PERSOALAN siapakah Menteri Besar Perak yang sah akan terjawab apabila Mahkamah Persekutuan mengumumkan keputusannya esok (Selasa). Keputusan itu akan menentukan sama ada Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dari Barisan Nasional (BN) terus mengekalkan jawatan disandang atau Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dari pakatan pembangkang mendapat semula jawatan tersebut.
Kontroversi siapa Menteri Besar Perak bermula apabila dua wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang) dan Kapten (B) Mohd. Osman Mohd. Jailu (Changkat Jering), bertindak keluar parti pada 30 Januari tahun lalu.
Langkah kedua-dua mengumumkan menjadi wakil rakyat Bebas diikuti oleh Hee Yit Foong (Jelapang) daripada DAP.
Tindakan tersebut telah menyebabkan kedua-dua pihak iaitu BN dan pakatan pembangkang (DAP-PKR-Pas) mempunyai jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sama banyak, 28. Perak mempunyai 59 kerusi DUN.
Bagaimanapun, kelebihan menyebelahi BN apabila wakil-wakil rakyat Bebas terbabit menyatakan sokongan padu kepada parti itu.
Mengambil kira keadaan yang berlaku, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menitahkan Mohammad Nizar melepaskan jawatannya dan memperkenankan Zambry mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar.
Apa pun keputusannya esok, ramai yang melihat, ia akan tetap mengundang pelbagai persepsi dan kontroversi.
Bagi penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff, sekiranya Zambry menang dalam kes itu, ia akan memberi beliau ruang yang lebih luas untuk melaksanakan agenda pembangunan negeri.
''Ini memudahkan beliau merencanakan pembangunan yang dirancang dengan lebih tersusun dan tanpa wujud prasangka negatif pihak-pihak tertentu," kata pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.
Apa yang penting jelas Mohammad Agus, Zambry harus menunaikan janji-janjinya memastikan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan pentadbiran kepimpinan beliau seperti dalam tempoh setahun ini.
Sebaliknya jika keputusan tersebut berpihak kepada Mohammad Nizar, tindakan pertama yang dijangka akan dilakukan ialah membubarkan DUN.
''Dia kena bubarkan DUN seperti mana dijanjikan. Jika tidak, dia berbohong kepada rakyat," kata Mohammad Agus lagi.
Ada yang melihat majoriti yang dimiliki oleh BN menerusi sokongan wakil rakyat Bebas akan menjadikan mereka kekal di dalam Dewan, namun pandangan sebaliknya dilontarkan oleh Mohammad Agus.
''Pembangkang masih boleh membubarkan DUN kerana ini berbalik kepada prinsip status-quo, maknanya Nizar sebagai Menteri Besar, boleh menasihatkan Sultan untuk membubarkan DUN.
''Untuk bubar DUN, tidak perlu majoriti, terpulang kerana Sultan mengikut budi bicara baginda sama ada setuju atau tidak," tegasnya.
Sementara itu, Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) berpendapat, kemenangan Zambry sudah pasti akan menyebabkan para penyokong Mohammad Nizar sukar mengakui hakikat tersebut.
''Bagi jangka panjang, kita tidak tahu apakah akan wujud tentangan secara berterusan. Jika ini berlaku, Perak yang sepatutnya telah keluar dari kepompong kemelut politik, akan berterusan tidak stabil.
''Jika Nizar menang pula, apakah akan muncul seorang lagi 'aktor politik' iaitu Sultan Perak? Apakah Sultan Perak akan memperkenankan pembubaran DUN? Jika tidak, apa akan berlaku pada Perak," soalnya.
Hakikatnya, keputusan ini bukan sahaja ditunggu-tunggu oleh rakyat Perak tetapi turut menjadi tumpuan para pemerhati antarabangsa.
Ironinya, keputusan tersebut diumum selepas tiga hari Zambry genap setahun dilantik sebagai Menteri Besar.
Zambry ketika ditanya tentang keputusan yang bakal diumumkan itu berkata, beliau menerima apa sahaja ketentuan Allah SWT.
Sementara Mohammad Nizar yang juga dikemukakan soalan sama mengatakan, beliau yakin pakatan pembangkang akan menang.
Apa pun yang akan berlaku, sebagai pemimpin, kedua-dua pihak seharusnya menyedari di sebalik jawatan yang dikejar, ada perkara lebih besar menanti dan perlu mereka fikirkan bersama.
''Apa sahaja keputusan nanti perlu dihormati sebagai tanda mempertahankan institusi kehakiman dan seterusnya melihat ia sebagai satu hakikat atas kepentingan rakyat. Jika ada yang tidak puas hati, tunggu Pilihan Raya Umum Ke-13 untuk menterjemahkan perasaan itu," kata Sivamurugan.
Rujukan di sini
No comments:
Post a Comment