Sunday, October 31, 2010

Kenapa Takut Kahwin Awal : Satu Persepsi


Nota : Bagaimana seorang pelajar tahun akhir Universiti yang hampir bunuh diri kerana depresi setelah ditinggalkan kekasih mengubah kehidupannya 180 darjah menjadikannya insan yang paling bahagia di muka bumi ini dengan perkahwinan di usia awal. Berikut adalah coretan terus dari hati dan mata pena beliau tanpa sebarang editing…

Saya berusia 21 tahun, dan sudah berkahwin. Masih muda bukan? Suami saya berusia 23 tahun. Juga masih muda. Kami berdua masih belajar. Jadi, Mengapa berkahwin? Kalau ikut kata mak ayah, “Nak bagi bini makan apa? Pasir?”

Perjalanan cinta saya tidak mudah. Sebelum berkahwin, saya pernah teruk dikecewakan bekas kekasih. Dia minta masa 3 tahun dari tarikh kami “declare”, untuk bersedia untuk berkahwin. Hampir 3 tahun, saya ditinggalkan untuk perempuan lain. Kecewa? Sudah tentu. Jujur, saya hampir bunuh diri. Saya mengalami depression di mana saya disconnect dengan dunia luar.

Tapi selepas itu baru saya sedar kehadiran suami saya yang sudah 4 tahun menunggu peluang. Pada mulanya, saya ingat sekadar “cinta rebound”, tapi selepas 2 bulan berkenalan dan bercintan, suami saya melamar untuk berkahwin. Pada mulanya, saya ingat satu gurauan. Akhirnya si dia berani call ayah saya, dan minta izin untuk berkahwin, kerana takut kehilangan saya lagi.

Ayah saya pun dahulu berkahwin ketika belajar, tahun 1 peringkat ijazah. Suami saya pelajar perubatan tahun 3, dan saya cuma tinggal 2 bulan untuk mengakhiri pengajian. Ayah saya bersetuju, dan memandangkan saya sudah kecewa, takut juga pisang berbuah dua kali. Akhirnya, kami berkahwin. Dengan mahar RM200, sebentuk cincin emas, tiada hantaran, tiada majlis, kami bernikah.

Simple bukan? Kenapa perlu pening??? Kalau anda lelaki, anda mesti ingin berikan segala yang terbaik untuk bakal isteri anda. Dan, kalau anda perempuan seperti saya, semestinya inginkan hantaran yang tinggi (lulusan ijazah sekarang, rate hantaran RM10K ke atas). Perlu tidak?

Maaf perempuan, kalau terasa. Saya bukan jual diri, saya tidak perlukan hantaran RM10-20K. Saya tidak letak harga untuk nilai diri sendiri dan harga cinta saya. Ini masalah kalau kita kahwin cara Melayu, dan bukan cara Islam. Saya perempuan lulusan ijazah, saya ada tulang 4 kerat, dan saya boleh berusaha, kenapa perlu mengharap dengan lelaki? Suami bukan untuk dibebani, tapi untuk Disenangi. Isteri bukan untuk dibeli, tapi untuk dikasihi.

Kos kahwin sekarang paling rendah pun RM20K serba satu. Hantaran, majlis, belum baju, pelamin. Tapi cuba fikir, perlu tidak? Baju raya kan masih ada, cantik lagi. Kasut raya pun masih baru. Kenapa perlu buat majlis di hotel, dewan orang ramai kan ada? Kalau rasa sangat mahal untuk katering, boleh upah orang masak, tinggal sediakan bahan dan peralatan. Bersanding tak perlu, buat penat badan duduk macam tunggul depan orang.

“Seganlah. Nanti orang kata apa.” .. “Isk, buat malu belajar tinggi-tinggi, tak dapat hantaran”. Hai, ni mentaliti Barat. Bagi yang beragama Islam, ingat rukun nikah. Tanggungjawab selepas kahwin yang penting. Lebih baik duit sewa pelamin jadi duit persiapan untuk anak pertama. Prioritikan penggunaan duit anda. Kos bersalin bukan murah. Kalau di hospital kerajaan, paling kurang perlu ada RM400-500. Tapi di hospital swasta, minimum RM2000. Kos ada anak sangat tinggi sekarang.

Pernah cuba lihat harga setin susu bayi di pasar? Harga lampin pakai buang? Dan sekarang, anda masih terfikir pelamin itu penting? Ini tak kira duit nak beli kenderaan, beli rumah. Pening!! Jadi jangan bebankan diri anda dengan majlis perkahwinan yang membazir dan tidak perlu.

Saya bahagia sekarang. Boleh keluar dengan suami tanpa rasa takut dan malu, disentuh lelaki bukan mahram. Dan suami saya tidak perlu takut saya diambil lelaki lain seperti dulu. Apa semua yang pasangan bercinta lakukan, kini kami lakukan dengan halal. Dan kami boleh lakukan lebih dari itu, dengan halal. Tidak perlu risau. Kami aman dan bahagia. Saya dan suami masih bercinta. Masih belajar mengenal sesama sendiri. Dan percayalah, tak guna bercinta lama-lama.

Seganlah keluar dengan pasangan yang tidak halal untuk anda. Saya dan suami, masih seperti pasangan yang baru bercinta. Saya mampu tanggung hidup sendiri, kerja dan cari duit sendiri. Buat apa menyusahkan suami? Dan suami berusaha belajar bersungguh-sungguh (bagi pelajar perubatan, anda faham maksud saya),untuk mendapat keputusan yang cemerlang. Saya tahu ego lelaki tercabar, tetapi saya jujur cintakan suami saya. Saya tak ingin jadi beban, cukup asal dia berasa senang dengan saya.

Tidak perlu nafkah yang besar, semampu yang ada saya terima. Bakal-bakal isteri sekalian, bersyukurlah dengan suami anda. Dan bakal-bakal suami sekalian, hargai isteri kamu. Terima kekurangan dan kelemahan pasangan anda. Persamaan membina keserasian, perbezaan itu melengkapkan.

Rezeki Tuhan ada di mana-mana. Jangan putus asa. Berkahwinlah! Semoga anda semua merasa tenang dan bahagia.

Rujukan di sini

Monday, October 25, 2010

Jelajah 2010 : Motivasi Pelajar @ SK Serian

Pelajar yang ceria...Program ini dilaksanakan di bilik komputer sekolah...
Mulakan dengan permainan kuiz dengan pelajar-pelajar untuk mengambil perhatian mereka...
Cabaran besar ketika berceramah di kalangan pelajar sekolah rendah...
Moga adan manfaat pada pelajar-pelajar...
Sebahagian besar guru-guru yang turut berada di bahagian belakang kelas...Terima kasih atas sokongan kalian dan jazakallah juga atas jemputan dan peluang ini...

Sunday, October 24, 2010

Jaafar Abu Talib diberi sayap syurga

JAAFAR bin Abi Talib atau dikenali dengan gelaran Jaafar at- Taiyar merupakan sepupu kepada Rasulullah SAW. Beliau bukan sahaja mempunyai bentuk badan dan raut wajah yang menyerupai Rasulullah, malah perangainya juga seakan-akan sama dengan baginda.

Beliau adalah seorang pemuda yang jujur, amanah, bijak, dan termasuk salah seorang pelopor ternama Islam.

Jaafar memeluk Islam bersama-sama dengan isterinya Amma binti Umais pada hari yang sama. Mereka berdua bersama-sama menanggung segala pahit perit dengan ketabahan tanpa memikirkan bilakah penderitaan itu akan berakhir.

Mereka juga telah menyertai rombongan awal kaum Muslimin untuk berhijrah ke Habsyah (Ethiopia) dan tinggal di sana selama beberapa tahun. Pasangan itu dikurniakan tiga orang anak iaitu Muhammad, Abdullah dan Auf.

Selama berada di Habsyah, Jaafar menjadi jurubicara yang lancar dan sopan sesuai dengan panji Islam yang dipegangnya. Itulah nikmat Allah yang tidak ternilai dikurniakan kepadanya. Ini berlaku semasa penghijrahan kaum Muslimin ke Habsyah.

Penghijrahan itu membuatkan puak Quraisy berasa tidak senang hati. Maka mereka pun menghantar utusan untuk mempengaruhi dan memperdayakan pemerintah Ethiopia. Pemerintah Habsyah ketika itu bernama Najashi (Negus) yang menganut agama Nasrani.

Utusan puak Quraisy telah membawa banyak hadiah untuk memujuk pemerintah Habsyah agar tidak membenarkan kaum Muslimin tinggal di sana.

Najashi sebagai pemerintah telah mengadakan satu pertemuan. Pertemuan itu dihadiri oleh kaum Muslimin, puak Quraisy dan pemimpin-pemimpin agama Najashi.

Pada kesempatan itulah, puak Quraisy telah berkata: "Wahai Raja yang mulia, telah menyusur ke negeri paduka orang yang bodoh dan tolol. Mereka tinggalkan agama nenek moyang dan tidak pula menganut agama paduka, tetapi mereka membawa agama baru yang tidak pernah kami kenali."

Najashi pun bertanya kepada kaum Muslimin: "Agama apakah yang kamu bawa yang bukan agama kami?"

Jaafar pun bangkit berdiri dan menjawab dengan sopan serta lancar sekali.

Katanya: "Wahai paduka yang mulia. Dahulu kami memang orang-orang bodoh dan jahil, kami menyembah berhala dan melakukan bermacam-macam perkara lagi.

"Tetapi kini Allah SWT mengirimkan seorang rasul untuk membimbing kami ke jalan yang benar. Kami menerimanya dan oleh sebab itulah kaum kami memusuhi kami. Lantaran itulah kami berpindah ke negeri paduka."

Najashi pun bertanya lagi: "Apa pandangan kalian tentang Isa?"

Jaafar pun bangkit lagi: "Baginda ialah seorang hamba Allah dan Rasul-Nya serta kalimah-Nya yang ditiupkan kepada Maryam dan roh daripada-Nya."

Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW, Najashi berpuas hati dan membenarkan mereka terus tinggal di Habsyah.

Jaafar telah syahid ketika menyertai peperangan Muktah. Beliau berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir. Walaupun beliau cedera, namun panji Islam masih tetap dipeluk kukuh di celah-celah pangkal dada dan lengannya. Pada waktu itu, kedua-dua belah tangannya telah pun putus dipotong oleh pihak musuh.

Ketika beliau syahid, terdapat lebih 90 kesan tikaman pada seluruh badannya.

Rasulullah menyifatkan kedudukan Jaafar sebagai burung bersayap dua di syurga.

Nabi diiktiraf pemimpin Madinah


Madinah menyaksikan perlembagaan pertama Islam diiktiraf oleh penduduknya yang pelbagai suku kaum. - gambar hiasan

TAHUKAH anda, apakah perlembagaan (negara) yang terawal ditulis di muka bumi ini? Jangan sekali-kali jawapan anda itu dikaitkan dengan kehebatan empayar atau kerajaan, baik Rom mahupun Parsi yang terlebih dahulu wujud sebelum terbentuknya kerajaan Islam di Madinah.

Ini kerana yang tepatnya sebagaimana yang dipersetujui oleh banyak pihak, adalah Piagam Madinah untuk sebuah negara bernama Madinah Al Munawarrah (Bandar Bercahaya).

Ia adalah perlembagaan bertulis pertama atau undang-undang negara yang disifatkan paling lengkap di dunia. Meliputi pelbagai aspek dan dimeterai sebaik sahaja negara Islam Madinah dibentuk.

Piagam yang juga dikenali sebagai Perjanjian Madinah, Dustar Madinah dan Sahifah Al Madinah itu mempunyai banyak sebab lain apabila disifatkan sebagai yang pertama di dunia.

Perjanjian itui tidak lahir daripada satu pihak sahaja, iaitu Rasulullah SAW selaku pemimpin negara tetapi membabitkan semua pihak sama ada dari puak Ansar, Muhajirin dan Yahudi.

Lazimnya sukar bagi sesebuah perlembagaan itu ditulis dan dipinda, tanpa mendapat tentangan mana-mana pihak. Namun, berbeza dengan Piagam Madinah yang sangat bersejarah itu.

Ia dapat diterima oleh semua pihak setelah Rasulullah berjaya menyatukan puak-puak di Madinah kerana selain mempunyai hubungan baik dengan kaum Yahudi, baginda kemudiannya berjaya menyatukan pada kedua-dua bangsa Arab, Ansar dan Muhajirin.

