Saturday, July 18, 2009

Saf sembahyang jemaah rapat, lurus bukti mencintai Rasulullah

MENJADI kebiasaan bagi imam bertugas mengungkapkan hadis Rasulullah SAW ketika berdiri mendirikan solat jemaah. Ucapan itu bukan direka tanpa tujuan kerana kata itu sahih daripada mulut Rasulullah SAW.

Anas Malik berkata, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Luruskan saf kamu, kerana saf yang lurus termasuk solat yang sempurna." (Hadis Riwayat Muslim)

Namun, seruan itu sering diabaikan masyarakat yang mengaku cintakan Nabi Muhammad SAW, tetapi memandang ringan seruan Baginda. Sesungguhnya kecintaan kepada Rasulullah SAW perlu diterjemahkan dengan mengikut sunnah Baginda.

Anas berakta, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Tiga perkara sesiapa yang ada padanya maka dia mendapati kemanisan iman. Pertama, hendaklah Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai kecuali kerana Allah. Kedua, taat ibu bapa selagi tidak melanggar perintah Allah. Ketiga, hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran seperti mana dia benci untuk dicampakkan ke dalam neraka." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jika kecintaan kepada ibu bapa menuntut ketaatan terhadap perintah mereka, apakah pula alasannya tidak mengendahkan perintah Rasulullah SAW sedangkan kedudukan cinta terhadap Baginda lebih tinggi berbanding ibu bapa.

Begitulah kecintaan sebenar kepada Rasulullah SAW perlu mengikut sunnah Baginda seperti firman Allah bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Ali-Imran, ayat 31)

Mungkin ada yang tidak selesa jika bersolat dalam keadaan rapat serta dalam saf lurus. Tidak kurang juga timbul perasaan geli untuk berdiri bersentuhan bahu dan bertemu kaki ketika solat jemaah.

Ketahuilah bahawa dalam sunnah yang dipandang ringan ini, terkandung penawar bagi penyakit perpecahan yang sedang melanda umat Islam kini.

Daripada Abu Masud, katanya: "Rasulullah SAW menyentuh bahu kami sebelum solat sambil berkata, luruskan barisanmu (saf), jangan bengkok, nescaya yang menyebabkan hatimu berpecah-belah." (Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah SAW mempunyai cara tersendiri mewujudkan perpaduan utuh di kalangan sahabat dengan menyempurnakan saf. Ini terbukti apabila generasi yang ditarbiah Rasulullah SAW amat menjaga perpaduan dan tidak mementingkan diri seperti puak Muhajirin serta Ansar yang dapat disatukan.

Ada pihak beranggapan tidak sempurna saf jika kanak-kanak solat bersama, tetapi tidak pula rasa solatnya tidak sempurna jika saf tidak lurus.

Setiap kali solat Jumaat atau hari raya, jemaah bersembahyang di luar atau di pekarangan masjid kerana ruangan dalam sudah penuh. Jika semua mementingkan susunan saf yang betul dan lurus, pasti ada jemaah berpeluang solat di dalam masjid.

Jika benar ikhlas cintakan Rasulullah SAW dan ingin mengeratkan perpaduan Islam, ikut sunnah nabi supaya merapatkan serta meluruskan saf supaya hilang perasaan ego dan sombong sebaliknya lahir rasa kasih sayang.

2 comments:

Abd Razak said...

Salam ustaz,

Persoalannya bila pergi umrah dan haji, kita boleh ikut sunnah nabi ini tapi balik ke malaysia semuanya hilang, adakah kita tidak menuntun sunnah itu dengan bersungguh-sungguh hingga berlaku begini...pelik tapi benar

Nazmie Samarahan said...

Wsalam,,
Pada ana, kita mengalami krisis Biah yang serius.. Biah mampu membentuk sistem hidup.. di mekkah dan madinah..orang berlumba membuat kebaikkan dan ibadah..maka kita akan menjadi umpama "ghuraba" jika tak buat sama..tetapi di negara kita tidak..

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin