Sunday, September 11, 2011

Marsupial comel kegilaan remaja



COMEL, lincah dan aktif. Demikian rangkai kata yang terpacul di mulut saat melihat haiwan kecil persis tupai yang menjadi kegilaan pencinta haiwan peliharaan eksotik masa kini.

Haiwan berbulu lembut yang manja berpaut di bahu seorang remaja itu digelar sugar glider. Kalau dibawa ke kawasan umum, ia pasti mencuri tumpuan khalayak, malah tidak hairan jika ada yang datang mengerumuni seolah-olah mahu mendekati ‘selebriti’.

Sugar Glider atau nama saintifiknya Petaurus Breviceps merupakan haiwan marsupial kecil yang boleh ditemui di Australia, Tasmania, Indonesia dan Papua New Guinea.

Ia mendapat namanya kerana sifatnya yang menggemari makanan manis dan mempunyai membran peluncur menyamai tupai terbang.

Kemasukan haiwan nokturnal ini di Malaysia bermula sekitar awal tahun 2000 dan semakin mendapat tempat di hati pencinta haiwan sejak ia dipaparkan dalam rancangan dokumentari popular baru-baru ini.

“Sugar glider ini merupakan haiwan sosial dan memerlukan penjaganya meluangkan masa melayaninya selama tiga hingga empat jam sehari.

“Jika dibiarkannya tanpa belaian, haiwan ini akan sunyi dan akhirnya akan mencederakan dirinya dengan menggigit ekornya, bulu di perut dan kemudian memakan isi perutnya sendiri walaupun telah diberi makanan mencukupi,” kata Mohd. Shaiful Akmal Salman, 32, yang merupakan pembekal aksesori dan pembiak baka sugar glider.


PEMILIK sugar glider perlu bersedia dengan maklumat mengenai penjagaan kesihatan, tempat tinggal dan juga dietnya.


Tambah anak kelahiran Muar, Johor itu, jika seseorang pemilik haiwan itu terlalu sibuk, mereka disarankan membela sepasang sugar glider bagi mengelakkan haiwan tersebut kesunyian.

“Jangan anggap memiliki sugar glider ini sebagai satu trend kerana ia memerlukan komitmen daripada penjaganya.

“Mudah dijaga atau tidak, itu terpulang kepada seseorang individu itu sendiri. Sekiranya seseorang itu rajin, tabah, sabar dan pandai mengatur jadualnya, maka penjagaan sugar glider ini mudah sahaja,” ujarnya yang sudah tiga tahun menjalankan perniagaan melibatkan marsupial itu.

Buat persediaan

Tambah Shaiful, sebelum seseorang itu mahu menjadikan sugar glider sebagai haiwan peliharaan, perkara wajib yang perlu dilakukan ialah mengumpul maklumat mengenainya terlebih dahulu sebagai persediaan.

Selain mempunyai pengetahuan asas tentangnya, seseorang itu perlu tahu cara memilih sugar glider yang sihat, menyediakan sangkar setinggi tiga kaki, kantung tidur, permainan, botol air dan makanan khas.

“Haiwan yang unik dari aspek penjagaannya ini mempunyai banyak variasi warna. Paling lazim dibela orang adalah daripada jenis Classic Grey kerana ia murah dan mampu milik iaitu antara harga RM250 hingga RM350 seekor,” ujar penuntut jurusan sains perubatan di Management and Science University (MSU) itu.

Antara variasi lain sugar glider ialah White Faced (RM2,500), White Faced Blonde (RM3,000), Ring Tail (RM7,500), Mosaic (RM7,500), White Mosaic (RM10,000), Creameino (RM15,000), Albino (RM15,000) dan Leucistic (RM15,000).

Tempoh bunting sugar glider mengambil masa selama 16 hari dan apabila lahir, anaknya akan tinggal di kantung ibunya (In Pouch) kira-kira dua bulan dan putus susu dua bulan selepas keluar kantung.

Anak sugar glider atau dipanggil `Joey’ boleh dipisahkan daripada ibunya seawal dua bulan selepas keluar dari kantung ibunya (Out Of Pouch) tetapi sebaik-baiknya pada umur tiga bulan selepas keluar dari kantung.

Tempoh kematangan seksual bagi sugar glider adalah berbeza tetapi secara purata, sugar glider betina matang pada umur lapan bulan ke atas dan sugar glider jantan pada umur empat bulan ke atas.

Haiwan yang mempunyai jangka hayat selama 10 hingga 15 tahun itu membiak dua hingga tiga kali setahun mengikut musim. Ia biasanya menghasilkan seekor hingga dua ekor anak paling minimum dan empat ekor paling banyak.


HAIWAN eksotik ini aktif pada waktu malam.


Pemakanan seimbang

“Walaupun haiwan ini menyukai makanan yang manis, ia juga mempunyai diet khas yang tersendiri.

“Pemakanannya harus seimbang dengan mengambil kira nutrisi seperti protein (30-50 peratus), buah-buahan (20-30 peratus), sayur-sayuran (40 peratus) dan karbohidrat (15 peratus),” katanya sambil diet tersebut dibantu pemberian suplemen wombaroo protein tinggi (HPW).

HPW adalah diet yang paling senang untuk disediakan dan ia merupakan diet yang paling hampir menyerupai pemakanan sugar glider di dalam hutan.

Katanya, ramai yang tidak mengambil berat tentang pemakanan sugar glider sehingga menyebabkan haiwan kesayangan mereka itu sakit dan menghidapi masalah kesihatan seperti obesiti, katarak, buta, lumpuh kaki belakang dan jangkitan kuman.

Seorang peminat sugar glider, Shakirin Rahmat, 27, sehingga hari ini sudah berhabis RM3,000 demi haiwan kesayangannya.

Shakirin yang sudah dua tahun bertemankan sugar glider mula berminat terhadap haiwan tersebut apabila melihat foto rakannya dan sejak itu dia mula mencari maklumat mengenai haiwan tersebut selama setahun sebelum haiwan itu disunting menjadi ‘buah hati’nya.

Percubaan pertamanya memelihara sepasang sugar glider berakhir dengan kisah sedih apabila kedua-duanya hilang gara-gara membela tanpa sangkar.

“Sejak itu saya lebih berhati-hati. Nak menjaganya mudah, sediakan sangkar yang sesuai dan luangkan masa bersamanya. Apabila kita sudah rapat, sugar glider ini akan kenal tuannya melalui bau dan tidak mahu dengan orang lain.

Merajuk

“Baru-baru ini, Chillue (nama sugar glider miliknya) berpaut pada badan saya dengan menaiki motosikal dari Damansara untuk pergi ke rumah Shaiful di Shah Alam.

“Setibanya di rumah Shaiful, Chillue merajuk kerana ada sugar glider lain pada masa itu. Ketika mahu pulang ke rumah, Chillue melompat daripada badan saya kerana merajuk,” imbas Shakirin.

Hampir dua jam dia mencari-cari kelibat haiwan kesayangannya itu. Puas dicari di bawah kereta, motosikal dan di kawasan lapang sehingga dia hampir putus asa.

“Langkah terakhir, saya letakkan bonding pouch miliknya di atas jalan raya supaya dia pulang. Selepas hampir satu jam menunggu, saya terlihat ada sesuatu bergerak datang menghampiri kantung tersebut.

“Alangkah terkejutnya saya apabila menemui Chillue dalam keadaan kesejukan dan menggigil. Tanpa berlengah, saya terus berlari mendapatkannya,” ujarnya yang mahu menjadi pembiak baka sugar glider pada masa akan datang.

Shakirin yang pernah membawa Chillue di dalam bonding pouch (kantung khas) ke kampungnya di Ipoh dengan menaiki motosikal memberitahu, haiwan cilik itu mula aktif bermula pukul 11 malam hingga pukul 8 pagi.

“Ia akan membuat bunyi bising seperti salakan anak anjing jika tuannya tidak mengeluarkannya dari sangkar untuk diajak bermain,” ujarnya yang turut memberi haiwannya itu diet buah-buahan seperti betik, tembikai susu dan epal.

Begitupun sugar glider tidak menolak sebarang makanan yang diberikan, terdapat makanan yang tidak boleh diberikan kepada haiwan tersebut seperti coklat kerana ia boleh menjadi toksin kepadanya.

Rujuk di sini

1 comment:

eposis said...

mana satu yg menarik di pandangan? marsupial atau tukang pegang nya..

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin