Saturday, July 4, 2009

Perginya tokoh Islam tersohor Dr. Fathy Yakan


PADA 13 Jun lalu, bukan hanya dunia Islam malah seluruh dunia sebenarnya kehilangan sebutir bintang. Bintang yang sinarnya selama ini tidak sahaja sebagai penghias malam yang kelam malah memberikan banyak panduan terutama dalam menjayakan gerakan dakwah Islamiah dan perpaduan umat Islam.

Bintang tersebut merupakan tokoh besar, Dr. Sheikh Fathy Yakan yang meninggal dunia pada usia 76 tahun di sebuah hospital di Beirut, ibu negara Lebanon atas masalah kesihatan pada pagi Sabtu yang hening itu.

Seorang tokoh besar Islam yang tidak asing lagi, terutama hasil karya besarnya bertajuk Apa Ertinya Saya Menganut Agama Islam? Buku itu adalah salah satu daripada 35 penulisan besar Allahyarham yang menjadi rujukan penting kepada kepada dunia.

Dilahirkan di Tripoli, Libya pada tahun 1933, Allahyarham banyak memberikan corak baru perjuangan gerakan-gerakan dakwah dan politik Islam yang dapat diterima oleh pelbagai pihak di samping seorang ahli cendekiawan atau ahli akademik muslim yang ternama.

Sejak tahun 1959 lagi beliau mengasaskan gerakan politik di Lebanon sehingga beliau mendapat gelaran Bapa Gerakan Islam Lebanon. Malah, sehingga ke akhir hayatnya, beliau masih menganggotai parlimen di negara asalnya itu.

Dr. Fathy banyak menghasilkan penulisan mengenai aliran politik dari yang moden sehinggalah yang berbentuk ekstremis. Judul yang mendapat sambutan dunia sehingga diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa adalah Priorities of Islamic Movements after September 11.

Allahyarhamlah yang paling kerap terpanggil ke serata pelosok tempat untuk menjawab segala tuduhan terhadap Islam sebagai agama keganasan akibat tragedi yang menimpa Pusat Dagangan Dunia New York (WTC) pada tahun 2001 itu.

Dr. Fathy merupakan tokoh yang bertanggungjawab dalam menubuhkan Gamaah (Jemaah) Islamiah pada tahun 1960-an dan komitednya beliau dalam pertubuhan itu sehingga pada tahun 1992, beliau memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung.

Selepas bersara, beliau menumpukan tugas sebagai Anggota Parlimen berikutan kemenangan dalam pilihan raya.

Pemergian beliau benar-benar satu kehilangan besar kerana jarang kedapatan mana-mana tokoh yang sanggup menghabiskan seluruh hidupnya, fizikal, jiwa dan rohani dengan tertumpu kepada perjuangan Islam.

Allahyarham terkenal kerana menggesa kepada satu gerakan Islam yang moden dengan pemikiran dan aliran yang toleransi terutama kepada golongan yang muda.

Walau dalam keadaan yang uzur, beliau sering berasa bimbang dengan golongan muda yang baginya mudah terpengaruh kepada pelbagai unsur. Adalah penting baginya untuk membentuk golongan ini kepada yang lebih positif namun mencapai kejayaan dalam gerakan yang mereka sertai.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Tinal dan dikebumikan di pusara milik keluarganya di Bab Al Raml. Upacara pengkebumian tokoh Islam ini dihadiri oleh beribu-ribu umat Islam dari seluruh pelosok tempat sejurus berita kematiannya tersebar. Sehingga kini ucapan takziah masih mencurah-curah diterima oleh keluarga arwah.

Penulisan terkenal arwah yang menambahkan lagi kekayaan khazanah dan gedung-gedung ilmu, antaranya:

*The Problems of Da'wah and Du'ah,

*How to Call for Islam?

*Towards a Unified International Call for Islam

*What Does My Commitment to Islam Mean?

*Movements and Doctrines in the Balance of Islam

*Comprehension in the Life of Da'wah and Du'ah

*Towards an Islamic Awakening of the Era

*Methods of Islamic Adaptation in the 20th Century

*Islam -Ideology, Movement and Rebellion

*Youth and Change

*Those Left behind on the Path of Da'wah

*The Preliminaries of the Activist Concept in Islamic Work

*Critical Issues in the Islamic Experience.

Mujur kepada umat Islam hari ini kita masih boleh menghayati dan mengambil manfaat hasil-hasil karya besar Dr. Fathy ini walaupun selepas pemergian Allahyarham.

Antara yang sempat diambil dengan kenyataan beliau semasa menjawab soalan para pengunjung laman web terkenal, Islam Online:

"Walau bagaimanapun, kesan dari tragedi serangan 9 September 2001, Islam menjadi tumpuan dan minat kalangan masyarakat Barat untuk mengenali agama itu dengan lebih dekat lagi.

"Statistik terkini menunjukkan minat terhadap Islam telah berkembang berlipat kali ganda dengan berjuta-juta naskhah al-Quran terpaksa dicetak dan begitu juga buku-buku mengenai Islam terjual dengan begitu laris di pasaran.

"Apa yang lebih menakjubkan dari peristiwa yang mengejutkan itu dan dari kempen-kempen anti Islam, lebih 10,000 penduduk United Kingdom memeluk Islam dan begitu juga 3,000 orang dari penduduk Mexico memeluk Islam dan beratus-ratus lagi dari kalangan Hindu dan Buddha juga meninggalkan agama mereka untuk memeluk Islam. Semua ini berlaku selepas kejadian 9/11, Subhanallah," kata Allahyarham.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke arah roh Allahyarham.

Rujukan di sini

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin