Thursday, September 29, 2011

Tips menghalang kecurian.

Banyak kes pecah rumah dan ada ahli keluarga dibunuh atau dirogol oleh perompak.... Muhasabahkan diri kita. Adakah kita pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua dalam keluarga menentukan anak-anak dan isteri kita selamat ketika tidur waktu malam hari? Adakah kita pernah memagar rumah kita secara fisikal dan dipagari dengan pendinding ayat Al-Quran.

Rumah yang dipagar dengan keluli atau mangga solex, sekiranya perompak menggunakan ilmu sihir boleh membuka semua kunci. Kerana ilmu sihir itu kerja iblis dan syaitan. Terutama perompak dari Indonesia yang mahir menggunakan ilmu sihir memukau dan pembuka kunci. Hanya dengan menepok mangga ia terbuka tanpa kunci. Jadi mari kita pagar rumah kita dengan ayat suci Al-Quran dan baca tip pencegahan ini.

Tips menghalang kecurian.

(1) Jangan biarkan anak-anak tidur di ruang tamu seorang diri (Mereka mungkin menggunakan anak sebagai tebusan).

(2) Kunci atau sorokkan semua pisau-pisau yang terdapat di dapur sebelum tidur (Kesemua kes kecurian di dapati pisau hilang dan menurut polis mereka akan mencari pisau dahulu sebelum mencuri bertujuan untuk melindungi diri mereka).

(3) Sekiranya terdengar/terlihat paip air di luar rumah terbuka pada tengah malam (pukul 12:00 ke atas), jangan keluar rumah untuk menutup paip tersebut kerana ini adalah taktik terbaru mereka di mana mereka telah menunggu diluar pintu rumah untuk masuk (Kes terbaru berlaku di Dungun dan Petaling Jaya).

(4) Beritahu anak-anak sekiranya hendak ke tandas (jika tandas jauh) di waktu tengah malam, kejutkan ibubapa untuk bersama mereka.

(5) Jangan simpan barang-barang kemas di dalam almari baju (Cara lama ...).

(6) Bawa alarm kereta bersama semasa tidur, in case terjaga tengah malam, cuba on and off kan balik untuk menakutkan pencuri (Menandakan kita sentiasa alert).

(7) Tekan button merah alarm kereta anda jika anda suspect pencuri sudah masuk ke dalam rumah.

(8) Sekiranya terlihat orang-orang yang agak aneh dan asing di kawasan rumah anda, sila dapatkan plet no motor/kereta mereka (Selalunya naik motor dan mereka ni biasanya berdua, setiap kali kita lalu depan mereka, mereka akan menundukkan kepala).

(9) Pesan kepada jiran, sekiranya ada sesiapa yang datang ke rumah kita dan mengaku saudara kita bertujuan untuk mengambil barang-barang, jangan benarkan, beri nombor telefor pejabat anda kepada jiran supaya mereka boleh double check dengan kita.

(10) Semasa tidur, pastikan handphone anda berada di sisi atau pastikan juga Cordless Phone anda berada di sisi anda ataupun sambungkan satu extension dalam bilek tidur anda. Ini memudahkan anda membuat panggilan kecemasan sekiranya anda terasa kehadiran pencuri di dalam rumah anda.

(11) Adakan senarai nombor telefon kecemasan seperti polis kawasan anda, bomba kawasan anda, 999 atau sebagainya. Pastikan nombor-nombor ini disimpan dalam handphone anda. Kalau boleh, hafalkan nombor tersebut. Ini memudahkan anda membuat panggilan telefon.

(12) Kalau berkemampuan, pasangkan alat pengesan kecurian di rumah atau automatik alarm.

(13) Lampu porch & lampu belakang rumah sepatutnya terpasang secara automatik bila malam, baik semasa kita ada di rumah atau pergi bercuti.

(14) Kalau cuti lama, pesan jiran kutip surat-surat dalam peti surat. Peti surat yang penuh membantu pencuri menghidu ketiadaan tuan rumah.

(15) Kalau kawasan anda kerap berlaku kecurian, buat permohonan rasmi dari Balai Polis berdekatan supaya ada anggota polis buat rondaan yang kerap di kawasan anda.

(16) Kereta Proton adalah paling mudah dicuri. Kalau kereta anda brand new, sekurang-kurangnya anda perlu lock gear & steering sebelum tidur (Sebenarnya masih boleh dicuri, tetapi akan berjaya melambatkan pencuri).

(17) Kalau ada anak-anak perempuan, sebaik-baiknya pintu biliknya dikunci dari dalam (Sebab ada pencuri yg mengambil kesempatan seksual) dan anda perlu ada kunci pendua in case berlaku kebakaran.

(18) Sekurang-kurangnya simpan kayu hoki atau baseball di bawah katil anda buat mempertahankan diri dari pencuri yang ganas.

(19) Jangan letak kunci bawah pasu bunga/mail box/alang pintu/tepi tingkap bila keluar (Pencuri dah lama tau taktik ni...). Lebih selamat beri pada jiran yang kita kenal rapat.

(20) Kalau sewa rumah baru pastikan anda tukar padlock baru, mana tau bekas-bekas penyewa lama simpan kunci pendua.

(21) Kurangkan pendedahan dan pergaulan anda dengan pekerja asing.

(22) Pastikan keadaan selamat sebelum buka pintu rumah (Tak kira siang atau malam, terutamanya balik lepas 11:00lam).

Sunday, September 11, 2011

Jelajah 2011 : Kem Anak Soleh @ Masjid an-Najah

Antara yang mengisi program adalah guru saya sendiri iaitu Sir Azman Abdul Rahman.... Walaupun dah berkali-kali mendengar ucapannya, saya sentiasa mendapat ilmu baru....
Riadhah pagi...
Pakat-pakat senaman...
Ceramah motivasi oleh Ustaz Solehuddin bin Abdul Roni...Teman lama di Maahad Mahmud...
Peserta puteri..
Semuanya berkongsi....
Robot....
Aktiviti mengisi waktu petang....
Merentas desa...
Saya sendiri menyampaikan motivasi yang ke dua...
Ketika Majlis Penutup....
Menyampaikan hadiah kepada peserta terbaik...

PROGRAM DIJALANKAN SEKITAR BULAN JUN 2011 YANG LALU...

Hanya sedikit manusia bersyukur

Firman Allah SWT: Katakanlah Dia-lah yang menciptakan kamu dan menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati. (tetapi) amat sedikit kamu bersyukur. Katakanlah: Dia-lah yang menjadikan kamu berkembang biak di muka bumi, dan hanya kepada-Nya-lah kamu kelak dikumpulkan.

Ibn Kathir berkata: "Allah yang menciptakan kamu daripada tiada kemudian memberi kepada kamu pendengaran, penglihatan, akal dan kemampuan. Sebaliknya sedikit sahaja di kalangan kamu yang bersyukur dan juga menggunakannya segala nikmat kurniaan Allah ini untuk mentaati dan mematuhi perintah-Nya serta menjauhi larangan-Nya."

Muhammad Quraish Shihab berkata: "Ayat di atas hanya menyebut dua dari lima pancaindera kerana kepentingan yang utama. Ia juga dikira mewakili pancaindera yang lain. Ini sesuai dengan kebiasaan penggunaan bahasa Arab yangmenyebut sebahagian tetapi yang memberi maksud kepada keseluruhan."

Sebutan al-fu'ad secara khusus merupakan pemikiran manusia yang tidak dimiliki oleh makhluk lain di muka bumi ini.

Firman Allah SWT: Dan mereka berkata: Bilakah datangnya ancaman itu jika kamu adalah orang-orang yang benar?

Sayid Qutub berkata: "Itulah pertanyaan orang yang dilamun keraguan dan itulah juga pertanyaan orang yang degil dan angkuh sedangkan mengetahui masa kiamat tidak menjejaskan apa pun."

Bagi mereka sama sahaja sama ada hari kiamat itu berlaku esok atau setelah berjuta tahun tetapi apa yang penting pasti berlakunya kiamat dan seluruh makhluk akan dihimpunkan pada hari tersebut dan segala amalan sewaktu di dunia akan diberi balasan.

Firman Allah SWT: Katakanlah: Sesungguhnya ilmu (tentang hari kiamat itu) Hanya pada sisi Allah. Dan Sesungguhnya Aku hanyalah seorang pemberi peringatan yang menjelaskan.

Ibn Kathir berkata: "Tiadalah diketahui waktu berlakunya kiamat kecuali Allah sedangkan Dia perintahku (Nabi SAW) untuk mengkhabarkan kepada kamu bahawa hari kiamat pasti berlaku dan bukan mustahil. Aku hanya penyampai dan pemberi amaran."

Al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya aku hanya seorang pemberi peringatan yang diutuskan dari sisi Tuhanku bagi memberi penjelasan kepadamu tentang syariat-Nya dan sesuatu yang dihalalkan atau diharamkan-Nya supaya kamu mengetahui setiap urusan kamu. Aku telah menyampaikan kepadamu apa yang sepatutnya aku sampaikan (risalahku)."

Firman Allah SWT: Ketika mereka melihat azab (pada hari kiamat) sudah dekat, muka orang-orang kafir itu menjadi muram. dan dikatakan (kepada mereka) inilah (azab) yang dahulunya kamu selalu meminta-mintanya.

Muka pucat

Sayid Qutub berkata: "Apabila mereka memandang peristiwa kiamat dari dekat dan menghadapinya depan mata mereka secara mendadak tanpa sebarang pendahuluan, maka muka mereka terus muram dan dukacita lalu dikatakan kepada mereka: Inilah hari yang kamu cabar dan minta disegerakan kedatangannya iaitu hari kiamat."

Cara menayangkan pemandangan yang berlaku berulang dalam al-Quran apabila ia menghadapi pendustaan dan keraguan. Ia menayangkan pemandangan itu secara tiba-tiba dan berbohong serta orang yang ragu terus berdepan dengan peristiwa yang dibohongi atau diragui mereka.

Firman Allah SWT: Katakanlah: Terangkanlah kepadaku jika Allah mematikan Aku dan orang-orang yang bersama dengan Aku atau memberi rahmat kepada kami, (maka kami akan masuk syurga), tetapi siapakah yang dapat melindungi orang-orang yang kafir dari seksa yang pedih? Katakanlah: Dia-lah Allah yang Maha Penyayang kami beriman kepada-Nya dan kepada-Nya-lah kami bertawakal. Kelak kamu akan mengetahui siapakah yang berada dalam kesesatan yang nyata.

Al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya tidak ada sesiapa pun yang mampu menyelamatkan kamu daripada azab Allah SWT kerana kekafiranmu yang menyebabkan kamu layak menerima seksaan ini."

Sama sahaja bagimu kiranya kami binasa seperti yang kamu inginkan sehingga kami memperoleh rahmat Allah SWT atau kami menang sehingga dapat menjunjung tinggi Islam seperti yang kami harapkan. Kedua-duanya merupakan kemenangan yang diharapkan dan kejayaan yang kami harapkan. Terdapat dua perkara penting di sini, antaranya:

nPerintah kepada mereka agar mencari jalan keselamatan dengan keimanan yang benar ikhlas kepada Allah SWT dan rasa takut kepada-Nya.

Sepatutnya mereka sibuk dengan urusan masing-masing dan bukannya bercita-cita Nabi SAW dan orang mukmin mati.

Jelaslah bagi Kamu akan mengetahui siapa yang sesat di antara kita dan siapa yang mendapat petunjuk serta siapa pula yang menerima kesudahan buruk di dunia dan di akhirat.

Firman Allah SWT: Katakanlah: Terangkanlah kepadaku jika sumber air kamu menjadi kering, maka siapakah yang akan mendatangkan air yang mengalir bagimu?

Sayid Qutub berkata: "Andainya mereka masih meragui hari kiamat, sedangkan teraju Kerajaan alam berada di tangan Allah Yang Maha Kuasa di atas segala sesuatu, maka apakah akan terjadi jika iradat Allah menghendaki untuk mengharamkan mereka dari air yang menjadi sumber hidup yang amat dekat itu."

Kemudian al-Quran meninggalkan mereka supaya berfikir apakah akan terjadi jika Allah SWT izinkan kejadian kekeringan air itu berlaku?

Dalam ayat di atas, Allah SWT menuntut mereka agar mengiktiraf cara mengakui nikmat-nikmat-Nya bertujuan memperlihatkan kepada mereka betapa buruk kekafiran mereka itu.

Allah SWT yang bersifat rahmat dan pemurah-Nya telah mengeluarkan air dan mengalirkannya ke setiap penjuru untuk keperluan manusia.

Oleh itu sewajarnya bagi umat manusia beriman dengan Allah Tuhan sekalian alam dengan mematuhi segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Rujukan di sini.

Marsupial comel kegilaan remaja



COMEL, lincah dan aktif. Demikian rangkai kata yang terpacul di mulut saat melihat haiwan kecil persis tupai yang menjadi kegilaan pencinta haiwan peliharaan eksotik masa kini.

Haiwan berbulu lembut yang manja berpaut di bahu seorang remaja itu digelar sugar glider. Kalau dibawa ke kawasan umum, ia pasti mencuri tumpuan khalayak, malah tidak hairan jika ada yang datang mengerumuni seolah-olah mahu mendekati ‘selebriti’.

Sugar Glider atau nama saintifiknya Petaurus Breviceps merupakan haiwan marsupial kecil yang boleh ditemui di Australia, Tasmania, Indonesia dan Papua New Guinea.

Ia mendapat namanya kerana sifatnya yang menggemari makanan manis dan mempunyai membran peluncur menyamai tupai terbang.

Kemasukan haiwan nokturnal ini di Malaysia bermula sekitar awal tahun 2000 dan semakin mendapat tempat di hati pencinta haiwan sejak ia dipaparkan dalam rancangan dokumentari popular baru-baru ini.

“Sugar glider ini merupakan haiwan sosial dan memerlukan penjaganya meluangkan masa melayaninya selama tiga hingga empat jam sehari.

“Jika dibiarkannya tanpa belaian, haiwan ini akan sunyi dan akhirnya akan mencederakan dirinya dengan menggigit ekornya, bulu di perut dan kemudian memakan isi perutnya sendiri walaupun telah diberi makanan mencukupi,” kata Mohd. Shaiful Akmal Salman, 32, yang merupakan pembekal aksesori dan pembiak baka sugar glider.


PEMILIK sugar glider perlu bersedia dengan maklumat mengenai penjagaan kesihatan, tempat tinggal dan juga dietnya.


Tambah anak kelahiran Muar, Johor itu, jika seseorang pemilik haiwan itu terlalu sibuk, mereka disarankan membela sepasang sugar glider bagi mengelakkan haiwan tersebut kesunyian.

“Jangan anggap memiliki sugar glider ini sebagai satu trend kerana ia memerlukan komitmen daripada penjaganya.

“Mudah dijaga atau tidak, itu terpulang kepada seseorang individu itu sendiri. Sekiranya seseorang itu rajin, tabah, sabar dan pandai mengatur jadualnya, maka penjagaan sugar glider ini mudah sahaja,” ujarnya yang sudah tiga tahun menjalankan perniagaan melibatkan marsupial itu.

Buat persediaan

Tambah Shaiful, sebelum seseorang itu mahu menjadikan sugar glider sebagai haiwan peliharaan, perkara wajib yang perlu dilakukan ialah mengumpul maklumat mengenainya terlebih dahulu sebagai persediaan.

Selain mempunyai pengetahuan asas tentangnya, seseorang itu perlu tahu cara memilih sugar glider yang sihat, menyediakan sangkar setinggi tiga kaki, kantung tidur, permainan, botol air dan makanan khas.

“Haiwan yang unik dari aspek penjagaannya ini mempunyai banyak variasi warna. Paling lazim dibela orang adalah daripada jenis Classic Grey kerana ia murah dan mampu milik iaitu antara harga RM250 hingga RM350 seekor,” ujar penuntut jurusan sains perubatan di Management and Science University (MSU) itu.

Antara variasi lain sugar glider ialah White Faced (RM2,500), White Faced Blonde (RM3,000), Ring Tail (RM7,500), Mosaic (RM7,500), White Mosaic (RM10,000), Creameino (RM15,000), Albino (RM15,000) dan Leucistic (RM15,000).

Tempoh bunting sugar glider mengambil masa selama 16 hari dan apabila lahir, anaknya akan tinggal di kantung ibunya (In Pouch) kira-kira dua bulan dan putus susu dua bulan selepas keluar kantung.

Anak sugar glider atau dipanggil `Joey’ boleh dipisahkan daripada ibunya seawal dua bulan selepas keluar dari kantung ibunya (Out Of Pouch) tetapi sebaik-baiknya pada umur tiga bulan selepas keluar dari kantung.

Tempoh kematangan seksual bagi sugar glider adalah berbeza tetapi secara purata, sugar glider betina matang pada umur lapan bulan ke atas dan sugar glider jantan pada umur empat bulan ke atas.

Haiwan yang mempunyai jangka hayat selama 10 hingga 15 tahun itu membiak dua hingga tiga kali setahun mengikut musim. Ia biasanya menghasilkan seekor hingga dua ekor anak paling minimum dan empat ekor paling banyak.


HAIWAN eksotik ini aktif pada waktu malam.


Pemakanan seimbang

“Walaupun haiwan ini menyukai makanan yang manis, ia juga mempunyai diet khas yang tersendiri.

“Pemakanannya harus seimbang dengan mengambil kira nutrisi seperti protein (30-50 peratus), buah-buahan (20-30 peratus), sayur-sayuran (40 peratus) dan karbohidrat (15 peratus),” katanya sambil diet tersebut dibantu pemberian suplemen wombaroo protein tinggi (HPW).

HPW adalah diet yang paling senang untuk disediakan dan ia merupakan diet yang paling hampir menyerupai pemakanan sugar glider di dalam hutan.

Katanya, ramai yang tidak mengambil berat tentang pemakanan sugar glider sehingga menyebabkan haiwan kesayangan mereka itu sakit dan menghidapi masalah kesihatan seperti obesiti, katarak, buta, lumpuh kaki belakang dan jangkitan kuman.

Seorang peminat sugar glider, Shakirin Rahmat, 27, sehingga hari ini sudah berhabis RM3,000 demi haiwan kesayangannya.

Shakirin yang sudah dua tahun bertemankan sugar glider mula berminat terhadap haiwan tersebut apabila melihat foto rakannya dan sejak itu dia mula mencari maklumat mengenai haiwan tersebut selama setahun sebelum haiwan itu disunting menjadi ‘buah hati’nya.

Percubaan pertamanya memelihara sepasang sugar glider berakhir dengan kisah sedih apabila kedua-duanya hilang gara-gara membela tanpa sangkar.

“Sejak itu saya lebih berhati-hati. Nak menjaganya mudah, sediakan sangkar yang sesuai dan luangkan masa bersamanya. Apabila kita sudah rapat, sugar glider ini akan kenal tuannya melalui bau dan tidak mahu dengan orang lain.

Merajuk

“Baru-baru ini, Chillue (nama sugar glider miliknya) berpaut pada badan saya dengan menaiki motosikal dari Damansara untuk pergi ke rumah Shaiful di Shah Alam.

“Setibanya di rumah Shaiful, Chillue merajuk kerana ada sugar glider lain pada masa itu. Ketika mahu pulang ke rumah, Chillue melompat daripada badan saya kerana merajuk,” imbas Shakirin.

Hampir dua jam dia mencari-cari kelibat haiwan kesayangannya itu. Puas dicari di bawah kereta, motosikal dan di kawasan lapang sehingga dia hampir putus asa.

“Langkah terakhir, saya letakkan bonding pouch miliknya di atas jalan raya supaya dia pulang. Selepas hampir satu jam menunggu, saya terlihat ada sesuatu bergerak datang menghampiri kantung tersebut.

“Alangkah terkejutnya saya apabila menemui Chillue dalam keadaan kesejukan dan menggigil. Tanpa berlengah, saya terus berlari mendapatkannya,” ujarnya yang mahu menjadi pembiak baka sugar glider pada masa akan datang.

Shakirin yang pernah membawa Chillue di dalam bonding pouch (kantung khas) ke kampungnya di Ipoh dengan menaiki motosikal memberitahu, haiwan cilik itu mula aktif bermula pukul 11 malam hingga pukul 8 pagi.

“Ia akan membuat bunyi bising seperti salakan anak anjing jika tuannya tidak mengeluarkannya dari sangkar untuk diajak bermain,” ujarnya yang turut memberi haiwannya itu diet buah-buahan seperti betik, tembikai susu dan epal.

Begitupun sugar glider tidak menolak sebarang makanan yang diberikan, terdapat makanan yang tidak boleh diberikan kepada haiwan tersebut seperti coklat kerana ia boleh menjadi toksin kepadanya.

Rujuk di sini

Friday, September 2, 2011

Simulasi solat ketika perang


TENTERA muslimin terpaksa menangguhkan solat mereka seketika selepas dserang oleh askar musuh.


SOLAT merupakan ibadat yang terpenting dalam kehidupan seorang muslim. Maka tidak hairanlah apabila solat disebut sebagai tiang agama bagi menghindarkan seseorang muslim itu daripada segala dosa dan noda.

Lebih istimewa, solat lima waktu yang wajib ke atas semua umat Islam merupakan kurniaan Allah kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku lebih 1,400 tahun dahulu.

Fitrah setiap manusia adalah berkehendakkan kebaikan dalam hidup. Jadi solat merupakan ‘hadiah’ daripada Allah kepada hamba-hambanya untuk terus berada dalam landasan kebaikan.

Justeru, Islam tetap menganjurkan penganutnya menunaikan solat dalam apa jua keadaan sama ada ketika sakit atau keuzuran dengan cara-cara yang ditetapkan selain solat juga wajib biarpun ketika di medan peperangan.

Solat di medan perang atau lebih dikenali sebagai solat khauf (semasa dalam ketakutan) pernah ditunaikan oleh Rasulullah beberapa kali dengan pelbagai cara seperti yang diterangkan secara terperinci dalam kitab-kitab hadis.

Menyedari kepentingan bersolat dalam apa jua keadaan, seramai 50 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Wataniah, Machang, Kelantan mengadakan demonstrasi solat khauf bersempena dengan sambutan Hari Terbuka Badan Dakwah dan Rohani (Badar) baru-baru ini.

Guru penasihatnya, Razali Harun, 45, berkata, demonstrasi tersebut berlangsung selama 30 minit dengan dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu tentera Islam dan tentera musuh.


KETIKA musuh datang dari arah bertentangan kiblat sebahagian tentera Islam menunaikan solat, manakala selebihnya berkawal bagi memastikan keselamatan rakan-rakan.


Menurutnya, modul solat khauf yang dipraktikan oleh para pelajarnya itu diperoleh daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ciri-ciri asas solat itu secara berjemaah sama dengan solat jamak takdim dan jamak takhir.

Jelasnya, melalui cara itu para pelajar akan lebih faham, selain dapat merasai sendiri situasi sebenar menunaikan solat ketika perang yang tidak mempunyai begitu banyak perbezaan kecuali makmum dapat bergerak, menangguhkan solat dan menyambung semulanya selepas berperang.

“Untuk simulasi ini, kita melakukan solat mengikut tiga keadaan iaitu ketika musuh datang dari arah bertentangan kiblat, arah kiblat dan semua arah. Situasi pertama, imam akan membahagikan pasukan tentera muslimin kepada dua kumpulan.

“Kumpulan pertama akan menunaikan solat bersamanya sehingga selesai, manakala kumpulan yang kedua akan kekal mengawasi keadaan.

“Kemudian berlaku pertukaran kumpulan yang mana kumpulan pertama akan mengambil alih tugas mengawal keadaan, manakala kumpulan kedua akan menunaikan solat berjemaah bersama imam,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Solat ikut arah musuh

Razali memberitahu, bagi situasi kedua iaitu musuh datang dari arah kiblat, pasukan tentera muslimin akan berpecah kepada empat saf. Mereka semua akan menunaikan solat dan ketika saf pertama dan ketiga rukuk bersama imam, dua saf lain iaitu kedua dan keempat akan berada di dalam keadaan qiam dan bersedia menghadapi sebarang ancaman.

“Saf yang pertama dan ketiga kemudiannya akan menyudahkan solat mereka sehingga selesai. Sesudah itu saf kedua dan keempat pula akan menyudahkan solat mereka, manakala saf pertama dan ketiga akan mengawal keadaan.

“Bagi situasi terakhir berlaku serangan musuh dari semua arah, tentera muslimin mengambil tempat untuk menyelamatkan diri dan membalas serangan. Setelah selesai tentera muslimin tadi akan menyudahkan solat mereka sama ada dalam keadaan duduk, berbaring ataupun berdiri mengikut kemampuan masing-masing,” ujarnya.


SETELAH situasi kembali aman, tentera muslimin akan menyudahkan solat mereka seperti biasa.


Seorang pelajar yang juga imam solat khauf, Tuan Abdul Rahman Tuan Sheik, 16, berkata, dia teruja kerana diberikan peluang untuk turut serta dalam menjayakan solat berkenaan biarpun secara simulasi.

Katanya sebelum ini, dia dan rakan-rakan hanya belajar secara teori cara untuk melakukan solat itu, namun kali ini dia dan rakan-rakan berpeluang melakukannya secara praktikal.

“Walaupun negara kita tidak pernah berperang, pengalaman yang saya kutip ketika menjayakan simulasi ini amat berharga buat diri saya. Insya-Allah ilmu yang saya pelajari ini akan digunakan sebagai mungkin selepas saya menamatkan pelajaran di sekolah ini.

“Kesimpulan yang dapat saya buat sepanjang mengikuti latihan simulasi ini menunjukkan Islam cukup menitikberatkan solat. Walau apa jua keadaan berlaku, solat harus ditunaikan kerana ia merupakan kewajipan ke atas setiap muslim,” jelasnya.

Sementara itu Penolong Kanan Pentadbiran SMKA Wataniah, Zakaria Yusof berkata, demonstrasi solat itu dapat memberikan banyak faedah bukan sahaja kepada para pelajar tetapi masyarakat.

“Melalui cara ini kita dapat melahirkan para pelajar yang bukan sahaja cemerlang dengan ilmu dunia, tetapi dalam masa yang sama dibimbing dengan ilmu akhirat,” katanya.

Rujukan di sini

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin