Thursday, April 29, 2010

Jelajah 2010 : Kem Anak Soleh, Matang Jaya

Di beri slot jam 10.30 malam....Hanya 1 jam sahaja.. Benar-benar mencabar untuk memberi perhatian kepada 120 peserta
Terus mulakan pengisian...
Zikir dengan bersungguh-sungguh agar terus ke hati...
Dengan semangat untuk perubahan....
Moga berpeluang berjumpa anda semua lagi...

------------
Program anjuran Yayasan Amal Malaysia Unit Kuching dengan kerjasama Masjid al-Muhajirin, Matang Jaya.... Jazakallah atas peluang yang diberikan...
------------
:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Serian 29 April 2010

Gambar Hari Ini : Aku pun budak kampung

Dulu di Teluk Bagan banyak Kambing kampung...sampai pernah ada orang kemalangan depan rumah langgaq kambing... Teringat masa umur 5, 6 tahun.. Masa tu di rumah Arwah wan Umaq masih ada kandang kambing lagi... Selain dari buat bendang...Dengan bela kambing ni lah Arwah Wan Umaq Besaqkan mak 7 beradik.. Teringat kisah mak, waktu dia kecil perlu halau kambing masuk kandang bila petang...Arwah wan juga pernah tunjuk kat aku mcmana nak masak kepala kambing agar otak dia tak berkecai... La ni?? nak cari sekoq kambing melintas depan rumah pun payah
Semasa bersekolah di SK Dato Wan Mat Saman... Banyak member yang buat gerek depa mcm ni... Aku pernah minta kat ayah nak buat mcm ni...Tapi dia tak bagi... Bila berpindah ke SK Tebengau pun, masih ramai lagi yang naik gerek mcm ni... LA ni??? Budak2 dh jarang naik gerek...Mak Pak Hantaq sampai depan pintu sekolah...
Buah kegemaran... Sekejap musim kampung..sekejap musim siam... Masih ingat masa sekolah rendah... Bila balik Perak.. Mak akan bawa balik durian dusun sedara mara.. Bila sampai rumah.. Aku dan bang nip akan kayuh gerek ke Kedai Cup untuk beli beras pulut.. Kedai Cup tak buka waktu malam..ketuk la pintu rumah dia..sampai dia pun dah tau, kalau mai malam mesti nak beras pulut..Hantaq beras ke rumah, terus berlari (sebab takut malam) pi rumah tok teh, arwah tok cik, mak Njang... Ajak depa mai rumah makan durian... La ni?? Aku dah tak dapat makan durian banyak2...pening....hehe
Permainan ni aku selalu main di PASTI kat rumah lama Mak Njang... Main tarik upih pinang... Kadang2 depan rumah Arwah Tok Ngah Lan... Sebab aku dgn sepupu, Pa'e.. Kami dua badan besar, kami la tukang tarik...Depa ingat lagi ka??? hehe... La ni??? Budak2 lebih suka main PS....
Ni pun penah main juga... dengan Bang Nip, Baop, Islah, Farid, Pae, Piti, dan ramai lagi...masa di rumah lama..sekeliling rumah adalah rumah saudara mara... Bila dah masuk sekolah ni..aku ajaq budak2 main,..depa tak tau....
Ini namanya serkap...time motong padi...inilah kerjanya..walaupun tak pro sangat...tapi pernah buat.. Ikut belakang mesin padi dan kobota...Pernah pi menyerkap dengan Bang Nip dan Pun...Ulaq pun penah lekat...Sampai mak hadiah kan serkap tu... La ni dah tak tau kat mana... Cuma last tengok masa bela ayam katek dulu.. Buat guna kurung ayam...Cuma kalau la ni..orang ajak turun bendang lagi.. Tak mau dah la... Takut kaki terbenam dalam selut....
Mesin padi....kadang-kadang orang paking tepi rumah..apa lagi..naik la atas dia dan berlakon bawa mesin padi...Pengalaman + kenangan = Nostalgia...
Cukup femes di mana-mana kampung dlm negeri Kedah..Kalau time buat balai kat rumah kenduri kena ada bnda alah ni...Tak pernah hisap.. Namun melihat mereka yang menggulungnya... ternyata mereka ada seni....hehe
La nie semua dah moden dah

Posting ke 700 : PENDIRIAN GAMIS BERKAITAN ISU KEMATIAN ADIK AMINULRASYID



PENDIRIAN DAN KENYATAAN MEDIA GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA (GAMIS) BERKAITAN ISU KEMATIAN ADIK AMINULRASYID

Pendahuluan

Rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan kes kematian Allahyarham adik Aminulrasyid Amzah, 15 tahun, pelajar tingkatan 3 Sekolah Menengah Seksyen 9, Shah Alam yang telah ditembak di kepala oleh pihak polis. Beberapa media telah melaporkan bahawa remaja terbabit sebagai suspek ahli kumpulan samun, namun perkara ini dinafikan oleh keluarga Allahyarham. Polis mendakwa kereta yang dipandu oleh Allahyarham cuba merempuh anggota polis peronda untuk melarikan diri dan polis bertindak melepaskan beberapa das tembakan yang seterusnya membunuh Aminulrashid.

Namun lain pula gambaran yang diberikan oleh rakan Aminulrashid yang ada bersama Allahyarham dalam kereta ketika kejadian. Dalam laporan polis yang telah dibuat, rakan yang sebaya dengan Allahyarham menegaskan Aminulrashid dalam ketakutan apabila terlanggar sebuah kenderaan lain dan terus memintas kereta peronda berkenaan. Setelah dipintas, anggota peronda terus mengejar dan melepas tembakan yang mengena sasaran. Aminulrashid rebah dalam kereta dengan luka tembakan di belakang kepalanya. Saksi utama ini juga melaporkan beliau kemudian di pukul oleh anggota polis sebelum sempat melepaskan diri. Beliau kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Shah Alam.

Menurut Monaliza Mokhtar, Biro Hal Ehwal Murid PIBG Sekolah Menengah Seksyen 9, beberapa media yang menganggap juvana terbabit sebagai suspek kumpulan samun sebagai satu fitnah. Pelbagai persoalan timbul di kalangan masyarakat berkaitan kes ini. Kes ini dilihat boleh mencalarkan imej Polis Di Raja Malaysia (PDRM) sebagai badan yang bertanggungjawab menjaga keselamatan awam.

Pendirian GAMIS :

Justeru, dalam kes ini, GAMIS berpendirian :

1. Pihak polis tidak sepatutnya cuai dalam hal ini. Ada prosedur tertentu yang perlu dilalui oleh pihak polis sebelum menembak walau apapun kesalahan seseorang. GAMIS berpandangan, kes tembakan ini adalah tindakan keterlaluan walaupun Allahyarham adik Aminulrasyid bersalah sekalipun, dia tetap juvana yang masih di bawah umur. Pihak polis sangat teliti dalam beberapa kes yang lain seperti penangkapan mahasiswa yang terlibat dalam pilihan raya tetapi seolah-olah terburu-buru dalam kes seperti ini sedangkan ianya melibatkan keselamatan awam dan meragut nyawa. Kemungkinan dari kes ini akan menyebabkan rakyat Malaysia berasa tidak selamat dan terancam walaupun mereka tidak melakukan kesalahan.

2. GAMIS ingin mengingatkan kepada pengamal media agar berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan sama ada media cetak atau media elektronik. Hal demikian kerana, sikap terburu-buru media dalam menerbitkan sesuatu isu mungkin boleh menyinggung perasaan keluarga dan orang lain. Dalam isu ini, pelbagai versi berita yang dihidangkan kepada masyarakat sehinggakan mereka keliru tentang kesahihan berita di samping telah menimbulkan syak wasangka yang tidak baik kepada mangsa dan keluarga. Janganlah hanya kerana inginkan publisiti dan berita panas sehinggakan menimbulkan perkara yang tidak baik dalam masyarakat.

3. GAMIS juga ingin berpesan kepada rakyat Malaysia khususnya agar tidak menerima sesuatu berita dengan mudah. GAMIS amat sedih apabila timbulkan syak wasangka yang tidak baik kepada Allahyarham dan keluarga sehinggakan dijadikan perbincangan termasuklah di internet sama ada melalui forum-forum maya, blog, facebook dan sebagainya. Ada yang menambah-nambah cerita, mengutuk dan menghina Allahyarham dan keluarga. GAMIS berharap, perkara tidak baik seperti ini dihentikan. Sedangkan Rasulullah s.a.w. juga berpesan agar kita kita membangkitkan cerita-cerita tidak baik berkaitan seseorang setelah dia meninggal dunia walaupun dia bukan Muslim, apatah lagi kalau ada tokok tambah cerita dan fitnah yang dilemparkan.

4. GAMIS berharap agar Perdana Menteri serta Menteri Keselamatan Dalam Negeri memandang serius kes ini. GAMIS berharap satu jawatankuasa khas ditubuhkan dengan segera serta menyiasat kes ini seadil-adilnya. Kita sedih dengan beberapa kes sebelum ini yang mengambil masa terlalu lama dalam penyiasatan, bahkan masih ada yang belum dapat diselesaikan sehingga kini. Dalam kes Allahyarham Adik Aminulrasyid ini, siasatan adil dan segera sangat diharapkan kerana telah menimbulkan pelbagai tanda tanya di kalangan masyarakat. Keadilan haruslah diberikan kepada mereka yang berhak serta tindakan susulan harus diambil sekiranya ingin membersihkan imej keselamatan negara Malaysia.

Penutup

GAMIS turut bersedih dalam isu ini. serta ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham atas kehilangan insan tersayang. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan beserta orang yang soleh. GAMIS juga menyeru kepada semua pihak termasuklah pihak kerajaan, Polis Di Raja Malaysia (PDRM), media dan masyarakat agar memandang serius dalam kes-kes seperti ini. Diharapkan kes-kes seperti ini tidak lagi berulang. Semoga keadilan dapat ditegakkan serta keselamatan negara lebih terjamin pada masa akan datang.

Wednesday, April 28, 2010

Mari Belajar Cara Australia Jadikan Perpustakaan Milik Masyarakat

BUDAYA membaca sebenarnya adalah satu sikap yang sukar dipupuk walaupun dalam mana-mana masyarakat sekali pun. Sikap ingin menambah pengetahuan terutama selepas zaman persekolahan merupakan bukan sesuatu perkara yang mudah dilaksanakan.

Bagaimanapun, cara Australia memajukan perpustakaannya dan cara mereka menarik masyarakat mendampingi perpustakaan sangatlah unik dan wajar diteladani oleh kita semua.

Pengalaman saya meninjau ke beberapa buah perpustakaan terutamanya perpustakaan desa di sekitar Victoria, banyak membuka mata saya, bagaimana sistem di sini memupuk budaya ingin membaca berlaku walaupun tanpa wujudnya kempen-kempen tertentu.

Perpustakaan awam di Australia didirikan di setiap daerah, tanpa mengira bilangan populasi setempat. Ini bermakna walaupun populasi di sesuatu tempat tidak sampai satu ribu penduduk pun, tetap diadakan sebuah bangunan khusus untuk perpustakaan.

Pengurusan perpustakaan diletakan di bawah seliaan kewangan perbandaran tempatan. Yang menariknya, setiap perpustakaan tidak mempunyai sebarang dana tertentu untuk menjalankan apa jua aktiviti yang direncanakan, melainkan gaji tetap para pekerja pustakaan tersebut.

Dan untuk menjadi ahli di mana-mana perpustakaan di sini, tidaklah sesusah di Malaysia. Keahlian tidak memerlukan sebarang gambar passport ataupun penjamin, apatahlagi mengisi borang-borang yang menyusahkan.

Secara tidak langsung, peraturan yang longgar ini dapat manarik minat masyarakat setempat untuk menjadi ahli perpustakaan. Apatahlagi peraturan-peraturan yang disediakan cukup mesra pengguna.

Perpustakaan dibuka untuk kegunaan semua orang, tidak kira sama ada anda merupakan ahli ataupun bukan. Kelebihan menjadi ahli adalah sekadar untuk pinjaman dan penggunaan peralatan alatan.

Lebih menarik, bila anda mendaftar untuk sesebuah perpustakaan awam, secara automatis anda menjadi ahli untuk kesemua perpustakaan yang terdapat di daerah tersebut. Anda boleh meminjam sebuah buku di perpustakaan A dan menghantarnya ke perpustakaan B, menarik bukan?

Tambah teruja, perkhidmatan penghantaran dan pengambilan buku/video/cd ke rumah sebagai perkhidmatan tambahan, tanpa dikenakan sebarang caj tertentu. Maka secara tidak langsung anda tidak ada sebarang alasan untuk tidak membaca.

Perpustakaan di sini tidak menegah untuk membuat bising…sesuatu yang pastinya kita tidak akan jumpa di mana-mana perpustakaan pun di dunia mungkin. Bagi masyarakat Australia, perpustakaan tidak perlu senyap, kerana bagaimana ilmu dapat disalurkan tanpa adanya diskusi dan interaksi.

Perpustakaan juga menyediakan perkhidmatan membantu menyiapkan kerja sekolah - satu tarikan utama untuk golongan pelajar, untuk datang ke perpustakaan. Perkhidmatan ini juga disediakan secara percuma.

Aktiviti-aktiviti yang dijalankan di sini melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur mahupun latarbelakang seseorang. Menariknya, mereka menggalakkan penggunaan internet, permainan video malah PS (Play Station) mahupun WII (Nintendo) disediakan - mungkin juga sebagai satu daya penarik agar golongan muda mengunjungi perpustakaan.

Bayangkan setiap hari ada sahaja aktiviti dijalankan, dari kelas membaca sehingga ke kelas komputer, secara tidak langsung mengamit orang untuk datang ke perpustakaan. Disamping itu setiap persatuan sejarah setempat diletakkan di bawah seliaan perpustakaan.

Bayi (di bawah umur 2 tahun) juga telah disediakan aktiviti tertentu, agar dapat dipupuk dari awal sikap ingin tahu, budaya membaca dan budaya bersosial.

Kesimpulannya, semua ini secara tidak langsung melibatkan masyarakat setempat, dalam berkongsi pengalaman dan menyalurkan ilmu kepada yang lain. Setiap aktiviti bukan sahaja dijayakan oleh perpustakawan malah para sukarelawan yang tidak dibayar, bersama-sama mengemblengkan tenaga untuk menjayakan sesuatu aktiviti.

Duit mahupun dana bukan penghalang untuk melaksanakan sesuatu aktiviti. Masyarakat setempat tidak memerlukan makanan percuma untuk hadir sesuatu aktiviti, mahupun t-shirt tanda kenangan ataupun sijil kehadiran.

Pengguna perpustakaan amat dahagakan ilmu, bukannya cenderahati. Penceramah juga tidak menuntut sebarang saguhati atau honorari, kerana kesedaran tanggungjawab sosial yang tinggi.

Perpustakaan bukan sekadar tempat lambakan buku, ia dijadikan tempat tumpuan setempat. Tempat perbincangan dan tempat untuk berkongsi pengalaman. Pendek kata perpustakaan janganlah terlampau menakut-nakutkan pengguna, dengan peraturan-peraturan yang rigid.

Ilmu janganlah dijadikan terlampau eksklusif hanya untuk golongan tertentu sahaja dan janganlah sama sekali kita menjadikan duit sebagai penghalang untuk maju ataupun melakukan sebarang aktiviti-aktiviti.

DR AHMAD ZAHARUDDIN SANI merupakan Honarary Visiting Academician di University of Melbourne. Beliau boleh dihubungi menerusi email asani@unimelb.edu.au
Rujukan di
sini

Tuesday, April 27, 2010

Gambar Hari Ini : Ragam Pelbagai

Awas...dia dah pandai berenang....
Ane...Tosai wone....
Merenung diri....
Lari-lari....
Friendship forever....

Monday, April 26, 2010

Kukuh institusi keluarga

Berita seorang pelajar sekolah dirogol di dalam bilik darjah oleh rakan sekolahnya, pelajar remaja dirogol sekumpulan lapan orang dan beberapa kes bunuh diri dari kalangan orang Melayu Islam amat mengganggu kita kebelakangan ini. Terbaru, remaja belasan tahun didapati menggantung diri.

Melihat senario itu, nampaknya bilik darjah kini tidak lagi selamat. Rakan-rakan sekolah tidak lagi boleh dipercayai. Agama tidak lagi menjadi pendinding dalam tindakan. Tekanan perasaan dan perasaan keterasingan membawa padah apabila nyawa sendiri menjadi taruhan.

Tidak perlu menuding jari. Yang terjadi telah terjadi. Tidak mustahil esok, ahli keluarga terdekat kita yang menjadi mangsa. Tatkala itu, kita akan tahu betapa sakit, pedih dan sedihnya berhadapan dengan situasi itu.

Oleh kerana itu, semua pihak harus prihatin terhadap apa yang terjadi. Ini adalah antara isu-isu yang mungkin tidak terfikir dek akal kita selama ini. Kita hanya membaca dan menggeleng kepala terhadap apa yang terjadi kepada orang lain tanpa kita duga yang ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Apakah tindakan yang wajar kita sama-sama lakukan selepas ini? Pertama, ia harus bermula dari dalam rumah. Kukuhkan institusi keluarga, tanamkan perasaan kasih sayang, sikap prihatin dan melihatnya sebagai amanah Tuhan yang tidak harus diabaikan. Kesibukan bagaimana sekali pun dalam mencari rezeki bukan alasan untuk abaikan keluarga.

Anak-anak lahir dari kasih sayang sepasang suami isteri, walaupun terdapat juga yang lahir secara terpaksa atau tidak diminta. Dalam sebuah unit keluarga, biasanya anak lahir daripada hasrat bersama.

Seperti mana kita menghargai kasih sayang ibu bapa dan keluarga, maka kita juga bertanggungjawab dan memegang amanah besar dalam memberikan dan berkongsi kasih sayang dan amanah terhadap anak-anak kita.

Menyayangi anak-anak dan keluarga bukan sahaja bermakna memenuhi keperluannya, tetapi juga mengawasi, mengambil berat, mengambil tahu dan sentiasa tahu perkembangan anak-anak dan ahli keluarga.

Ini bermakna, ibu bapa berperanan untuk memastikan anak-anak dan anggota keluarganya sentiasa dalam sejahtera, malah juga mensejahterakan anggota masyarakat seluruhnya.

Selain itu, para pemimpin institusi yang ada harus memainkan peranan yang sewajarnya. Bukan sahaja institusi sekolah, malah juga institusi agama dan institusi-institusi lainnya.

Institusi sekolah dan warganya harus tidak sentiasa bersikap menghukum, tetapi mendidik. Guru-guru harus menjadi role model kepada anak-anak. Agak malang apabila sesekali terdengar berlaku pergaduhan guru-guru yang disaksikan murid dan pelajar, sikap guru yang tidak sesuai dengan institusi sekolah dan pendidikan dan pelbagai isu lain.

Kita faham tekanan yang dihadapi oleh para pendidik kita. Malah kita juga melihat pelbagai ganjaran yang diberikan untuk membantu para pendidik kita. Namun yang paling penting adalah profesionalisme guru dan roh 'pendidik' dan 'guru' harus diberikan keutamaan.

Guru dan pendidik bukan lagi seperti mana zaman tahun 60-an yang berkhidmat secara sukarela dan mempunyai minta mendalam terhadap pembangunan ilmu anak bangsanya.

Justeru, institusi sekolah dan pendidikan harus membangunkan sistem yang berupaya mendidik anak-anak kita, sehinggalah ke institusi pengajian tinggi untuk memahami dan menghayati kepentingan terhadap isu-isu yang berkaitan sama ada secara formal atau pun di luar bilik darjah.

Malah di institusi pengajian tinggi kita, aktiviti-aktiviti pelajar harus menumpukan kepada usaha ini melalui begitu pertubuhan dan persatuan yang ada. Anak-anak muda kita harus diberikan kefahaman mendalam tentang kesan dan natijah yang berlaku dalam setiap tindakan yang dilakukan secara jangka panjang.

Begitu juga dengan institusi agama termasuk institusi masjid yang ada hampir di setiap mukim dan kampung di negara kita. Institusi agama harus berupaya untuk berjalan seiring dengan anak-anak kita tanpa sebarang prejudis.

Biar bagaimanapun tingkah laku anak-anak kita, tanpa mengira sesiapa, mereka perlu dibuat kawan dan dibimbing.

Jiwa anak-anak dan remaja harus dilihat dalam konteks keremajaan dan zaman yang dilalui tanpa perlu membandingkan mereka dengan zaman dan tingkah laku kita pada zaman kita sebagai anak-anak dan remaja.

Para imam, ustaz dan cerdik pandai agama kita harus sentiasa mempunyai empati yang tinggi terhadap jiwa anak-anak kita. Menyalahkan mereka, memandang buruk dan melihat mereka dengan pandangan hina dan menghukum, tidak akan menyelesaikan masalah.

Lihat bagaimana stigma yang ada dalam masyarakat terhadap para penagih dadah serta mereka yang menghidapi HIV/AIDS yang dipandang hina dan tidak dipedulikan oleh anggota masyarakat dan keluarga sehingga menyebabkan ramai yang terus hidup dalam dunianya sendiri.

Kesilapan yang masyarakat lakukan adalah kita enggan berkawan dan memahami mereka. Dalam banyak keadaan, anak-anak dan remaja, malah juga orang dewasa hilang haluan dan pertimbangan apabila tiada tempat mengadu, tiada teman untuk mendengar dan berkongsi masalah, manakala kemurungan menjadi antara petanda awal yang menjerumuskan mereka dalam membuat keputusan yang mungkin di luar jangkaan kita.

Selain itu, badan-badan sukarela perlu menggerakkan tenaga dan usaha mereka untuk bersama-sama mendekati anak-anak, remaja, malah mereka yang berhadapan dengan masalah.

Di negara ini, kita mempunyai banyak badan sukarela yang berteraskan pelbagai kepentingan dan kumpulan masyarakat. Dalam banyak keadaan, cadangan yang diberikan adalah penguatkuasaan dan pengukuhan pelbagai agensi kerajaan.

Namun, keprihatinan dalam mengurangkan masalah yang ada harus digerakkan oleh badan-badan sukarela dan anggota masyarakat seluruhnya. Konsep gotong royong, berderau, khidmat masyarakat dan pelbagai lagi adalah antara aktiviti yang harus digerakkan secara besar-besaran.

Setiap pihak harus melihat isu-isu sosial sebagai masalah bersama yang harus diselesaikan bersama. Ia adalah isu bersama yang patut melibatkan semua pihak, bukan khusus kepada kumpulan tertentu.

Pada masa yang sama, agensi-agensi amanah harus terus memberikan sokongan dalam semua usaha yang dilakukan secara berterusan. Mereka yang berada di agensi-agensi amanah perlu menunaikan amanah yang diberi tanpa putus asa demi mewujudkan kesejahteraan masyarakat pada masa depan.

Kes rogol, buang bayi, bunuh diri serta jenayah-jenayah lainnya hanya dapat dikurangkan dengan adanya tindakan holistik yang melibatkan semua pihak. Ia bukan hanya tanggungjawab pihak tertentu, tetapi tanggungjawab kita semua.

Dalam perkara itu, ibu bapa dan keluarga adalah unit terpenting dalam memastikan kesejahteraan semua, sebagai pemerhati sekali gus mengambil tindakan awal untuk mengelakkan masalah menjadi lebih runcing. Kasih sayang yang mendalam perlu menjadi alat utama untuk mengikat kita sebagai satu unit sosial yang kukuh dalam menghadapi apa jua keadaan yang berlaku.

Anak-anak malah kita sendiri mungkin melakukan kesilapan, tetapi dengan adanya bimbingan dan kasih sayang yang mendalam, ia boleh diselesaikan supaya anak-anak tidak terus hanyut serta mengambil keputusan yang menimbulkan kesusahan kepada dirinya, mahu pun mereka yang berada di sekelilingnya. Kasih sayang harus dikongsi dan dirasai bersama.
UTUSAN MALAYSIA 26 April 2010

Saturday, April 24, 2010

Allah rahsiakan bila kiamat

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Mukadimah

Al-Maraghi berkata: Selepas Allah SWT menjelaskan kekuasaan-Nya dengan kebangkitan semula orang yang telah mati sebagaimana Dia berkuasa mencipta alam semesta. Kemudian Dia menerangkan berkenaan kebenaran yang diwahyukan kepada nabi-Nya bahawa hari kebangkitan manusia adalah milik Allah Tuhan Alam Semesta.

Ketika malapetakanya yang hebat melebihi segala bencana itu datang, ketika segala perbuatan diperlihatkan kepada para pengamalnya ketika itulah manusia mengingati apa yang telah dilakukannya.

Allah SWT memperlihatkan neraka di hadapan manusia sehingga semua mata dapat melihatnya. Pada hari itulah ditimpakan pembalasan kepada manusia yang melampaui batasan syariat Allah.

Ini kerana mereka mengutamakan kelazatan dunia dari akhirat untuk mereka itulah neraka sebagai tempat azab. Sementara manusia yang takut kepada kebesaran dan keagungan Tuhan-Nya serta mengawal hawa nafsunya, maka sudah pasti syurga tempatnya sebagai pembalasan apa yang telah mereka kerjakan dahulu.

Firman Allah SWT: Maka apabila datang hari yang bencananya amat besar. Ibn Abbas berkata: Iaitu hari kiamat. Ibn Kathir berkata: Disebut dengan perkataan Tammah kerana ia meliputi segala yang menakutkan lagi menyeramkan.

Firman Allah SWT: Iaitu hari manusia akan mengingati apa yang telah diusahakannya. Al-Maraghi berkata: Pada hari itu manusia melihat perbuatannya termaktub dalam buku catatan amalannya yang hampir dilupakan tetapi dia segera mengingati kembali apa yang dilakukan dahulu.

Firman Allah SWT: Dan neraka diperlihatkan kepada sesiapa sahaja yang dapat melihatnya. Syed Qutb berkata: Neraka kelihatan jelas kepada setiap mata yang membawa makna dan bunyi yang kasar dan keras dan menonjol pemandangan neraka di hadapan setiap mata.

Ketika itu manusia akan menerima balasan dan akibat yang berbeza-beza. Dan ketika itu lahirlah tujuan dan matlamat pentadbiran dan perencanaan Allah yang mewujudkan kehidupan dunia.

Firman Allah SWT: Maka (dapatlah masing-masing mengetahui kesudahannya), adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya). Serta ia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata. Maka sesungguhnya neraka jahanamlah tempat kediamannya.

Al-Maraghi berkata: Orang yang sombong, melampaui batas dan mengutamakan kelazatan dunia serta nafsu syahwatnya daripada akhirat, maka nerakalah tempat tinggalnya.

Firman Allah SWT: Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu. Maka sesungguhnya syurgalah tempat kediamannya.

Syed Qutb berkata: Pencegahan diri dari keinginan hawa nafsu merupakan tiang seri ketaatan. Keinginan hawa nafsu merupakan pendorong yang kuat kepada tindak-tanduk yang melampau dan kepada perbuatan maksiat.

Ia menjadi punca segala bala bencana dan kejahatan. Jarang manusia binasa kecuali dengan sebab mengikut hawa nafsu.

Kejahilan mudah diubati tetapi penyakit mengikut hawa nafsu selepas berilmu merupakan penyakit jiwa yang memerlukan mujahadah yang bersungguh-sungguh dan memerlukan masa yang lama untuk mengubatinya.

Perasaan takut kepada Allah SWT merupakan dinding yang teguh untuk mencegah segala keinginan nafsu yang kuat tetapi semua dinding yang lain jarang dapat mencegah gelojak hawa nafsu kerana itulah kedua-duanya dikumpulkan dalam satu ayat.

Yang bercakap di sini ialah Allah pencipta manusia. Kerana itu Dialah yang mengetahui tentang penyakit jiwa dan ubatnya. Begitu juga Maha Mengetahui dengan segala lorong dan likunya.

Dialah Maha Mengetahui di mana tersembunyinya keinginan nafsu dan apakah pula ubatnya dan bagaimana mengusir dan memburu hawa nafsu itu dari tempat-tempat persembunyiannya.

Firman Allah SWT: Mereka (yang ingkar) selalu bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Begitu juga persoalan berlegar kepada orang yang telah mati, bila akan dibangkitkan? Ibn Kathir berkata: Pengetahuan tentangnya tidak diberikan kepadamu.

Firman Allah SWT: Apa hubungannya tugasmu dengan (soal) menerangkan masa kedatangan hari kiamat itu?

Diriwayatkan oleh Aishah r.anha bahawa Rasulullah SAW sering menyebut hari kiamat dan hal itu selalu ditanya sehinggalah ayat ini diturunkan.

Al-Maraghi berkata: Kamu jangan bersedih hati dalam menangani masalah ini serta jangan memaksa diri kamu untuk mengetahui rahsia-rahsianya dan ingin mengetahui sesuatu yang disembunyikan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya.

Firman Allah SWT: Kepada Tuhanmulah terserah kesudahan ilmu mengenainya. Tugasmu hanyalah memberi amaran kepada orang yang takut akan huru-hara hari kiamat itu.

Ibn Kathir berkata: Barang siapa yang takut kepada Allah SWT dan takut kepada ancaman-Nya, maka dia akan mengikutimu. Oleh yang demikian, dia sangat beruntung dan memperoleh kegembiraan. Kegagalan dan kerugian hanya untuk orang yang mendustakan dan melakukan penentangan.

Firman Allah SWT: (Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya: seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja.

Al-Maraghi berkata: Dalam bahasa Arab terdapat ungkapan yang sama seperti kenyataan di atas: Aku akan mengunjungi kamu pada waktu petang atau pagi. Atau sebaliknya, ungkapan ini bermaksud mereka akan memendekkan masa kunjungannya dan sangkaan mereka hanya akan tinggal sepanjang waktu petang atau pagi.

Penutup

Syed Qutb berkata: Selesailah sudah kehidupan dunia yang selalu membuat penghuni-penghuninya berperang dan bertarung satu sama lain kerana merebut kenikmatannya. Dunia yang selalu membuat mereka mengutamakan kenikmatannya dan mengabaikan usaha mereka mendapat habuan di akhirat.

Dunia yang selalu membuat mereka sanggup melakukan untuknya segala jenayah, maksiat dan kezaliman, dan dunia yang selalu membuat mereka dihanyut nafsu dan hidup kerana nafsu.

Terlipatlah sudah kehidupan dunia ini dalam hati pencintanya hingga dirasakan mereka seolah-olah kehidupan itu hanya berlangsung selama satu petang atau satu pagi sahaja. Inilah kehidupan dunia yang singkat.

Adakah kerana kehidupan pagi dan petang, mereka sanggup mengorbankan kehidupan akhirat yang kekal?

Adakah kerana kepuasan hawa nafsu yang fana, mereka sanggup meninggalkan kediaman syurga yang kekal di akhirat? Tidakkah ini suatu kebodohan yang paling besar? UTUSAN 24 APRIL

Wednesday, April 21, 2010

Renungan Untuk Orang Muda....

1. KETIKA MENCARI CALON
Janganlah mencari isteri, tapi carilah ibu bagi anak-anak kita
Janganlah mencari suami, tapi carilah ayah bagi anak-anak kita.

2. KETIKA MELAMAR
Anda bukan sedang meminta kepada orang tua/wali si gadis,
tetapi meminta kepada Allah melalui orang tua/wali si gadis.

3. KETIKA AKAD NIKAH
Anda berdua bukan menikah di hadapan penghulu,tetapi menikah di hadapan Allah
4. KETIKA RESEPSI PERNIKAHAN
Catat dan hitung semua tamu yang datang untuk mendoa'kan anda, kerana anda harus berfikir untuk mengundang mereka semua dan meminta maaf apabila anda berfikir untuk BERCERAI kerana menyia-nyiakan do'a mereka.

5. KETIKA MALAM PERTAMA
Bersyukur dan bersabarlah.
Anda adalah sepasang anak manusia dan bukan sepasang malaikat.

6. SELAMA MENEMPUH HIDUP BERKELUARGA
Sedarilah bahawa jalan yang akan dilalui tidak melalui jalan bertabur bunga, tapi juga semak belukar yang penuh onak dan duri.

7. KETIKA BIDUK RUMAH TANGGA GOYANG
Jangan saling berlepas tangan, tapi sebaliknya justru semakin erat berpegang tangan

8. KETIKA BELUM MEMILIKI ANAK.
Cintailah isteri atau suami anda 100%

9. KETIKA TELAH MEMILIKI ANAK.
Jangan bagi cinta anda kepada (suami) isteri dan anak anda, tetapi cintailah isteri atau suami anda 100% dan cintai anak-anak anda masing-masing 100%.

10.KETIKA EKONOMI KELUARGA MERUDUM
Yakinlah bahawa pintu rezeki akan terbuka lebar berbanding lurus dengan tingkat ketaatan suami dan isteri.

11.KETIKA EKONOMI BERKEMBANG
Jangan lupa akan jasa pasangan hidup yang setia mendampingi kita semasa menderita.
12.KETIKA ANDA ADALAH SUAMI
Boleh bermanja-manja kepada isteri tetapi jangan lupa untuk bangkit secara bertanggung jawab apabila isteri memerlukan pertolongan Anda.

13.KETIKA ANDA ADALAH ISTERI
Tetaplah berjalan dengan gemalai dan lemah lembut, tetapi selalu berhasil menyelesaikan semua pekerjaan.

14.KETIKA MENDIDIK ANAK
Jangan pernah berpikir bahawa orang tua yang baik adalah orang tua yang tidak pernah marah kepada anak,kerana orang tua yang baik adalah orang tua yang jujur kepada anak ....

15.KETIKA ANAK BERMASALAH
Yakinilah bahawa tidak ada seorang anakpun yang tidak mahu bekerjasama dengan orang tua, yang ada adalah anak yang merasa tidak didengar oleh orang tuanya.

16.KETIKA ADA PIL.
Jangan diminum, cukuplah suami, isteri sebagai ubat.

Monday, April 19, 2010

Kembara Haramain Syarifain & Perlembahan Nil : Siri AKHIR

Ini adalah Sa'e saya yang pertama ketika berada di Masjidil Haram..Ketika ini tempat sa'e masih di dalam pembinaan dan penambahbaikkan...Dijadikan 4 tingkat hingga ke bumbung Masjidil Haram...
Kalau di Malaysia suasana ini tentulah selepas solat Jumaat.. Namun ini adalah suasana selepas solat Subuh... Bersesak-sesak untuk solat subuh....
Usai zohor...Bersama ayahanda menghadap Baitullah....
Suasana pada waktu tengah hari.. Jamaah dari Asia Tenggar sukar untuk tawaf pada ketika ini kerana suhu pada waktu ini 45 darjah celcius..Selalunya saya akan menunaikan Umrah pada waktu malam ataupun awal pagi (sekitar jam 1 pagi)
Bermiqot bersama ahli keluarga di Tan'naim...
Pintu utama Masjidil Haram...
Ziarah....
Jabal Rahmah....
Kenangan....
Bergambar kenangan dengan Akhi Ehsan Nadjafi daripada Iran.. Seorang jurutera Kimia...Persoalan yang kami bincang ialah ukhwah Islamiah, isu semasa dunia, nuklear Iran dan juga kehebatan Tuan Guru Nik Aziz di Kelantan.. Najib?? Sorry, dia tak kenal....
Berjalan-jalan di bazar....
Merpati yang jinak...
Kelas al-Quran di Masjidil Haram...
Suasana Baitullah pada waktu malam....
Sujud menyembah Allah yang esa...
Bonda bergambar kenangan....
Ketika dalam perjalanan pulang...Kenangan Masjid Terapung di Jeddah..
Berlatar belakangkan laut merah...
Bersedia untuk penerbangan pulang ke Malaysia..Akan transit di Kaherah...
Membaca....
Sampai juga di Bangkok dari Kaherah.. Meneruskan penerbangan ke Hatyai dan masuk ke Malaysia semula melalui sempadan Bukit Kayu Hitam.....
----------------------------
- Sekadar pengalaman saya, tak sempat nak taip panjang-panjang sebagaimana artikel yang lepas... sekadar gambar yang mampu menceritakan pelbagai perkara... W'Alam
:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Serian 19 April 2010

Sekadar Email Dari Sahabat

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. ..

Ya Allah..lancar jari ini menaipkan sebuah pengalaman yg amat berharga dr seorang insan yg dipilih Allah utk berjumpa Nabi Muhammad s.a.w. melalui mimpi hari Khamis, 16 Rejab 1427H bersamaan 10 0gos 2006.

Nama yg dipilih oleh ayah beliau adalah Syamimi yg bermaksud 'kesayanganku' , jua gelaran Nabi pada puteri kesayangan Baginda, Fatimah. Ketika khilaf memilih nama itu, ayah beliau mengharapkan mudah2an suatu hari nanti anaknya akan menjadi salah seorang mutiara kesayangan Rasulullah s.a.w. Alhamdulillah, doanya makbul selepas 23 tahun kelahiran anak sulungnya daripada 8 adik-beradik.

Al-Quran 30 juzuk terpelihara kemas dalam hatinya. Beliau menghabiskan masa 3 tahun utk menghafal 30 juzuk Kalamullah ketika berada di negeri kelahirannya. Beliau hafal sendiri utk memenuhi harapan ibu ayah yang mengharapkan ada dalam kalangan anak mereka menjadi seorang hafiz atau hafizah. Sebagai anak sulung, beliau mengambil tanggungjawab ini utk menjadi contoh kpd adik2 yg lain. Setiap hari beliau hafal 2 mukasurat Al-Quran dan tasmi' dgn ustaz di sebelah rumahnya. Sekarang beliau pelajar tahun 4 jurusan Undang-Undang Syariah di universiti ini.

Akak ni memang diuji dengan sakit yg tak tahu apa punca sejak lebih setahun yg lalu. Sakitnya rasa seperti ditikam-tikam dengan pisau di bahagian belakang tubuhnya, tambahan pula kaki yang sakit di bahagian lutut sejak 8 tahun lalu tidak pernah sembuh. Pernah satu ketika,selepas makan, beliau muntah bersama segumpal rambut dari kerongkongnya. Penderitaannya hanya Allah dan dia sendiri yang tahu. Sudah lama beliau tidak terdaya ke kelas kerana sakit itu membuatkan dia tidak dapat berdiri atau berjalan. Hilang selera makannya hingga badannya susut hampir 13 kg. Beliau hanya menggagahkan diri untuk pergi berwudhu' 2 hingga 3 kali sehari. Wudhu' itu dijaga sebaik mungkin untuk ibadah sepanjang hari.

Hari2 yang dilaluinya dipenuhi dgn membaca Al-Quran dan qiamullail sebagai pendinding daripada gangguan yg terus2an menyakiti diri. Diceritakan makhluk2 halus itu akan mengganggunya terutama pada waktu sebelum Subuh, Zuhur dan Maghrib. Beliau telah banyak berubat di
merata tempat, berjumpa doktor2 pakar, malah ulama' yg faqih dalam ilmu perubatan islam serta akhir sekali bertemu sorang lecturer di sini. Tapi beliau hanya mampu bertahan. Pesan ustaznya, setiap kali beliau sakit, banyakkan baca Surah Al-Baqarah.

Pagi Khamis itu, beliau berniat utk hadir kuliyah sebab sudah terlalu lama tidak mampu ke kelas. Beliau bangun kira2 jam 4.30 pagi utk solat. Berbekalkan sedikit kekuatan yg digagahkan, beliau ke bilik air
utk berwudhu' dgn memapah dinding dan segala apa yg mampu membantu beliau untuk berdiri. Habis berwudhu', beliau jatuh tersungkur, rasa seperti ada yg menolak keras dari belakang. Tika itu beliau sudah tidak mampu berdiri, justeru beliau merangkak ke bilik. Sampai saja di bilik, beliau ketuk pintu dan rebah di depan bilik tersebut. Disebabkan sakit yg mungkin dah tak tertanggung, dengan spontan beliau niatkan, "Ya Allah, kiranya mati itu baik untukku, aku redha, tapi kiranya Engkau ingin aku terus hidup, aku ingin dengar kata-kata semangat drpd Rasulullah s.a.w. sendiri.."

Kemudian beliau pengsan. Sahabat2 sebilik mengangkat beliau ke dalam biliknya dan di baringkan di sana. Waktu itu, sahabat2nya telah pun 'forward message' pd rakan2 yg lain agar dibacakan surah Yasin
kerana beliau nampak sudah nazak. Malah mereka telah sedia dgn nombor2 ahli keluarganya utk dihubungi kiranya ada apa2 berlaku dengan izin Allah. Kira2 jam 11 pagi itulah, ketika tertidur dgn tenang dalam waktu qailullah, beliau bermimpi. Beliau sedang terbaring dalam keadaan memakai telekung dgn tangannya diqiam seperti dalam solat di suatu tempat asing yang sangat cantik. Beliau terbaring di sebelah mimbar dan kelihatan banyak tiang di sekitarnya.

Tiba-tiba datang seorang Hamba Allah dgn wajah yang bercahaya dari arah depan dan berdiri hampir sekali, kira2 2 meter dari beliau. Wajahnya SubhanaLlah. ..indah sekali, tak dapat nak digambarkan. Beliau tertanya2, siapakah orang ini? cantik sekali kejadiannya dan hati beliau rasa sangat tenang dgn hanya melihat wajahnya. Dirasakan seluruh kesengsaraan yg ditanggung selama ini lenyap begitu sahaja. Kemudian, Hamba Allah itu mengatakan, "Assalamu'alaikum, ana Rasulullah.. " Subhanallah. .baginda Nabi rupanya! Nabi memakai jubah putih dan kain serban berwarna hijau di atas bahu baginda. Beliau nampak dgn jelas mata Baginda Nabi, janggut Baginda, rambut Baginda, kain serban di atas bahu Baginda dan tubuh Baginda. Kemudian Nabi katakan "Enti fil masjidi" (kamu sekarang berada di masjidku, Masjid Nabawi).. Allahuakbar!

Kemudian Baginda Nabi s.a.w. berkata: QalAllahuta' ala;
"InnaAllahama' assobirin" (sesungguhnya Allah bersama orang2 yg sabar). Ketika mendengar suara Nabi mengalunkan Kalamullah, terasa bergema suara merdu Nabi di seluruh alam. Sememangnya Baginda sebaik-baik kejadian dan diciptakan dgn penuh kesempurnaan. Nabi katakan (dalam lughahtul arab, tp diterjemahkan di sini) ; "Ya Syamimi, dengan berkat kesabaran enti, dgn sakit yg enti tanggung selama ini, dan dgn berkat Al-Quran yg enti pelihara di dlm hati, maka Allah bukakan hijab utk enti nampak ana.." Ketika Nabi menyebut Ya Syamimi, terlintas di hatinya "Ya Allah..Baginda kenal ummatnya!". Ya Rasulullah.. . Ketika itu, beliau dapat merasakan baiknya Allah, memberikan nikmat yg begitu besar buat dirinya.

Kemudian Nabi katakan lagi; "Sampaikan salamku buat sahabat2 seperjuangan Islam. InsyaAllah, kita semua akan berjumpa nanti.." Nabi s.a.w. kemudian melafazkan; "Ummati.. ummati..ummati. .." dan beliau nampak jelas Nabi menangis saat itu. Beberapa titisan airmata Baginda yg suci mengalir utk ummat Baginda! Kemudian Baginda Nabi melangkah pergi. Beliau merintih, "Jangan pergi Ya Rasulullah.. " tetapi Baginda tetap pergi. Subhanallah, walaupun kita tak pernah bersua dgn Nabi yg mulia, Baginda kenal dan sentiasa ingat akan ummatnya. Beliau sendiri tidak pasti, apakah Baginda menangis kerana rindu kepada ummatnya, atau mungkin saja baginda sedih dgn ummat akhir zaman ini? wallahua'lam. ..

Sedar daripada tidur yg amat indah pengisiannya itu, beliau masih dikelilingi oleh rakan2 yg turut terdengar rintihan beliau dalam tidurnya "Jangan pergi Ya Rasululah... " Beliau kemudian menceritakan kpd para sahabat tentang mimpinya sekaligus menyampaikan salam Rasulullah buat ummat Baginda. Semua yg mendengar menangis lantaran rindu pada Nabi. Rasa malu pada Nabi krn kita jarang2 ingat pada Baginda sedangkan kita amat terhutang budi padanya. Lebih2 lagi kita sedar bahawa hanya syafaat Bagindalah yg dikejar di akhirat kelak.

Ya Allah..ketika itu, tiada kata yg lebih tinggi drpd kalimah Alhamdulillah utk di rafa'kan pada Allah atas ni'mat yg begitu besar yg Allah berikan pada dirinya. Rasa tak layak dirinya menerima anugerah dgn ujian yg hanya sedikit berbanding insan2 yg lebih berat diuji oleh Allah. Kiranya ada kalimah pujian yg lebih tinggi dr Hamdalah, pasti akan beliau sebutkan buat Allah Yang Maha Kaya. Semuanya terangkum dalam Rahmat-Nya yg melimpah ruah. Rasa sakit masih menular di tubuhnya. Cuma kali ini dia bertekad tidak akan menangis lagi utk kesakitan ini.

Usai solat Zuhur, rasa sakit yg ditanggung makin hebat. Tak pernah beliau merasakan sakit yg sebegitu rupa. Terasa panas seluruh badan dan seluruh tubuhnya rasa ditikam pada setiap penjuru. Kalau dulu,
beliau akan menangis dalam menghadapi kesakitan, namun pada waktu itu beliau pujuk diri utk tidak menangis. "Apa sangatlah sakit yg aku tanggung ini berbanding nikmat yg Allah telah bagi utk melihat Baginda Nabi s.a.w.."

Kemudian beliau tidur. Beliau terus rasakan berada di tempat tinggi, tempat yg biasa hadir sepanjang beliau menerima gangguan. Beliau katakan "Ya Allah, apa lagi yg hendak Engkau berikan buat hambamu yg hina ni, rasa malu sangat dengan-Mu Ya Allah..." Kemudian dgn izin Allah, datang empat orang yg berpakaian serba hijau. Salah seorang daripadanya mengatakan; "Assalamu'alaikum Ya Syamimi.. Rasulullah s.a.w. sampaikan salam buatmu. Kami utusan Rasululah..Nahnu khulafa'ar-rasyidin . Ana Abu Bakr, ini Ummar Al-Khattab, Uthman bin 'affan dan Ali.." Subhanallah. Saidina Abu Bakr memperkenal dirinya dan ketiga2 sahabat yg mulia. Beliau nampak sendiri, Saidina Abu Bakr yg amat lembut perwatakannya, Saidina Umar dgn wajah tegasnya, Saidina Uthman yg cantik sekali dan Saidina 'Ali yg agak kecil orangnya.

Para Sahabat mengatakan; "Kami diutuskan oleh baginda Nabi utk membantu enti.." Kemudian keempat2 mereka membacakan ayat 102 surah Al-Baqarah yg bermaksud:

"Dan mereka mengikuti apa yg dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman. Sulaiman itu tidak kafir tetapi syaitan-syaitan itulah yg kafir, mereka mengajarkan sihir pada manusia dan apa yg diturunkan pada 2 malaikat di negeri Babylon iaitu Harut dan Marut. Padahal keduanya tidak mengajarkan sesuatu kepada seseorang sebelum mengatakan 'sesungguhnya kami hanyalah cubaan (bagimu) sebab itu janganlah kafir.' Maka mereka mempelajari dari keduanya (malaikat itu) apa yang (dapat) memisahkan antara seorang (suami) denagn isterinya. Mereka tidak akan dapat mencelakakan seseorang dgn sihirnya kecuali dengan izin Allah. Mereka mempelajari sesuatu yang mencelakakan, dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan sungguh, mereka sudah tahu, barang siapa membeli (menggunakan sihir) itu, nescaya tidak akan mendapat keuntungan di akhirat. Dan sungguh, sangatlah buruk perbuatan mereka yang menjual dirinya dgn sihir, sekiranya mereka tahu.."

Selesai membaca ayat itu, para sahabat Nabi menghembus pada makhluk2 yang sedang mengganggu beliau dan mereka semua hancur terbakar. Subhanallah. .waktu itu terus terasa seolah2 tubuhnya yg sakit dahulu ditukarkan Allah s.w.t. dgn tubuh yg baru. Hilang segala kesakitan yg setahun lebih di tanggung beliau dgn sabar. Saidina Abu Bakr mengatakan;" Inilah ganjaran besar dari Allah buat orang-orang yang sabar.." Kemudian, para sahabat Nabi yg mulia pun pergi meninggalkannya.

Selesai mimpi indah yg kedua ini, beliau bangun dr tidur dan terus duduk. Rakan2 sebilik pelik, kenapa beliau dapat bangun dan duduk dgn mudah. Kemudian sahabat2nya itu menyuruh beliau bangun berdiri dan alhamduliLlah. .dgn mudah beliau bangun berdiri dan berjalan d sekitar bilik. "Ya Allah, penyakit ana dah sembuh.." Semua sahabat yang ada di situ bergembira dan menangis. Kemudian beliau segera ke bilik air untuk berwudhu'. Dengan tubuh yang 'baru', beliau sujud syukur pada Allah s.w.t. "Ya Allah, kiranya di beri tempoh sujud 100 tahun pun belum dapat diriku menjadi hamba-Mu yg bersyukur atas nikmat yg telah Engkau berikan.."

Beliau berpesan pada kami; "Adik-adik, wajarlah para sahabat Nabi yang mulia sanggup mati demi mempertahankan Baginda. Akak yang diberi rezeki melihat Nabi tak sampai pun 5 minit dah rasa tak sanggup berpisah dengannya. Kalau boleh, nak duduk je di bilik untuk beribadah pada Allah dan mengenang wajah Nabi yg mulia. Tapi menyedari banyak lagi taklifan dan tanggungjawab kita atas muka bumi Allah ini, maka hidup mesti diteruskan. Sekarang ini hati akak tenang sangat..kalau boleh, nak je akak pinjamkan hati ni walau hanya sesaat agar adik2 dapat merasakan betapa beningnya hati ini. Tapi itu tak mungkin kan , mungkin ini bahagian akak, bahagian kalian? Hanya Pemiliknya Yang Maha Tahu. Akhir sekali akak ingin katakan, tak rugi kita bersabar..."

Keperibadiannya indah. Cerminan al-Quran katanya 'Aisyah ra. Dari semua aspek kehidupan, diperagakannya hanyalah kesyumulan. Allah mengajar manusia berkehidupan di muka bumi ini melalui baginda. Menuruti sunnahnya adalah pahala. Kasih sayangnya tiada bertepi, dari yang kecil hingga yang tua, dari hamba hingga ke bangsawan, dari dulu sampai sekarang, hingga ke akhirnya.. Dialah peribadi unggul sepanjang zaman. Mencintainya suatu kemuliaan...

Pernah suatu ketika Rasulullah berkumpul didalam satu majlis bersama para sahabat. Tiba-tiba bergenang air mata baginda s.a.w. Para sahabat gelisah melihat sesuatu yang tidak mereka senangi di wajah Rasulullah saw. Bila ditanya oleh Saidina Abu Bakar ra, baginda mengatakan bahawa terlalu merindui ikhwannya.. Saidina Abu Bakar sekali lagi bertanya Rasulullah saw, "bukankah kami ini ikhwanmu?" Rasulullah menjawab, "Tidak, kamu semua adalah sahabatku.. ikhwanku adalah umatku yang belum pernah melihat aku tetapi mereka beriman dan sangat mencintaiku. .. Aku sangat rindu bertemu dengan mereka.."

Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat- Nya bershalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, bershalawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya (al-Ahzab:56)

------------------
- Sekadar berdasarkan email yang diterima...W’alam akan kebenarannya..sekadar iktibar bersama...

Saturday, April 17, 2010

Jelajah 2010 : Kem Pintar Soleh

Antara peserta yang hadir...
Walaupun ceramah dijalankan hanya di rumah kedai yang sempit...namun semangat mereka yang penting....
Bergambar kenangan...
Kamu Mahu Berjaya !!!

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin