Hidup kita,
semuanya adalah perjuangan. Politik adalah perjuangan, tugas sebagai pendidik
juga adalah perjuangan, berkerja juga adalah perjuangan, bahkan, ketika kita
dalam bentuk sperma untuk bercantum dengan ovum si ibu juga perjuangan. Kita
berjuang dengan yang lain hinggalah Allah memilih kita sebagai si pemenang
untuk disenyawakan lalu di angkat Allah dengan piala yang tergenggam kemas di
tangan sebagai Khalifah Allah swt di muka bumi ini.
Mengisi
Kemenangan
Menjadi cabaran
kepada si pemenang untuk mengisi kemenangannya. Sebagai guru, saya berjaya
mengajar anak murid membaca surah al-Kautsar dengan betul. Menjadi cabaran
untuk saya mengisi kemenangan tersebut dalam memastikan pelajar dapat faham
maknanya, kuat ingatannya dan hafazannya serta menghayati maksudnya.
Parti yang
menang dalam pilihanraya juga bertanggungjawab untuk mengisi kemenangannya.
Manifesto yang berjela dan sudah tentunya manis untuk di baca itu perlu
dilaksanakan dengan seratus peratus. Satu peringkat, gerak kerja politik perlu
di jalankan, perang saraf perlu dimainkan, kemenangan yang terisi perlu
dipertahankan pula.
Bagi yang ingin
berumahtangga, itu pun adalah satu perjuangan yang ada menang dan kalahnya, ada
tiga cara, dan semuanya akan di capai jika menang. Pertama, cara tradisional.
Minta orang tua kita hadir untuk meminang, bertunang dan tunggulah sehingga ke
majlis nikah.
Kedua, cara
moden. Dengan cara usik-usik dulu, tabur harapan yang tinggi menggunung, kenal
hati budi dengan dating-dating dulu. Kemudian meminang dan berkahwin. Kena
gaya, bahagia. Namun janji Allah pasti. Bilamana hubungan itu di bina tanpa di
jaga hak Allah. Ombak dan gelombangnya lebih tinggi.
Ketiga,
gabungan tradisional dan Islam. Sebagaimana Khadijah meminang Rasulullah saw,
dengan menggunakan orang tengah, bertaaruf dan akhirnya berkahwin. Indah
sekali.
Bagi yang
mengikut Harakah Islam, mahupun gerakan Islam. Kaedah ketiga dalam membina
perkahwinan ini di panggil sebagai membina Baitul Muslim (Rumahtangga Islam).
Tidak kiralah, samada dalam PAS, ISMA, IKRAM, Haluan, JIM dan bahkan Tabligh
sekalipun, Unit Baitul Muslim (UBM) pasti ada cuma cara yang menggerakkanya
berbeza mengikut jamaah masing-masing. Ini sebagai komitmen jamaah untuk
ahli-ahlinya membina baitul muslim dengan cara yang Islam kehendaki. Ada orang
tengahnya, ada disiplinnya, ada budayanya, ada akhlaknya dan semua itu demi menjaga
hati dan perasaan serta fitrah si pencari jodoh.
Inilah kehendak
Islam. Di satukan jodoh dengan UBM ini adalah untuk saling mengenali dan
kemudiannya bertunang secara terhormat yang semuanya dilakukan dengan sir
(diam/sembunyi) hanya yang dekat-dekat sahaja mengetahui. Islam mendidik kita
supaya mendiamkan soal pertunangan, namun menghebahkan soal walimah. Syariat di
utamakan. Ibu bapa tidak di buang, maka cara hidup Islam pasti akan terjulang.
Sudah tentu
jika berjaya. Cabarannya besar. Akhlak dalam pertunangan perlu dijaga. Tidak
boleh sewenang-wenangnya berjumpa dan berbicara jika tanpa tujuan.Itulah yang
di sebut. Mengisi kemenangan. Dan kemenangan yang besar ialah apabila bernikah.
Di situ, perjuangannya lebih besar. Mengisi dan mempertahankan kemenangan
tersebut.
Mengisi
Kekosongan.
Adakala hajat
kita untuk merisik mana-mana muslimin atau muslimat tidak akan tercapai.
Mungkin separuh jalan. Di situ kita dah kalah satu perlawanan. Bukanlah kalah
selama-lamanya. Namun untuk perlawanan
itu kita sudah kalah. Kekalahan akan mewujudkan kelompongan. Lompong itu
dinamakan kekosongan jiwa. Sebab apa di katakan kosong?
Bagi muslimin
yang berhajatkan mana-mana muslimat. Pastinya bukan sekejap ia perlu
“berdialog” dengan Allah. Dengan cara berdoa. Doa siang dan malam. Barangkali
berbulan-bulan. Mungkin 6 bulan, mungkin setahun dia berdoa. Fokus yang tidak
terkira. Pastinya doa untuk hal lain pun di baca juga. Namun tidak setanding
dengan fokus yang satu itu.
Apabila
hajatnya di tolak. Doanya yang berbulan-bulan itu terhenti. Tentu menjadi
janggal bilamana doanya setiap hari terisi dengan hajat yang besar akan menjadi
kosong untuk doa pada hari yang seterusnya. Setiap pagi bangun doa untuk jodoh.
Namun hari berikutnya, pasti ia bangun pagi dan terpinga-pinga. Apa fokus doa
hari ini? Akhirnya dia akan membaca doa yang biasa-biasa sahaja, yang tidak
punya roh di dalamnya.
Hidup juga
pasti akan menjadi kosong. Hati yang mengharap namun kecewa di tengah jalan. Ubatnya bukan sehari atau dua hari.
Namun mungkin makan masa berbulan-bulan ataupun bertahun-tahun. Itulah penangan
Cinta, fitrah yang Allah jadikan dalam diri manusia.
Bagi muslimin
atau muslimat yang mengalami masalah ini. Adalah penting buat kita mengisi
kekosongan jiwa tersebut. Jika tidak di atasi dengan cara yang betul. Pasti
akan menjejaskan diri. Mungkin beberapa perkara berikut boleh diambil perhatian
sebagai salah satu cara untuk mengisi kekosongan jiwa.
1.
Teruskan
berdoa. Jangan putus untuk berdoa. Doa itulah senjata mukmin yang paling ampuh.
Jika hati masih yakin dengan dia. Teruskan berdoa. Kita tidak tahu perancangan
Allah, mungkin hari ini tidak terbuka jiwanya. Doa juga boleh digunakan sebagai
salah satu cara memohon Allah permudahkan jodoh yang baik pula dari insan yang
lain pula.
2.
Isi masa
terluang dengan gerak kerja dakwah. Sibukkan diri dengan kuliah, tazkirah,
usrah dan lain-lain. Memang tidak dapat lupa. Namun itulah salah satu cara yang
ada untuk memastikan masa terus berlalu dan berlalu.
3.
al-Quran jangan
di lupa. Itulah pengubat jiwa yang kosong. Moga-moga apabila terisi dengan
kalam Allah.. Tenang akan tiba juga di hati, tempat jatuhnya rasa cinta pada
Allah, tempat jatuhnya hidayah Allah.
4.
Nilai semula
hubungan dengan Allah. Barangkali ada hak Allah yang belum tertunai. Mungkin
ada juga yang ditunaikan. Namun tak bersungguh.
5.
Belajarlah
untuk bersangka baik dengan Allah. Sesungguhnya Allah lebih tahu apa yang
terbaik untuk diri kita.
Hafidun Amin
16 Syaaban
1433H
2.30 am