Ini memudahkan piagam itu dibentuk selain sifatnya yang memberikan kemenangan kepada semua pihak.

Ditulis pada tahun pertama Hijrah iaitu bersamaan 622 Masihi, piagam itu mengandungi 47 fasal, iaitu:

* 23 fasal piagam tersebut membicarakan tentang hubungan antara umat Islam sesama umat Islam iaitu antara Ansar dan Muhajirin.

* 24 fasal yang berbaki membicarakan tentang hubungan umat Islam dengan umat bukan Islam iaitu Yahudi.

Ia mengandungi peraturan-peraturan berasaskan syariat Islam untuk dilaksanakan dalam sebuah negara yang mempunyai penduduk berbilang bangsa atau kaum.

Apabila kita sorot akan segala isi kandungan piagam tersebut, maka kita dapati perkara utama yang terkandung dalam Piagam Madinah adalah:

* Nabi Muhammad SAW adalah ketua negara untuk semua penduduk Madinah dan segala pertelingkahan hendaklah merujuk kepada baginda.

* Semua penduduk Madinah ditegah bermusuhan atau menanam hasad dengki sesama sendiri. Sebaliknya hendaklah bersatu dalam satu bangsa iaitu bangsa Madinah.

* Semua penduduk Madinah bebas mengamal adat istiadat upacara keagamaan masing-masing.

* Semua penduduk Madinah hendaklah bekerjasama dalam masalah ekonomi dan mempertahankan Kota Madinah daripada serangan musuh dari luar Madinah.

* Keselamatan orang Yahudi adalah terjamin selagi mereka taat kepada perjanjian yang tercatat dalam piagam tersebut,

Justeru Piagam Madinah bertujuan;

* Menghadapi masyarakat majmuk Madinah

* Membentuk peraturan yang dipatuhi bersama semua penduduk.

* Ingin menyatukan masyarakat pelbagai kaum

* Mewujudkan perdamaian dan melenyapkan permusuhan

* Mewujudkan keamanan di Madinah

* Menentukan hak-hak dan kewajipan Nabi Muhammad dan penduduk setempat.

* Memberikan garis panduan pemulihan kehidupan kaum Muhajirin

* Membentuk kesatuan politik dalam mempertahankan Madinah

* Merangka persefahaman dengan penduduk bukan Islam, terutama Yahudi.

* Memberi peruntukan pampasan kepada kaum Muhajirin yang kehilangan harta benda dan keluarga di Mekah

Friday, October 22, 2010

Jelajah 2010 : Ceramah Perdana @ Masjid Matang Jaya

Dimulakan dengan persembahan Tarannum al-quran daripada AJK Masjid Matang Jaya...Persembahan secara berantai membabitkan lagu Bayati, Rast, Hijjaz dan juga Nahwan...
Membicarakan peranan al-Quran dalam kehidupan....
Antara hadirin Muslimin
Antara Hadirat Muslimat...
Jazakallah atas jemputan serta peluang yang diberikan...

Jelajah 2010 : Motivasi @ SK Buntal, Santubong

Majlis di jalankan melibatkan ibu bapa dan pelajar...dimulakan selepas solat Maghrib secara berjamaah...Alhamdulillah..mendapat sokongan padu daripada ibu bapa, guru-guru dan juga pelajar-pelajar sekolah..
Kenapa dik?
Menggunakan segala peluang yang ada...Insya Allah...
Antara pelajar lelaki yang hadir....
Terima kasih atas jemputan dan peluang yang diberikan..Saya kagum dengan kesungguhan dan kerjasama yang ditunjukkan oleh warga SK Buntal..Moga kita dapat berjumpa lagi....

Tuesday, October 19, 2010

Wanita Meminang, Berkapel Dan Pertunangan Menurut Islam

Soalan

Saya telah berkenalan dengan seorang pemuda yang alim dan warak orangnya. Dia banyak memberi nasihat dan panduan agama kepada saya. Sejak berkenalan dengannya, saya telah banyak berubah. Saya mengikuti nasihatnya agar menutup aurat dengan sempurna dan tidak meninggalkan solat lima waktu. Saya dapat rasakan ada perasaan indah yang timbul dalam hati sanubari saya terhadapnya. Saya selalu berangan-angan agar dapat bersamanya sebagai suami isteri suatu hari nanti. Ustaz, apakah yang saya lakukan ini dalam keredaan Allah? Tidakkah saya berubah kerana pemuda tersebut, bukan sepenuhnya kerana Allah SWT? Bagaimana untuk memastikan agar saya sentiasa berada di landasan yang betul?

Terima kasih atas kesudian ustaz menjawab persoalan ini

Jawapan

Tahniah, kerana bertemu dengan pemuda yang alim dan warak. Dalam hal yang melibatkan hubungan lelaki dan wanita, Islam cukup teliti dan sering dituduh sebagai ‘konservatif' dari kacamata barat. Hakikatnya, Allah maha bijaksana dan amat mengetahui baik dan buruk untuk manusia di dunia dan akhirat.

Justeru, jika dilihat dari apa yang telah meresapi hati saudari, bolehlah di katakan saudari sudah ‘jatuh hati' kepada si pemuda tadi serta memasang niat baik untuk mempersuamikannya. Sebagai manusia biasa, ia sememangnya satu niat dan perasan yang sukar di tolak. Bagaimanapun, saudari perlulah mengawal semua batasan perhubungan dengan pemuda tadi bagi mendapat keredhaan Allah. Tindakan berikut perlulah saudari lakukan :-


1) Meluahkan hasrat secara berselindung tetapi boleh di fahami kepada pemuda tadi untuk membina "rumahtangga" bersama. Ia berdasarkan tindakan Khadijah yang menggunakan orang tengah, dan juga seorang wanita lain yang tanpa segan silu menyatakan hasratnya kepada baginda SAW. Imam Al-Bukhari di dalam sohihnya meletakkan satu bab bertajuk " Wanita mendedahkan / menawarkan dirinya kepada lelaki Soleh" (Rujuk Kitab Nikah); juga terdapat satu riwayat bahawa Anas r.a berkata di sisi anak perempuannya :

Ertinya : "telah datang seorang wanita kepada Rasulullah SAW lalu menawarkan dirinya (untuk menjadi isteri baginda) ; berkatalah wanita itu : " Adakah dikau punyai hajat kepadaku? " ; maka anak perempuan Anas menyampuk : " Alangkah kurangnya malu si wanita itu dan amat malunya perbuatannya " ; maka Anas menjawab : " Dia lebih baik darimu, ia berkehendakkan Nabi SAW lalu menawarkan dirinya kepada baginda SAW" ( Sohih Al-Bukhari, 7/17 ).

Imam Ibn Hajar menegaskan tiada catatnya wanita menawarkan dirinya untuk menjadi isteri kepada seorang lelaki ( Fath al-Bari, 9/175 ).

Justeru, jangan terlalu terpengaruh kononnya orang wanita tidak boleh melamar si pemuda yang baik lagi warak. Teruskan hasrat dan jangan bertangguh dalam melakukan hal yang baik. Malah Khawlah bt Hakim adalah dari kalangan wanita yang menawarkan dirinya kepada Nabi SAW ( Sohih al-Bukhari, 7/15)

2) Saudari diizinkan untuk menjemput pemuda itu ke rumah saudari bagi memperkenalkannya kepada kedua Ibu bapa saudari. Syaratnya, mestilah dengan kewujudan ibu bapa atau ‘wali' lain di dalam majlis itu. Saudari dibenarkan untuk berada bersama di ruang tamu (dengan menutup aurat lengkap) dan tidak perlulah bersembunyi di dalam bilik. Ia berdasarkan hadith-hadith yang mengizinkan lelaki dan wanita yang berniat untuk kahwin, bagi mengenali dengan lebih dekat bakal pasangan masing-masing.

Antaranya dalilnya : "telah datang kepada Nabi SAW seorang lelaki lalu menceritakan bahawa ia ingin memperisterikan seorang wanita Ansar, maka Nabi bersabda : "Adakah kamu telah melihatnya? : "Belum jawabnya" ; Nabi menjawab :

Ertinya : "Pergilah kamu melihatnya kerana di mata wanita Ansar ada sesuatu (tanda)" ( Riwayat Muslim).

Juga pesan Nabi kepada Mughirah bin Syu'bah selepas mengetahui ia ingin meminang seorang wanita : " Pergilah melihatnya, sesungguhnya ia lebih menjamin berkekalannya - bagi menilai kesesuaian- (perkahwinan) kamu berdua" ( Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi, Ibn Hibban ; Hasan menurut At-Tirmidzi no 1087, cet Maktabah al-Ma'arif ; Sohih menurut Albani ).

Perlu diingat bahawa melihat bukan hanya dengan mata, tetapi ia juga membawa maksud suatu meninjau sikap, budi bahasa, cara hidup dan apa-apa info yang dapat menambahkan ketepatan pemilihan pasangan (kecuali yang HARAM dibuat dan dilihat). (Fiqh as-sunnah, Sayyid Sabiq, 2/23 dengan tambahan, Nizom al-Usrah, Dr Muhd ‘Uqlah, 1/206)

3) Jangan bertangguh atau berhubung tanpa ikatan sah terlampau lama, ( Nizom al-Usrah, 1/216) kerana ia amat mudah membawa keapda yang haram. Perihal berangan-angan saudari tadi juga bukanlah sesuatu yang baik untuk diteruskan. Nabi SAW menyatakan :

Ertinya : " Tidak dilihat (penyelesaian) bagi dua orang yang cinta-mencintai kecuali NIKAH " ( Riwayat Ibn Majah, al-Hakim, sohih menurut al-Hakim, As-Suyuti , Al-Jami' As-Soghir, no 7361, 4/397 cet Jahabersa).

Syeikh Al-Munawi menegaskan ubat yang terbaik bagi pasangan yang sedang asyik bercinta dan kasih adalah Nikah ( Faidhul Qadir, 5/294)

4) Jangan menghebahkan kepada awam sekali mana belum di ijab kabulkan, kerana ikatan ‘janji untuk berkahwin' boleh membawa fitnah dengan mudah. Ia juga boleh terungkai dengan beberapa cabaran semasa pertunangan. ( Nizom al-Usrah Fil Islam, 1/214)

5) Jangan bertemu berdua-duaan di luar, sama ada di tempat terbuka atau tertutup, kecuali diiringi mahram lelaki yang telah dewasa dan mampu menilai baik buruk menurut Islam. Saya nyatakan begini kerana ramai juga mahram lelaki yang ‘merapu' dan tidak langsung punyai ilmu tentang batas hubungan lelaki wanita menurut Islam. Kehadiran orang seperti ini, akan membiarkan maksiat berlaku di antara dua insan tadi, oleh itu individu sepertinya tidak mencukupi syarat yang ditetapkan Islam.

6) Mengurangkan komunikasi yang tidak berkenaan, serta mengawal isi kandungan perbincangan dari yang membawa syahwat. Mengetahui hati budi bakal pasangan menggunakan alatan media elektronik seperti email, surat dan sms lebih baik dari bercakap dalam banyak keadaan (kerana mendengar suara mudah menaikkan syahwat). Bagaimanapun, saya tidak menafikan email, surat dan sms juga boleh menaikkan syahwat, tetapi saya kira secara ‘verbal' lebih mudah.

7) Kerana perbicaraan adalah panjang dan dalil amat banyak, ringkasan perkara perlu ( semuanya menurut dalil al-Quran & Al-hadith) dijaga seperti berikut :-

  1. Haram bersentuh, menyentuh satu sama lain.
  2. Haram ber"dating" dan berkapel tanpa disertai mahram yang thiqah.
  3. Haram berbicara dan bersembang dengan syahwat sama ada sms, phone, chat, mesengger.
  4. Awas fitnah masyarakat sekeliling.
  5. Awas fitnah dalam diri anda dan pasangan.
  6. Haram melihat kepada aurat masing-masing.
  7. Awas daripada bertukar gambar.
  8. Awas daripada hebahan umum sebelum di ijab kabul.

Ingatlah wahai anak-anak muda sekalian, sebarang perilaku 'ringan-ringan' dan dosa yag dikerjakan dalam hubungan sewaktu pertunangan boleh memberikan serba ringkas gambaran bagaimana tingkah laku pasangan selepas berkahwin. Jika semasa berpacaran dia suka meraba-raba, demikian jugalah dia apabila sudah berkahwin kelak (kecuali sesudah dia bertaubat sebenar-benar taubat). Malangnya bukan dengan isteri atau suaminya selaku pasangannya yang halal, tetapi dengan individu lain sebagaimana tergamak dia melakukannya dengan isteri dan suaminya sebelum mereka kahwin. Baca lanjut di sini.

Sekian, Wallahu'alam.

Ust Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

15 Disember 2006

http://www.zaharuddin.net/lelaki-&-wanita/212-antara-displin-islam-dalam-pertunangan.html

Thursday, October 14, 2010

Jelajah 2010 : Motivasi @ SK Jaie, Sadong Jaya

Saya pernah berpraktikum di sekolah ini selama 2 bulan pada Pertengahan Jun hingga pertengahan Julai 2009...Bersama saya Ustaz Fauzan(Kiri) dan staff sekolah, En Mogan...
Bilik guru yang menjadi nostalgia buat saya bersama teman-teman guru yang lain..Guru-guru yang banyak memberi tunjuk ajar buat saya sepanjang bergelar guru pelatih.
Sekolah ini pelajarnya sedikit...Jadi kem motivasi ini menggabungkan semua pelajar tahun 4 dan tahun 5 di sekolah tersebut...
Ketika sesi Ice Breaking dijalankan....
Lagu tema...
Aktiviti berkumpulan dijalankan...
Tranfomers Melayu !!
Sesi Motivasi bersama Ibu Bapa..
Terima kasih atas jemputan dan peluang yang diberikan....

Saturday, October 9, 2010

Jelajah 2010 : Motivasi @ SK Sungai Kenyah, Serian

Bersama Guru Besar SK. Sungai Kenyah serta ahli Jawatankuasa PERKIM Serian (Berbaju kurung hijau di belakang)
Mulakan dengan interaksi bersama pelajar lelaki...nak dapatkan tumpuan dan kepercayaan mereka terlebih dahulu....
Jom berkenalan....
Senaman penguat ingatan...
Turut disertai oleh para guru....

Jelajah 2010 : Motivasi @ SK Iboi Pelanduk

Agak letih pada awalnya, kerana perjalanan yang agak mengambil masa dari Samarahan ke Sekolah ini yang terletak di kawasan Sadong Jaya...
Tahniah diucapkan kepada pihak sekolah..Selalunya hari Sabtu yang diadakan kelas sebagai kelas ganti akan menjadikan pelajar berasa bosan dan boring, kerana dalam minda mereka..hari tersebut adalah cuti..Pihak sekolah ini hanya menjalankan P&P separuh waktu sahaja pada sebelum rehat dan di sambung dengan motivasi selepas itu...
Pelajar sekolah rendah daya tumpuannya masih kurang, maka saya kurangkan ceramah dan lebihkan interaksi...
Melihat apa jadi di belakang...
Jazakallah atas jemputan pihak sekolah....

Jelajah 2010 : Motivasi @ SMKA SHOW

Bersama Puan Pengetua SMKA Sheikh Haji Osman Abdul Wahab yang baru..Jazakallah atas dorongan....
Sebagaimana biasa..Pendekatan AVI (Audio dan Visual) di gunakan..
Menjana semangat bersama..
Barisan Ustazah...
Penelong kanan dan para Ustaz antara yang hadir..
Dari tingkatan 1 hinggalah tingkatan 6 atas turut hadir..
Hadirin..

Wednesday, October 6, 2010

Kisah Abdullah Salam

BUKU Sirah Nabawiyyah juga ada menceritakan sikap Yahudi yang tidak mungkin akan menerima perubahan sekalipun ada kalangan daripada mereka yang berpengaruh besar akhirnya memeluk Islam.

Ini apabila kita mengikuti kisah Abdullah bin Salam sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al Bukhari. Abdullah adalah seorang pendeta Yahudi yang paling alim dan berpengaruh besar di kalangan penduduk Yahudi di Yathrib.

Apa yang beliau lakukan dan apa sahaja yang keluar daripada mulutnya akan diikuti dan didengar oleh para pengikut Yahudi yang lain.

Apabila Abdullah sendiri mendengar mengenai kehadiran Nabi Muhammad SAW ke Yathrib di kampung Bani An Najjar di Madinah, beliau tergesa-gesa hendak menemui baginda.

Apabila Abdullah dapat bertemu dengan Nabi Muhammad, beliau pun mengajukan pelbagai persoalan mengenai soal kenabian sebagaimana yang Abdullah ketahui sebagai pendita Yahudi.

Ini kerana tidak semua orang mengetahui perkara tersebut kecuali golongan yang tertentu sahaja.

Lalu dijawab oleh baginda akan segala persoalan yang dikemukakan oleh Abdullah sehingga si Yahudi ini begitu berpuas hati kerana ia menepati sebagaimana yang beliau ketahui selama ini dan dapat menyaksikan sendiri tanda yang terdapat pada tubuh baginda yang disebut sebagai khatamun nubuwwah, pengakhir zaman kenabian.

Tanpa banyak bicara, Abdullah pun memeluk Islam tanpa sebarang ragu-ragu lagi di hadapan baginda kerana beliau meyakini bahawa bagindalah nabi akhir zaman yang disebut-sebutkan dalam kitab Taurat.

Selepas mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan baginda, Abdullah pun berkata: "Sesungguhnya kaum Yahudi adalah kaum yang suka mengada-adakan cerita. Kalaulah mereka tahu keislamanku sebelum kamu tanyakan mereka sudah tentu mereka kan menuduh yang bukan-bukan mengenai diriku kepada kamu."

Lalu baginda pun mengutuskan wakil untuk menjemput kalangan para pemimpin dan pengikut kaum Yahudi supaya hadir menemui baginda.

Apabila mereka hadir dan berkumpul di hadapan baginda Rasulullah, pemimpin mereka Abdullah Salam pun masuk ke belakang, menyembunyikan diri.

Baginda pun menyampai seruan dakwah terhadap kaum Yahudi di hadapan baginda itu dengan meminta mereka mengakui keesaan Allah dan diri baginda sebagai pesuruh-NYA.

Namun usaha baginda itu, tidak mendapat sambutan sehinggalah baginda kemudiannya bertanya kepada mereka; "Baiklah kamu tidak dapat menerima seruan dakwah saya, tetapi siapakah lelaki di kalangan kamu yang bernama Abdullah bin Salam?"

Mereka pun menjawab; "Dia adalah pemimpin kami yang paling kami hormati, kerana dialah yang paling alim dan paling kuat beramal di kalangan kami. Dia juga yang terbaik."

Dengan lain perkataan Abdullah Salam sering dipandang tinggi dan mulia di kalangan para pengikutnya dan pastinya apa pun perubahan yang berlaku pada Abdullah pasti akan diterima dengan baik.

Lalu baginda berkata lagi; "Apa pandangan kamu jika aku katakan bahawa pemimpin kamu itu, Abdullah bin Salam telah memeluk Islam?"

Lalu mereka menjawab berulang kali sambil bersorak: "Kami berlindung kepada Allah dari yang demikian!" Kami berlindung kepada Allah dari yang demikian! Kami berlindung kepada Allah dari yang demikian!"

Mendengarkan itu, lalu Abdullah pun keluar daripada persembunyiannya lalu berkata di hadapan para pengikutnya itu: "Aku bersaksikan bahawa tiada tuhan selain Allah dan aku juga bersaksikan bahawa Muhammad ini adalah pesuruh Allah!"

Lantas mereka pun menjawab dengan nada yang sungguh marah dan tidak puas hati: "Oh tidak! Abdullah adalah orang yang paling jahat di kalangan kami dan dia juga sebenarnya adalah anak orang yang paling jahat!"

Mereka pun terus menuduh yang bukan-bukan terhadap Abdullah namun Abdullah berkata: "Hai sekalian kaum Yahudi, bertakwalah kamu terhadap Allah. Demi Allah yang tiada tuhan selain-Nya dan kamu benar-benar tahu bahawa Muhammad ini adalah Rasulullah yang datangnya untuk membawa kebenaran kepada kita semua,"

Lalu mereka pun menjawab: "Kamu pembohong besar!"

Terbukti tidak sampai beberapa minit mereka terus berubah apabila berhadapan dengan perkara yang mengancam kepentingan mereka. Pemimpin yang mereka sanjung selama ini pun terus tidak lagi mendapat tempat di hati mereka apabila sudah tidak sealiran lagi, apatah lagi terus memeluk Islam.

Utusan Malaysia 6 Okt 2010

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin