itu hanya sedikit, berbanding yang tidak baik, bagaimana boleh kita katakan kursus BTN itu bagus? Patriotisme? Patriotisme saya tidak meningkat sedikit pun lepas menghadiri kursus kerana yang diajar bukan untuk taat kepada negara tapi taat kepada BN/Umno serta membenci rakyat bukan Melayu.

Tapi pagi tadi ketika berborak mengenai kursus BTN, saya katakan kepada rakan di sebelah, "Aku sokong kursus BTN!".

Dan bila rakan itu melihat mata saya tanpa berkedip, saya berkata, "Maksud aku, aku sokong kursus BTN.... diharamkan!!!"

~ pendikar gunung kriang

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin