Saya mengucapkan syabas di atas keberanian kerajaan 1Malaysia dengan cadangan ideal mengeluarkan lesen pertaruhan halal sempena kehadiran World Cup dan juga Piala Thomas nanti.
Kita sebagai rakyat tidak harus hanya memandang serong terhadap tindak-tanduk kerajaan. Janganlah kita hanya tahu mengkritik tanpa mengambil kira pandangan dan faktor dari pelbagai sudut.
Memang benar bagai dikata, sekiranya kerajaan tidak mengeluarkan lesen yang halal untuk perjudian Piala Dunia, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan yang akhirnya menyebabkan kecacatan dalam pemerintahan negara.
Seperti sebelum ini, saya juga menyokong pemberian kondom percuma kepada remaja-remaja yang mahu mempraktikkan cara-cara menghasilkan zuriat, sebagai sumber pembelajaran dan sumber rujukan supaya gejala pembuangan bayi dapat dielakkan. Ini kerana sekiranya kondom tidak disediakan, perlakuan seks secara bebas pasti tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan jabatan agama.
Oleh demikian, dicadangkan juga dengan pemberian kondom tersebut, pakej seterusnya ialah menawarkan bilik hotel dengan kadar separuh bayaran, supaya gejala ini tidak berlaku di taman-taman bunga yang akhirnya akan mencacatkan pemandangan. Jika bilik hotel ini tidak disediakan, pasti taman bunga, rumah terbengkalai, panggung wayang, tangga-tangga apartment menjadi sarang melepaskan maksiat.
Justeru itu saya juga ingin mencadangkan agar lesen pelacuran juga diperkenalkan kerana aktiviti sosial seumpama ini tidak lagi dapat dibendung oleh pihak berkuasa. Contohnya yang berlaku di lorong Haji Taib, pusat-pusat karaoke dan rumah-rumah urut. Daripada membiarkan gejala ini berlaku secara haram, adalah lebih baik kerajaan menawarkan lesen pelacuran dengan cukai yang tinggi, lantas langkah anjakkan paradigma ini memberi pulangan terhadap kantung kewangan negara.
Pengeluaran lesen pelacuran halal ini juga akan membuka ruang kepada pelancung dari negara china untuk berkerjaya dengan lebih profesional kerana selama ini mereka kerap mengambil kesempatan di atas kapasiti pas lawatan sementara. Dengan kebenaran ini, ia memberi ruang kepada warga tempatan yang melalui kesempitan hidup agar mencuba nasib sebagai pelacur berlesen. Tidak kurang juga kekosongan jawatan sebagai bapak ayam berlesen.
Pihak kerajaan 1Malaysia memang prihatin keperluan semasa kerana Islam 1Malaysia itu adalah Islam yang mengikuti peredaran zaman. Kita sebagai rakyat yang bijak tidak harus hanya tahu memberi kritikan lantang semata-mata.
Tanpa kerajaan 1Malaysia, sudah pasti negara ini kucar-kacir dan berada di dalam kegelapan zaman. Kita akan ketinggalan arus sekiranya tidak menyokong kerajaan 1Malaysia kerana tanpa 1Malaysia, maka tiadalah jalan raya, tiadalah hospital, tiadalah sekolah, tiadalah empangan, tiadalah kapal selam yang tidak boleh menyelam, tiadalah pili air, tiadalah menara berkembar, tiadalah pusat judi 4 nombor ekor, tiadalah proton sagat, tiadalah litar F1, tiadalah masjid kristal berupa vincent tan, tiadalah macam-macam lagi dan mungkin juga, tiadalah agama...
Revolusi ini menuntut setiap nafas yang dihirup itu dibayar dengan keazaman menegakkan keadilan !!
Edyes - 6 Mei 2010 - 10.41pm
No comments:
Post a Comment