Friday, September 17, 2010

Abu Jahim utamakan orang lain

ABU Jahim bin Huzaifah adalah sahabat Nabi Muhammad. Beliau seorang yang berhati mulia. Beliau juga adalah pahlawan Islam yang sama-sama melawan musuh semasa perang Yarmuk.

Pasukan tentera Islam ketika itu dipimpin oleh panglima-panglima seperti Abu Ubaidah al-Jarrah, Amru al-As, Yazid bin Abu Suffian, Syurahbil bin Hasanah dan Abdullah bin Umar al-Khattab dan mereka berjaya mengalahkan tentera Rom dalam peperangan itu.

Dalam peperangan itu, ada peristiwa terjadi ke atas Abu Jahim. Semasa tentera-tentera Islam bertempur dengan tentera Rom, beliau mencari sepupunya yang berada di barisan hadapan sambil membawa sedikit air.

Ketika Abu Jahim ternampak sepupunya, tubuh sepupunya penuh berlumuran darah. Abu Jahim segera berlari ke arah sepupunya dan memberikan air.

"Aduh sakitnya," sepupunya itu mengerang kesakitan.

Abu Jahim segera merapati sepupunya.

"Minumlah air ini saudaraku".

Tetapi, belum sempat Abu Jahim memberikan air itu kepada sepupunya, Abu Jahim terdengar suara orang meminta air.

Kata orang itu: "Air.., air... Saya mahu air".

Sepupunya yang mengerang kesakitan dan berlumuran darah itu turut mendengar suara itu.

Kemudian, sepupu Abu Jahim berkata: "Berikanlah air ini kepada orang itu. Kasihan saya mendengarnya."

Abu Jahim bingkas bangun dan berlari menuju ke tempat orang itu. Rupa-rupanya, orang itu adalah Hisyam bin Abil Anas.

"Minumlah air ini," kata Abu Jahim.

Belum sempat Hisyam minum, tiba-tiba dia terdengar suara orang lain pula meminta air yang berada berhampiran dengannya.

Kemudian, Hisyam Anas berkata kepada Abu Jahim: "Kamu berikan sahaja air ini kepada orang itu. Beliau lebih memerlukan air ini berbanding saya."

Tanpa berlengah, Abu Jahim segera membawa air itu ke tempat pahlawan Islam itu. Namun semuanya tidak kesampaian. Pahlawan itu meninggal dunia sebelum Abu Jahim sampai ke tempatnya.

Melihat kematian pahlawan itu, Abu Jahim segera bangun dan berlari menuju semula ke tempat Hisyam berada.

"Saya perlu berlari pantas supaya air ini dapat diminum oleh Hisyam," kata Abu Jahim sambil berlari membawa air itu. Berliau berhati-hati supaya air yang dibawanya itu tidak tumpah ke tanah.

Langkah kaki Abu Jahim semakin cepat. Takdir penentu segalanya. Selepas sampai di tempat Hisyam berada, Abu Jahim mendapati bahawa Hisyam juga sudah meninggal dunia. Air yang dibawanya itu masih berada di tangannya.

Kemudian Abu Jahim teringat kepada sepupunya yang sudah menunggunya sejak dari tadi. Namun sebaik sahaja Abu Jahim sampai ke tempat sepupunya itu, beliau mendapati bahawa sepupunya juga sudah meninggal dunia.

Suasana peperangan pula semakin sengit. Beberapa orang tentera Islam sudah terkorban dalam perang itu.

Abu Jahim tidak dapat menahan kesedihannya apabila melihat sepupunya juga meninggal dunia.

Demikianlah sifat Abu Jahim yang baik dan perlu dicontohi oleh orang lain. Keluhuran dan ketinggian budi yang ditunjukkan oleh pahlawan Islam ini patut diteladani oleh orang yang beriman kepada Allah dan Nabi Muhammad.

Rujukan di sini

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin