
Bagaimana Mendirikan Siasah [berpolitik] di Masjid.
Sebagai “ Rumah Allah ” , masjid merupakan institusi terpenting dalam pembinaan ummah yang bertamaddun. Malah penubuhan Negara Islam oleh Baginda saw. di Madinah al Munawwarah menyaksikan bagaimana masjid dinobat sebagai mercu peradaban dan kedaulatan yang dibina.
Pembinaan masjid di Quba’ , Wadi Ranuna’ [1] dan di Yathrib ( Madinatun Nabi ) menjadi batu asas pembinaan tamaddun Islam unggul berpaksikan kedaulatan syariat dan ummah yang bermartabat.
Ianya ( masjid ) tidak dibina semata – mata untuk mendirikan solat , tetapi juga sebagai nokhtah mula keagungan ummat. Dari situlah nabi saw. menggerakkan jentera kerajaan dan mengatur strategi membangunkan ummah .
Masjid : Iktibar dari Seerah an Nabawiyyah
Syeikh  Dr. Musthafa as Sibae’i menyebut di dalam kitabnya as Seeratun  Nabawiyyah : Durus wa I’bar :
“ Memang tidak dapat disangkal lagi  , bahawa masjid membawa risalah kemasyarakatan dan kerohanian yang  agung nilainya terhadap kehidupan ummat Islam . Masjid lah yang  menyatukan saf – saf ummat Islam , menyucikan jiwa mereka , menghidupkan  hati dan aqal mereka , menyelesaikan masaalah yang dihadapi oleh mereka  dan akhirnya menampilkan kekuatan jua hubungan erat mereka .
Sesungguhnya  telah terbukti bahawa sejarah masjid di dalam Islam , menjadi markaz  bagi tentera Islam berangkat ke medan untuk menakluki muka bumi dengan  hidayah Allah swt .
Dari masjid jua terpancarnya sinaran cahaya  dan hidayah buat ummat Islam dan lainnya malah masjidlah juga  berkembangnya peradaban Islam . Bukan kah Abu Bakar , Umar , Uthman ,  A’li , Khalid , Saad , Abu U’baidah dan tokoh – tokoh seumpama mereka  yang terdiri daripada pemimpin – pemimpin agung dalam sejarah Islami  merupakan anak -anak murid di Madrasah al Muhammadiyyah yang berpusat di  Masjid an Nabawi .
Antara keistemewaan yang lain , masjid pada  setiap minggu berkumandang kalimah al haq menerusi seruan khatib yang  menentang kemungkaran , memperjuangkan syariat , menyeru kearah kebaikan  , menginsafkan mereka yang lalai , menyeru kearah kesatuan, membasmi  kezaliman dan memerangi perbuatan yang melampaui batas .
Sesungguhnya  kita telah menyaksikan bagaimana dulunya masjid – masjid menjadi markaz  – markaz yang menyemarakkan gerakan anak watan menentang penjajah  Perancis . Berpangkalan di masjidlah , tokoh – tokoh jihad menetang  penjajah dan menentang zionisme .
Apabila kita menyaksikan  kepincangan masjid hari ini dari fungsi dan peranannya yang hebat , maka  tiada lain melainkan kesalahan sebahagian khatib yang terdiri daripada  khatib yang hanya bertugas memburu elaun atau jahil lagi leka .
Alangkah  beruntungnya , jika dalam keadaan seperti ini , lahir segolongan  pendakwah yang tegas membawa kebenaran , bangkitnya ulama yang  memperjuangkan syariat Allah . Mereka ikhlas kerana Allah dan Rasulnya  saw. , mereka menasihati pemimpin dan ummat Islam seluruhnya .
Mengembalikan  masjid sebagai tempat kegiatan masyarakat , mendidik tokoh – tokoh dan  melahirkan pejuang – pejuang , mengislahkan kefasadan , memerangi  mungkar dan membentuk masyarakat berasaskan taqwa dan redha Allah swt.”
Rujuk  : Seerah an Nabawiyyah : Durus wa I’bar
Oleh Dr. Musthafa Sibae’I .  Muka surat 74 – 75
Cetakan ke 9 oleh al maktab al islami ( 1986 )  Dimasyq
Masjid Terbelenggu.
Realiti  hari ini bertambah parah apabila melihat nasib masjid dan pengurusannya  yang kian terabai . Lebih malang apabila wujudnya fenomena terancang  untuk membelenggu masjid agar ia tidak berfungsi sebagai markaazul ummah  .
Siapa lagi yang lebih bejad daripada mereka yang menghalang  rumah Allah ( masjid ) agar tidak diimarahkan dengan ilmu dan zikrullah .  Lebih parah apabila mereka “ sampai hati ” meruntuhkan rumah Allah yang  pastinya dibina di atas tanah waqaf milik Allah swt. Firman Allah swt :
Surah al Baqarah .  Ayat : 114
Terlalu banyak masjid dalam Negara kita hari ini hanya  dijadikan tempat solat dan lebih melucukan bagaimana terdapat masjid  yang hanya berfungsi sebagai tempat kunjungan pelancung selain daripada  solat berjamaah yang sangat kecil kuantitinya berbanding saiz masjid  tersebut.
Keghairahan mendirikan masjid yang tidak seimbang  dengan keghairahan mengurus dan mengimarahkannya meletakkan situasi ini  sebagaimana yang pernah dibimbangi oleh Rasulullah saw. dalam hadis  baginda yang diriwayatkan dari Saidina Ali Karramallahuwajhah :
رواه البيهقي
Sudah hampir suatu masa di mana tidak tinggal lagi  daripada Islam itu kecuali hanya namanya dan tidak tinggal daripada al  Quran itu kecuali hanya tulisannya . Masjid – masjid mereka tersergam  indah tetapi ia kosong daripada hidayah . Ulama’ mereka adalah sejahat –  jahat makhluk yang ada di bawah naungan langit . Dari mereka berpunca  fitnah dan kepada mereka fitnah itu kembali .
Rujuk Kanzuul  U’mal
M/surat 80, Juzuk 11
Cetakan Darul Kutub al I’lmiyyah Beirut
Pengalaman  saya dikepung oleh polis yang lengkap bersama anjing , menyerbu masuk  ke kawasan laman Masjid Peramu Kuantan sementara waktu itu saya sedang  menyampaikan ceramah Maulidur Rasul saw , cukup menggambarkan bagaimana  masjid dibelenggu .
Perlantikan ahli jawatan kuasa masjid  dikalangan mereka yang tidak pernah menjejak kaki ke masjid semata –  mata tidak mahu masjid itu diimarahkan dengan majlis ilmu antara bukti  bahawa pembelengguan masjid sangat ketara .
Menghantar SB [2]  untuk memantau aktiviti masjid atau surau bukan sahaja menakut –  nakutkan masyarakat untuk menghidupkan aktiviti masjid dan surau tetapi  juga bermaksud untuk memberi tekanan kepada penceramah dan guru agama  yang mengajar agar tidak menyentuh soal penyelewengan dan mungkar yang  berlaku dalam Negara.
Sedang kelab – kelab malam dan pusat –  pusat hiburan yang menjadi tempat subur untuk bercambahnya maksiat dan  jenayah tidak dilayan sedemikian rupa .
Pekeliling yang pernah  dihantar kepada surau dan masjid di Lembang Klang agar tidak mengadakan  tazkirah di bulan Ramadhan juga mempunyai maksud yang sama untuk  mengekalkan pembelengguan tersebut.
Arahan agar khatib hanya  dibenarkan membaca teks khutbah yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama  meskipun khatib tersebut seorang yang diiktiraf ilmunya oleh universiti  yang mu’taraf turut dilihat sebagai usaha menyempitkan fungsi surau dan  masjid.
Sudahlah ruang dan peluang untuk bercakap Islam amat  terhad , tiba – tiba masjid dan surau yang dianggap ruang yang paling  kondusif untuk berbicara perkara agama turut dikekang , maka dimana lagi  Islam ini boleh dijelaskan secara bebas dalam Negara ini ?
Pengurusan  Masjid.
Selayaknya masjid diurus selia secara  professional dan jujur bagi meletakkannya sebagai institusi penting dan  suci dalam masyarakat .
Sangat malang apabila masjid bagaikan  bangunan usang yang terbiar tanpa dipedulikan penyelenggaraannya sebagai  sebuah tempat ibadah. Masing – masing melepaskan tanggungjawab kepada  pihak yang lain dan akhirnya semua berlepas harap .
Sesetengahnya  sangat berbangga dengan jumlah kutipan derma mingguan yang meningkat  saban minggu dan dipaparkan di papan putih masjid berkenaan , sedang  masjid tersebut sangat tidak terurus dengan sistem pengaliran air di  kolam wudhu’ , kebersihan tandas yang sangat rendah dan menyedihkan ,  sistem pembesar suara yang uzur serta lemah dan pelbagai kelemahan yang  ketara .
Kenapa tidak wang yang begitu banyak hasil sumbangan  orang ramai dimanafaat sepenuhnya untuk meletakkan masjid dan surau  sebagai sebuah institusi yang hebat dan menarik . Apa yang paling  penting ialah masjid mesti menjadi tempat yang paling selesa dan tenang  untuk ummat mengabdikan diri kepada Allah swt.
Imej tandas masjid  sebagai tandas yang paling kotor sepatutnya tidak kedengaran lagi .  Bukankah kebersihan adalah sebahagian daripada tanggungjawab utama  setiap individu muslim ? Bukan sahaja bermaksud supaya masjid tidak  dipandang rendah oleh masyarakat umum, tetapi juga untuk mencari redha  Ilahi .
Peranan dan Fungsi Masjid.
Selayaknya  masjid diimarahkan . Sebagaimana tiada nilai masjid yang tidak diurus ,  begitulah tiada erti dan gunanya masjid yang diperbesar dan  diperbanyakkan tetapi sepi tanpa aktiviti .
Masjid juga mestilah  dilihat sebagai mesra remaja dan mesra ummah seluruhnya.
Masjid  tidak sepatutnya menghadkan aktiviti kepada solat berjamaah semata –  mata , demikian juga tazkirah dan kupasan ilmu yang hambar dan tidak  membawa ahli jamaahnya wujud dalam cabaran zaman mereka yang sebenarnya.
Sebaliknya  masjid mestilah aktif menganjurkan pelbagai aktiviti yang mendekatkan  masjid kepada mereka yang cuba menjauhkan dirinya daripada masjid. Malah  aktiviti kemasyarakatan dan budaya mereka yang tidak bercanggah dengan  Islam amatlah baik didekatkan kepada masjid .
Biarpun asalnya  aktiviti itu bukan berbentuk ibadah namun apabila ia bertolak dari  masjid dan surau , kita mengharapkan ia menjadi satu bentuk ibadah yang  diredhai oleh Allah swt .
Tuisyen akademik juga boleh diadakan di  masjid atau surau agar tidak sahaja ustaz dan pak lebai menguasai ruang  legar masjid tersebut tetapi juga guru akademik dan murid – muridnya  berhak ber“mesra” dengan masjid .
Saya berkeyakinan , jika semua  pihak mengambil ruang dan bahagian mem“peranan”kan masjid seperti kaum  ibu dengan aktiviti mereka , pelajar dengan aktiviti mereka dan ajk  masjid dengan aktiviti mereka , masjid akan dilihat makmur , meriah ,  ceria dan menarik .
Pengalaman saya di Damsyik dan Tanta dapat  melihat dari dekat bagaimana di sana terdapat masjid yang dilengkapi  dengan maktabah ( perpustakaan ) untuk masyarakat merujuk pelbagai  sumber ilmu dan Klinik yang beroperasi di masjid sepanjang hari dengan  hanya ditutup pada waktu solat.
Keadaan itu tidak lagi meletakkan  masjid dan surau sepi bersendirian dan akhirnya menjadi sasaran mat  gian dan kaki lepak beroperasi dan mencuri . Malang ada masjid yang  kehilangan besi keranda , tongkat khutbah dan set P.A system. Jawab  mudahnya , kerana masjid tersebut sepi ditinggalkan oleh imam dan  makmumnya.
Masjid sepatutnya tidak perlu berkunci dan berjaga ,  sudah cukup amalan iktikaf dan mengimarahkan masjid menjadikan masjid  kawasan atau zon paling selamat dalam dunia .
Kalaupun keadaan  memaksa demi memelihara barangan milik masjid daripada dicuri oleh  penjenayah , maka saya syorkan agar sediakan kawasan berkunci untuk  menyimpan barangan berharga milik masjid sementara ruang masjid terbuka  untuk aktiviti umum mengabdikan diri kepada Allah swt.
Ataupun ,  sediakan ruangan khas yang tidak berkunci ( sebahagian dari masjid )  tersebut agar tidak menghalang aktiviti ummah untuk mendekatkan diri  kepada Allah swt. terutama buat musafir lalu .
Pendekkata ,  sebagaimana pengurusan hotel ada kursus yang disediakan untuk  meningkatkan prestasi pengurusan maka saya kira pengurusan masjid juga  min baabil aula [ terlebih layak ] patut diadakan kursus untuk tujuan  meningkatkan kesedaran dan keinsafan dikalangan ummah terhadap  pengurusan masjid dan surau .
Berpolitik di Masjid.
Politik  sebahagian daripada Islam yang telah dibawa oleh Nabi saw malah  perjuangan baginda saw diwarnai oleh gerakkerja politik sehingga  tertegaknya Negara Islam pertama di Madinah al Munawwarah . Pengurusan ,  pentadbiran dan pemerintahan Nabi saw juga berpusat di Masjid an Nabawi  .
Masjid an Nabawi turut menjadi tempat Nabi saw mengajar ilmu  politik kepada ummah agar mereka kekal menjadi ummah yang  bertanggungjawab memelihara dan mentadbir negeri atau negara berdasarkan  agama yang telah diwahyukan oleh Allah swt . sehingga lahir sebuah  negera yang aman , maju , sejahtera dan mendapat keampunan daripada  Allah swt .
Memisahkan Masjid daripada politik dan aktivitinya  yang benar dan tulen mengikut ajaran Islam adalah satu percubaan untuk  mensekularkan ummah dengan menjarakkan urusan politik daripada agama .
Tindakan  memisahkan politik daripada masjid hanya menjadikan politik itu kotor  kerana terpisah dari ruh agama . Sebetulnya inilah yang sangat  diinginkan oleh ahli – ahli politik sekular agar politik mereka bebas  dari pengaruh masjid yang mengingatkan mereka kepada syurga dan neraka   serta dosa dan pahala . Tentunya politikus duniawi ini akan  rimas dan lemas apabila politik mereka diganggu oleh ulama’ atau imam  yang mengingatkan tentang dosa pahala dalam berpolitik lantaran  politik mereka adalah membujur lalu melintang patah , dihulur aku sapu  yang hilang aku tak kisah. Segala elemen negatif seperti politik  kebencian dan fitnah yang terbentuk dari aksi politik duniawi dan  sekular sewajar dihapuskan kerana politik sedemikian tidak memberi  keuntungan kepada ummah dan negara . Justeru itu , masjid bagaikan  “washing machine” untuk membersihkan politik dari segala elemen negatif  tersebut .
Bawalah politik masuk ke dalam masjid nescaya politik  itu akan menjadi tenang , murni dan terhindar dari sebarang fitnah dan  kebencian sesama ummah. Bukankah masjid adalah tempat suci yang dilarang  keras pengunjung membuat bising tidak tentu pasal apalagi melemparkan  fitnah dan menghasut masyarakat agar saling benci membenci kerana masjid  adalah simbol perpaduan dan kasih sayang .
Bertolak dari  masjidlah , politik ummat Islam harus digerakkan untuk memerangi  kemungkaran politik, kebathilan politik , kemaksiatan politik ,  penyelewengan politik dan penyalahgunaan kuasa politik kerana segala  macam kemungkaran , kemaksiatan dan kebathilan itu adalah dosa dan noda  yang mesti disucikan sebelum mati bettemu Allah swt.
Inilah  bezanya politik Islam yang membawa ke akhirat . Berbanding kitaran  politik sekular yang hanya berlegar di kaki dunia dan tidak pun sekali –  kali mampu melepasi sempadannya.
Rujukan di sini
___________________________________________________________________________________________________________________
[1] Tempat mula – mula Nabi saw. mendirikan  solat jumaat di Madinah .
( di Tengah – tengah Wadi Ranuna’ )
Rujuk  : Sirah an Nabawiyyah Li Ibni Hisyam .
M/s 315 Juz. Pertama. Cetakan  Dar Ibn Rejab . Mansourah
[2] Antara contohnya sebagaimana yang  berlaku kepada Surau al Muhajirin Bandar Muadzam Shah. Kelihatan SB  sering memantau aktiviti di surau berkenaan dan saya sendiri selaku  salah seorang tenaga pengajar di surau tersebut pernah diadu ke Pejabat  Agama kononnya saya mengajar ajaran salah
No comments:
Post a Comment